#2395: Hikmah Berkhitan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya lihat, berbanding agama lain, agama Islam telah wajibkan kepada umatnya untuk berkhitan? Saya nak tahu, apa manfaat dan hikmah daripada berkhitan ini? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya menyatakan, para ulama serta doktor telah menjelaskan pelbagai hikmah keagamaan dan kesihatan. Dibawakan di sini, hikmah-hikmah yang terpenting serta terkemuka:

Hikmah-hikmah Keagamaan

  • Berkhitan merupakan kemuncak fitrah, syiar Islam dan petunjuk syariat.
  • Berkhitan merupakan pelengkap agama kebenaran yang telah disyariatkan oleh Allah SWT melalui Nabi Ibrahim AS. Dia telah mencorakkan hati manusia dengan tauhid (keesaan) serta keimanan dan Dia telah mencorakkan badan-badan orang dengan sifat-sifat mengikut fitrah, dengan berkhatan, menggunting misai dan kuku serta mencabut bulu ketiak. Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

Maksudnya: “Kemudian, Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim.”

(Surah al-Nahl: 123)

Firman Allah SWT lagi:

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ ‎

Maksudnya: “Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam), dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat.”

(Surah al-Baqarah: 138)

  • Berkhitan boleh membezakan antara orang Islam dengan orang kafir.
  • Ia juga merupakan kehambaan kepada Allah SWT dan tanda kesetiaan kepada-Nya dan juga ketaatan yang berbelah bagi terhadap hukum serta kekuasaanNya.

Faedah yang Berhubung dengan Kesihatan

Antaranya:

  • Amalan berkhitan boleh membawa kebersihan, kecantikan, mengelokkan bentuk dan menstabilkan nafsu syahwat.
  • Berkhitan merupakan pengurusan kesihatan yang amat besar dan boleh memelihara seseorang daripada pelbagai penyakit. 

(Lihat Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam, 1/116)

Dr. Sabri al-Qabbani dalam kitabnya Hayatuna al-Jinsiyyah, menyebutkan bahawa amalan berkhitan mempunyai pelbagai faedah, antaranya ialah:

  • Dengan memotong kulit (yang ada di atas kepala zakar) kulup, seseorang boleh melepaskan diri keluarnya air yang berminyak dan lelehan yang berlemak yang menggelikan dan juga menghalang bau busuk.
  • Dengan memotong kulup itu, seseorang boleh mengelakkan bahaya tersekatnya kulit zakar semasa ia tegang.
  • Berkhitan boleh mengurangkan kemungkinan terkena penyakit barah. Sudah terbukti bahawa penyakit barah kerap berlaku kepada orang yang sempit kulupnya, sedangkan ia jarang berlaku yang syariatnya mewajibkan berkhitan.
  • Jika kanak-kanak dikhitankan dengan segera, dia boleh terhindar daripada terkena penyakit sering kencing malam.
  • Berkhitan boleh mengurangkan tabiat onani dalam kalangan remaja.

(Lihat Hayatuna al-Jinsiyyah, hlm. 78-79).

Semoga Allah SWT kurniakan kefahaman kepada kita. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّنِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *