Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Baru-baru ini kawan saya berbangsa India, seorang vegetarian dan saya telah bersalaman dengan dia. Masa itu, dekat tangannya ada plastik kuih yang dia beli di kedai vegetarian. Perlu atau tidak saya sertu tangan saya ustaz atau boleh basuh dengan air biasa? Sebab masa dia hulur tangan itu di hadapan orang, jadi saya terus sambut. Kemudian baru terfikir yang tangan dia itu ada plastik makanan. Saya tanya dan dia kata dia beli di kedai vegetarian (kuih samosa). Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, kami bawakan pendapat ulama mengenainya. Sebahagian ulama dalam mazhab Zahiri berpendapat bahawa orang bukan Islam itu dianggap sebagai najis secara ainnya (yakni hakiki) dan mereka berhujah mengenai perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.

(Surah al-Taubah: 28)

Kemudian, jumhur ulama menjawab pendapat tersebut dengan menyatakan, najis dalam ayat itu bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35).

Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10).

Bahkan Nabi SAW juga pernah menempatkan rombongan Thaqif — mereka dalam kalangan orang kafir — di masjid. Kalaulah tubuh badan mereka dianggap najis, sudah tentu Baginda tidak akan menempatkan mereka di dalamnya bagi menjaga kesucian masjid. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/78).

Di samping itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577).

Adapun persoalan mengenai bersentuhan atau bersalaman dengan anggota orang bukan Islam kerana dikhuatiri atau ada kemungkinan mereka memegang najis sebelum itu, maka dalam hal ini terdapat satu kaedah menyebut:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya:Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324).

Oleh itu, secara asasnya, tidak perlu membasuh tangan yang digunakan untuk bersalaman dengan mereka selagimana tidak bukti yang menunjukkan bahawa sebelum itu mereka ada memegang sesuatu yang najis dan terdapat padanya kesan-kesan najis itu seperti air liur dan lain-lain.

Kesimpulannya

Justeru, jelaslah bahawa orang bukan Islam tidak dianggap sebagai najis secara hakikatnya kerana najis yang dimaksudkan kepada mereka adalah pada kepercayaan dan pegangan mereka yang menyeleweng, bukannya najis secara hakiki. Maka, berdasarkan kepada itu, kami berpendapat tidak perlu menyertu mahupun membasuh tangan selepas bersalaman dengan mereka, sekalipun ada kemungkinan mereka menyentuh perkara najis atau haram sebelum itu. Dalam perkara ini, kita berpegang kepada yang zahir dan serahlah kepada Allah pada perkara-perkara yang tersembunyi.

Kecuali jelas dilihat sebelum itu, mereka ada memegang benda-benda yang najis menurut syarak seperti anjing, babi dan seumpamanya, lalu jelas pada tangan mereka kesan najis itu. Pada ketika itu, barulah perlu membersihkan dan menyucikan tangan daripada kesan najis itu dan bukannya kerana menyentuh atau bersalaman dengan mereka.  

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply