Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, terdapat anak-anak bukan Islam yang berumur bawah 18 tahun dan secara sukarela untuk masuk Islam tanpa paksaan, tetapi mendapat halangan penjaga mereka.

Saya pula telah berjanji dengan rela hati untuk menggunakan wang saya bagi menampung keperluan penjaga mereka tersebut, dengan syarat dia bersetuju untuk membenarkan anak-anak tersebut memeluk Islam dan beramal dengannya. Lalu penjaga tersebut bersetuju tanpa sebarang paksaan. Adakah ini dikira rasuah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami terangkan terlebih dahulu secara ringkas mengenai rasuah. Ia merupakan suatu pemberian yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[1]

Hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram menurut Islam. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).”

(Surah al-Ma’idah: 42)

Imam al-Baghawi mengatakan bahawa ayat ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)

Memberikan Wang Agar Orang Beramal dengan Islam

Melihat kepada persoalan yang diajukan, timbulnya kekeliruan tentang pemberian berbentuk wang yang diberikan kepada orang bukan Islam agar mereka tidak menghalang orang di bawah jagaannya memeluk dan beramal  dengan agama Islam. Adakah pemberian ini dikategorikan sebagai rasuah yang diharamkan?

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقاتُ لِلْفُقَراءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang yang dilunakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ (orang-orang yang dilunakkan hatinya) antaranya adalah mereka yang diberikan zakat kepada mereka agar hati mereka menjadi lunak dan memeluk agama Islam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/146)

Ini seperti mana yang diriwayatkan daripada Safwan bin Umayyah R.A katanya:

أَعْطَانِي رَسُولُ اللهِ ﷺ يَوْمَ حُنَيْنَ، وَإِنَّهُ لَأَبْغَضُ النَّاسِ إِلَيَّ، فَمَا زَالَ يُعْطِينِي حَتَّى صَارَ وَإِنَّهُ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah memberikanku (zakat) selepas perang Hunain, dan ketika itu Baginda adalah orang yang paling aku benci. Baginda terus-menerus memberikanku sehinggalah Baginda menjadi orang yang paling aku cintai.”

Riwayat Muslim (2313), al-Tirmizi (666) dan Ahmad (27638)

Imam al-Baghawi menyebutkan bahawa, وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ (orang-orang yang dilunakkan hatinya) antaranya adalah mereka yang dikhuatiri melakukan keburukan, maka pemimpin Islam memberikan kepadanya sebahagian harta zakat bagi mencegah keburukannya. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/361)

Imam al-Qurtubi ketika menerangkan ayat 60 surah al-Taubah, membahagikan orang-orang musyrik itu terbahagi kepada 3 golongan:

  1. Golongan yang kembali (kepada kebenaran) apabila tertegaknya bukti.
  2. Golongan (yang kembali kepada kebenaran) dengan kekerasan.
  3. Golongan (yang kembali kepada kebenaran) dengan amalan kebaikan.

Dan pemerintah yang memimpin kaum muslimin perlu menggunakan pada tiap-tiap golongan tersebut kaedah (dengan membawa bukti, dengan kekerasan atau dengan amalan kebaikan), yang pada pengamatannya mampu menjadi sebab selamatnya dan bebasannya setiap golongan itu daripada syirik (kembali kepada Islam). (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 8/179)

Perbahasan yang kami bawakan di atas berkenaan isu harta zakat yang sebahagiannya diberikan kepada orang bukan Islam bagi melunakkan hati mereka dan menjadi lebih terbuka untuk menerima islam dengan baik. Perkara ini adalah sunnah yang diajarkan sendiri oleh Rasulullah SAW, bahkan terbukti keberkesanannya dengan keislaman Safwan bin Umayyah R.A. Antara sebab lain diberikan harta zakat kepada orang bukan Islam adalah bagi menjauhkan daripada keburukannya.

Dapat difahami bahawa antara matlamat dan tujuan  Islam membenarkan perkara tersebut bagi menyebarkan dakwah dan cahaya Islam, akhirnya hati mereka yang bukan Islam ini akan terbuka dan minda mereka akan cuba untuk merenung kehebatan agama Allah.

Ia tidak semestinya perlu tertumpu kepada zakat semata-mata, bahkan jika individu muslim mampu menggunakan kaedah amalan kebaikan bagi mendekatkan orang kepada Islam, maka perbuatan diharuskan. Seperti mengeluarkan perbelanjaan bagi menampung keperluan orang bukan Islam, agar mereka tidak menghalang orang lain untuk beramal dengan Islam atau menjadi lebih terbuka dengan Islam.

Diriwayatkan di dalam sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, katanya: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW di antara dua bukit dan meminta daripada Baginda seekor kambing, lalu Baginda memberikan kambing kepada lelaki itu. Kemudian kaum lelaki itu datang, seraya lelaki itu berkata:

أَيْ قَوْمِ! أَسْلِمُوا، فَوَاللَّهِ! إِنَّ مُحَمَّدًا لَيُعْطِي عَطَاءً مَا يَخَافُ الْفَقْرَ

Maksudnya: “Wahai kaumku, masuklah kalian ke dalam agama Islam. Demi Allah, Muhammad telah memberikanku pemberian tanpa takut jatuh miskin!”

Kemudian Anas bin Malik R.A berkata:

إِنْ كَانَ الرَّجُلُ لَيُسْلِمُ مَا يُرِيدُ إِلَّا الدُّنْيَا، فَمَا يُسْلِمُ حَتَّى يَكُونَ الْإِسْلَامُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا

Maksudnya: “Jika ada seseorang yang dahulunya masuk Islam dengan niat menginginkan harta dunia, tidaklah dia masuk Islam sehingga Islam itu sendiri lebih dicintai daripada dunia dan segala  isinya.”

Riwayat Muslim (2312)

Pemberian begini juga merupakan bukti bahawa Islam adalah agama yang membawa sifat rahmah dan kebajikan, agama yang mencintai kebaikan dan menginginkan petunjuk bagi manusia.

Kesimpulan

Kami memuji sikap saudara yang sanggup mengeluarkan harta sendiri bagi memperjuangkan agama Allah SWT. Tindakan saudara tersebut adalah dibolehkan bahkan bertepatan dengan sunnah  Rasulullah SAW.

Pemberian seperti ini tidaklah disenaraikan dalam kategori rasuah, bahkan ia lebih dekat dengan hukum zakat yang dibenarkan oleh syara‘ untuk diberikan sebahagiannya kepada orang bukan Islam. Hal ini bertujuan mendekatkan mereka dengan Islam dan akhirnya mebuka hati mereka untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

Kami doakan agar usaha saudara untuk menyebarkan dakwah dan memperkenalkan Islam sentiasa dipermudahkan. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=75&articleid=478. Diakses pada 18 Julai 2023.

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply