Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang yang pencinta ilmu dan bercita-cita untuk menjadi ulama’. Saya sudah berumur 28 tahun. Saya ingin menuntut dan mempelajari ilmu Syar’i dan berazam untuk memulakan dengan menghafaz al-Quran. 

Tapi saya ada terdengar ceramah, ada seorang syeikh yang sebut bahawa tak sewajarnya kita hafal matan-matan ilmu agama sebelum kita selesai hafal Quran. 

Adakah saya perlu menghabiskan hafazan keseluruhan al-Quran terlebih dahulu, atau boleh berpindah-pindah kepada kitab-kitab agama yang lain? Bolehkah saya mencampur antara hafaz al-Quran dan hafaz matan-matan?

Apa nasihat datuk dalam perkara ini? Mohon penjelasan dato’.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama, menuntut ilmu merupakan kemuliaan yang agung dan pemberian terbesar yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya. Allah SWT berfirman:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Allah SWT turut berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar: 9)

Kami juga ucapkan tahniah pada anda yang telah meniti jalan yang akan membawa anda ke Syurga. Daripada Abu al-Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ ،وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ ،وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang meniti jalan untuk mencari ilmu (syari’ah islamiyyah), maka Allah akan menuntunnya satu jalan dari jalan-jalan ke syurga. Dan sesungguhnya para Malaikat akan meletakkan sayap-sayapnya kerana redha (untuk menaungi) terhadap orang-orang yang mencari ilmu, dan sesungguhnya penduduk langit dan bumi, serta ikan-ikan yang berada di dasar air akan memohon ampunan bagi orang-orang yang berilmu. Dan sesungguhnya keutamaan seorang alim dengan seorang ahli ibadah itu bagaikan keutamaan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya para ulama’ itu pewaris para Nabi, dan sesungguhnya para Nabi itu tidak mewariskan Dinar dan Dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang meraihnya, maka dia memperoleh bahagian yang amat banyak.”

Riwayat Abu Daud (3641)

Cukuplah hadith di atas mengisyaratkan kemuliaan, ganjaran dan pahala bagi para penuntut ilmu.

Menghafaz al-Quran al-Karim

Antara perkara yang paling utama, yang disyariatkan bagi seorang Muslim adalah menghafaz al-Quran al-Karim. Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِى الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا 

Maksudnya: “Diucapkan bagi para pembaca dan penghafal al-Quran; Bacalah dengan tartil dan naiklah sebagaimana engkau telah membacanya di dunia. Sesungguhnya darjatmu (di syurga) adalah sesuai dengan akhir ayat yang engkau bacanya (di dunia).”

Riwayat Abu Daud (1464) dan  al-Tirmizi (2914) 

Maksud lafaz al-qira’ah dalam hadith di atas adalah: al-Hifzu (menghafaz). Syeikh Syams al-Haq al-’Azim Abadi berkata: “Dapat difahami daripada hadith ini, bahawa ganjaran yang besar ini hanya diperoleh oleh orang yang telah menghafal al-Quran, menyempurnakan pelaksanaan dan bacaannya, sepertimana yang sepatutnya.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 4/338) Hadith-hadith seperti ini sangat banyak, dengan keutamaan-keutamaannya yang luar biasa.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan Ibn ‘Abd al-Bar yang menyebut:

طَلَبُ الْعِلْمِ دَرَجَاتٌ وَمَنَاقِلُ وَرُتَبٌ لَا يَنْبَغِي تَعَدِّيهَا، وَمَنْ تَعَدَّاهَا جُمْلَةً، فَقَدْ تَعَدَّى سَبِيلَ السَّلَفِ رَحِمَهُمُ اللَّهُ، وَمَنْ تَعَدَّى سَبِيلَهُمْ عَامِدًا ضَلَّ، وَمَنْ تَعَدَّاهُ مُجْتَهِدًا زَلَّ. فَأَوَّلُ الْعِلْمِ: حِفْظُ كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَتَفَهُّمُهُ، وَكُلُّ مَا يُعِينُ عَلَى فَهْمِهِ فَوَاجِبٌ طَلَبُهُ مَعَهُ، وَلَا أَقُولُ: إِنَّ حِفْظَهُ كُلَّهُ فَرْضٌ، وَلَكِنِّي أَقُولُ: إِنَّ ذَلِكَ شَرْطٌ لَازِمٌ عَلَى مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ عَالِمًا فَقِيهًا نَاصِبًا نَفْسَهُ لِلْعِلْمِ لَيْسَ مِنْ بَابِ الْفَرْضِ.

Maksudnya: “Menuntut ilmu mempunyai tingkatan-tingkatan kebajikan dan urutan-urutan yang tidak sepatutnya bagi seseorang melampaui batasan-batasannya. Dan sesiapa yang melampaui batasannya secara keseluruhannya, maka sesungguhnya dia telah menyalahi jalan yang ditempuh oleh para salafus soleh, dan sesiapa yang melampaui batasan-batasannya dengan sengaja, maka dia akan tersesat, dan sesiapa yang melampaui batasannya dalam keadaan dia seorang yang bersungguh-sungguh, maka dia akan tergelincir. Maka permulaan ilmu itu adalah menghafaz Kitabullah ‘Azza wa Jalla dan memahaminya, dan setiap ilmu yang boleh membantu untuk memahaminya, maka wajib dipelajari bersamanya. Aku tidak mengatakan bahawa menghafaz seluruh al-Quran merupakan sebuah kefardhuan, akan tetapi menghafaz al-Quran adalah suatu perkara yang wajib dan syarat yang lazim bagi seseorang yang ingin disebut sebagai seorang ‘Alim dan Faqih. (Lihat Jami’ Bayan Fadhl al-’Ilm wa Ahlihi, 2/166)

Terdapat satu riwayat daripada Ibn ‘Umar R.A, dengan sanad yang sahih dan bersambung, bahawa beliau menghabiskan waktu selama empat tahun dalam mempelajari surah al-Baqarah. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Sa’d dalam al-Tabaqat al-Kubra katanya: Abdullah bin Ja’far mengkhabarkan kepada kami, Abu al-Malih menyampaikan kepada kami, daripada al-Maimun:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ تَعَلَّمَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ فِي أَرْبَعِ سِنِينَ.

Maksudnya: “Bahawa Ibn ‘Umar mempelajari surah al-Baqarah dalam tempoh empat tahun.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 4/164)

Timbul satu pertanyaan, bahawa adakah perkataan ‘التعلم ’ dalam athar di atas bermaksud menghafaz atau memahami dan mendalami? Perkara ini memiliki dua kemungkinan, di mana boleh jadi hidayah Sahabat itu tercurah untuk fokus bagi memahami dan mendalami berdasarkan riwayat lain: Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami berkata: 

حَدَّثَنَا الَّذِينَ يَقْرَؤُونَنَا الْقُرْآنَ أَنَّهُمْ كَانُوا لَا يَتَجَاوَزُونَ عَشْرَ آيَاتٍ حَتَّى يَعْلَمُوا وَيَعْرِفُوا مَا فِيهَا مِنْ عِلْمٍ وَعَمَلٍ

Maksudnya: “Disampaikan kepada kami oleh mereka yang mengajarkan kami al-Quran, bahawa mereka tidak akan melampaui sepuluh ayat al-Quran sehinggalah mereka memahami dan mengetahui apa yang terkandung di dalamnya dari sudut ilmu dan amal.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 1/74)

Al-Zurqani berkata:

 لَيْسَ ذَلِكَ لِبُطْءٍ مَعَاذَ اللَّهِ، بَلْ لِأَنَّهُ كَانَ يَتَعَلَّمُ فَرَائِضَهَا وَأَحْكَامَهَا وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهَا، فَقَدْ رُوِيَ عَنِ النَّبِيِّ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَرَاهَةُ الْإِسْرَاعِ فِي حِفْظِ الْقُرْآنِ دُونَ التَّفَقُّهِ فِيهِ، وَلَعَلَّ ابْنَ عُمَرَ خَلَطَ مَعَ ذَلِكَ مِنَ الْعِلْمِ أَبْوَابًا غَيْرَهَا، وَإِنَّمَا ذَلِكَ مَخَافَةَ أَنْ يَتَأَوَّلَهُ عَلَى غَيْرِ تَأْوِيلِهِ، قَالَهُ الْبَاجِيُّ 

Maksudnya: “Yang demikian itu bukan bermaksud kerana lambatnya hafalan mereka – kita berlindung kepada Allah akan hal ini – akan tetapi, mereka para sahabat mempelajari fardhu-fardhu, hukum-hukum dan hal-hal yang berkaitan dengan ayat-ayat tersebut. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW melarang menyegerakan dan mempercepat dalam menghafaz al-Quran tanpa memahaminya, dan boleh jadi Ibn ‘Umar tatkala menghafal surah al-Baqarah, beliau juga mencampur dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Yang demikian itu kerana ada kekhuatiran akan kesalahan dalam mentakwilkan al-Quran. Inilah seperti yang dinyatakan oleh al-Baji.” (Lihat Syarh al-Zurqani ‘ala Muwatta’ al-Imam Malik, 2/21-22)

Berkenaan persoalan, apakah menghafaz al-Quran terlebih dahulu, kemudian berpindah kepada disiplin ilmu yang lain, ataukah menggabung antara keduanya? Yang paling utama dan lebih baik adalah dengan mengerahkan segala kemampuan untuk menghafaz al-Quran terlebih dahulu, dan apabila telah selesai menghafaznya, lalu berpindah kepada disiplin ilmu yang lain. Akan tetapi, sekiranya didapati bahawa diri sedang tidak bersemangat dan malas, maka boleh segarkan diri dengan beralih ke sebahagian ilmu-ilmu yang lain dengan tanpa berlebih-lebihan.

Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu al-Syeikh, tatkala datang kepada beliau seorang mahasiswa yang ingin menuntut ilmu, maka beliau bertanya kepadanya, “Adakah kamu telah menghafal al-Quran?” Dan apabila mahasiswa ini menjawab tidak, maka beliau menyuruhnya untuk menghafaz al-Quran terlebih dahulu. Pandangan seperti ini juga telah kami jelaskan sebelum ini sepertimana pandangan Ibn ‘Abd al-Bar.

Penutup

Kami katakan ilmu lebih luas untuk dipelajari dan juga mempunyai pelbagai disiplin. Para ulama juga telah khilaf apakah ilmu yang utama atau pertama untuk dipelajari. Sudah pasti al-Quran adalah yang utama tetapi tidak dinafikan dengan ilmu-ilmu yang lain. Kami nukilkan di sini pandangan para ulama:

Imam al-Mawardi dalam Adab al-Dunya Wa al-Din menyebut “Ketahuilah bahawa semua ilmu ada permulaannya yang membawa kepada akhir, pengenalan yang membawa kepada hakikat. Justeru hendaklah pelajar memulakan dengan awalannya hingga ke akhirnya. Jangan mulakan akhir sebelum mengenal awal dan hakikat sebelum pengenalan.”

Ibu Abbas R.Anhuma pernah berkata:

العِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَن يُحْصَى فَخُذُوا مِن كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ 

Maksudnya: “Ilmu itu amat banyak daripada yang termampu untuk dihitung, maka ambillah setiap sesuatu itu yang terbaik.”

Syeikh Muhammad Awwamah berkata: Perkara pertama yang sepatutnya penuntut ilmu pelajari ada dua perkara iaitu:

Pertama: Ilmu bahasa Arab yang terdiri daripada nahu, saraf, lughah, ulum balaghah seperti ma’ani, bayan dan badi

Kedua: Fiqh pula ialah fiqh mazhab dengan cara tadarruj (beransur-ansur) mengkaji:

  • Matan-matan
  • Mukhtasar (ringkasan)

Antara kelebihan fiqh, kita dapati padanya bak mutiara kata:

Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar’iyyah:

فَصْلٌ فِي فَضْلِ الجَمْع بَيْنَ الحَدِيْثِ وفِقْهِهِ

Maksudnya: “Satu bahagian daripada kelebihan ialah menggabungkan hadis dan kefahaman terhadapnya.”

Pengarang al-Muhit daripada ulama Hanafi:

فَضْلُ العُلُوم عِندَ الجُمْهُورِ بَعْدَ مَعْرِفَةِ أَصْلِ الدَيْنِ وَعِلْمُ اليَقِينِ مَعْرِفَةُ الفِقْهِ والأَحْكَامُ الفَاصِلَةُ بَيْنَ الحَلالِ والحَرَامِ

Maksudnya: “Kelebihan ilmu-ilmu di sisi majoriti ulama selepas ilmu usuluddin dan ilmu keyakinan ialah ilmu fiqh dan hukum-hakam yang membezakan antara halal dan haram.”

Ibn al-Jauzi berkata: “Siapa yang mempunyai semangat yang kental, muhasabah dirinya, banyak sibuk dengan yang paling penting dapat setiap ilmu dan menjadikan mashghul-nya dengan fiqh, maka sebenarnya dia adalah sebesar-besar ilmu dan sepentingnya.” (Lihat Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu, hlm. 62-63)

Marilah sama-sama kita beroda kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً 

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *