#2393: Tidak Menyebut Nama Ayah Ketika Lafaz Akad Nikah

Soalan:

Assalamualaikum, saya ada kemusykilan, berkenaan anak angkat perempuan yang bernikah menggunakan wali hakim kerana tak dapat di jejaki ayah kandungnya . Apakah sah pernikahan itu jika semasa akad nikah tidak disebutkan nama ayah ? Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.”

(Surah al-Nisaa’:1)

 Diriwayatkan daripada Abu Ayyub R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.

Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)

Sunnah menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan perkara yang telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan sunnah para rasul. Dengan perkahwinan, seseorang dapat mengatasi banyak godaan jahat dengan pertolongan Allah SWT. Perkahwinan  dapat  menjaga pandangan mata dan melindungi kehormatan. Ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh  Abdullah Bin Masu’d bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يا مَعْشَرَ الشَّبابِ، مَنِ اسْتَطاعَ مِنكُمُ الباءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فإنَّه أغَضُّ لِلْبَصَرِ وأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ فإنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ.

Maksudnya: “…Wahai para pemuda, barangsiapa diantara kalian yang mampu untuk berkeluarga, maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya ia dapat menahan pandangan (dari melihat sesuatu yang terlarang) dan memelihara kemaluan dan barangsiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi penawar baginya.

Riwayat al-Bukhari (5066) Muslim (1400)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji  menyebut rukun akad nikah mempunyai lima rukun iaitu:

  1. Sighah
  2. Pengantin perempuan
  3. Pengantin lelaki
  4. Wali
  5. Dua orang saksi (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55 )

Dr. Muhammad Zuhaili memperincikan lagi rukun akad nikah kepada enam iaitu Sighah (Ijab dan Qabul), al-A’qidan (Pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi. (Lihat al-Mu’tamad, 4/53)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara syarat sah nikah adalah ta’yin iaitu penentuan pengantin perempuan di dalam akad. Oleh itu, suami wajib menentukan pengantin wanita ketika akad sama ada ditentukan melalui nama, atau isyarat, atau melalui sifat-sifat yang membezakan sekira terdapat persamaan atau tidak. 

Dr Muhammmad al-Zuhaili menyatakan bahawa: Syarat pengantin perempuan adalah ditentukan dalam akad, jika tidak (ditentukan) maka batal akad tersebut. Ini kerana maksud perkahwinan adalah ditentukan pasangan suami isteri sama ada dengan nama, isyarat atau dengan sifat-sifat yang dapat membezakan.” (Lihat al-Muktamad, 4/58)

Justeru dalam isu ini kami katakan  sekiranya tidak disebutkan nama pengantin perempuan beserta nama ayahnya ketika lafaz ijab, perkahwinan itu tetap sah kerana telah mencukupi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas. Menyebut nama bukanlah syarat sah dalam akad perkahwinan sebagaimana  contoh wali berkata : kahwini dia, maka kata suami: aku mengahwininya, sah.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm.207 )

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan syariat-Nya serta memudahkan kita dalam setiap urusan. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *