Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang wanita yang dalam ihram menyikat rambutnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Semasa berihram seseorang itu wajib mematuhi apa yang dilarang ketika berihram sama ada ihram ketika melakukan ibadah haji, umrah atau kedua-duanya.
Syeikh Dr. Muhammad Zuhaili menyebut wajib bagi seseorang itu tidak melakukan larangan ihram tanpa keuzuran dan sekiranya melakukannya maka dikenakan fidyah mengikut apa yang dilakukannya. Dan larangan ihram terdapat sebelas perkara dan sepuluh perkara mengikut al-Fiqh al-Manhaji. Antaranya adalah memakai baju berjahit, memakai wangian, memburu binatang dan memotong atau mencabut rambut dan bulu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/317; al-Fiqh al-Manhaji, 2/133)
Dalam membahaskan hal berkenaan dengan larangan mencukur dan mencabut rambut serta bulu, kami datangkan firman Allah SWT:
وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Al-Khatib Syarbini menyatakan ayat (وَلا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ) iaitu rambutnya dan bulu pada seluruh jasad. (Lihat, al-Mughni al-Muhtaj, 2/297)
Syeikh Dr Wahbah Zuhaili juga menyebut, larangan ayat di atas dikiaskan dalam larangan mencabut bulu atau mencukurnya pada seluruh badan dan larangan ini merupakan sepakat para ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/2300)
Syeikh Dr Muhammad Zuhaili menyatakan pengharaman dan larangan ini tertakluk kepada lelaki dan perempuan yang berihram. Begitu juga wajib ke atas wali seorang budak yang sedang berihram untuk menghalangnya daripada menggugurkan rambutnya… larangan ini juga termasuk pada rambut di kepala, janggut, misai, bulu ketiak, bulu roma dan bulu diseluruh badan sama ada dihilangkannya dengan mencukur, memendekkannya, mencabut, membakarnya atau selain daripadanya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/321)
Menyikat rambut ketika dalam Ihram
Berkenaan persoalan di atas, sekiranya seseorang yang berihram yakin bahawa dengan menyikat rambut, maka rambutnya akan ada yang gugur, maka hukumnya adalah haram perbuatannya menyikat rambut itu. Dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (11/179): “Jika seseorang yang berihram yakin bahawa dengan menyikat rambut, maka rambutnya akan ada yang gugur, maka tidak ada perbezaan pendapat antara ahli fiqh tentang haramnya perbuatan tersebut.”
Namun, sekiranya rambutnya tidak gugur ketika disikat, maka para ulama’ berbeza pendapat kepada tiga pendapat:
Pertama: Dibolehkan.
Ini adalah mazhab Ibn Hazm al-Zahiri, katanya: “Adapun menyikat rambut, maka tidak dimakruhkan dalam keadaan ihram. Hukumnya mubah secara mutlak.” (Lihat al-Muhalla, 5/186)
Sebahagian ulama yang berpendapat seperti ini juga berdalilkan dengan hadith riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَهْلَلْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم في حَجَّةِ الْوَدَاعِ ، فَكُنْتُ مِمَّنْ تَمَتَّعَ وَلَمْ يَسُقِ الْهَدْىَ ، فَزَعَمَتْ أَنَّهَا حَاضَتْ ، وَلَمْ تَطْهُرْ حَتَّى دَخَلَتْ لَيْلَةُ عَرَفَةَ ، فَقَالَتْ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ! هَذِهِ لَيْلَةُ عَرَفَةَ ، وَإِنَّمَا كُنْتُ تَمَتَّعْتُ بِعُمْرَةٍ . فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : انْقُضِى رَأْسَكِ ، وَامْتَشِطِى ، وَأَمْسِكِى عَنْ عُمْرَتِكِ .
Maksudnya: “Aku melakukan ihram bersama Rasulullah SAW dalam haji Wada’. Aku termasuk orang yang ihram Tamattu’, kerana aku tidak membawa hadyu. Lalu aku mengalami haid dan belum suci hingga malam Arafah. Maka aku berkata, “Wahai Rasulullah, ini adalah malam Arafah. Tetapi aku ihram untuk Tamattu’.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Lepaskan rambutmu, bersikatlah dan hentikan umrahmu.”
Riwayat al-Bukhari (316) dan Muslim (1211)
Mereka (para ulama) menyatakan bahawa dalam hadith ini, Nabi SAW memberi izin kepada Aisyah untuk menyikat rambut sedangkan dia dalam keadaan ihram. Baginda memerintahkan Aisyah untuk mandi adalah untuk melakukan ihram haji, kerana ihramnya pada asalnya untuk umrah.
Al-Syaukani berkata: “Ucapan Baginda (bersikatlah) merupakan dalil bahawa bersikat tidak dimakruhkan bagi orang yang ihram. Ada juga yang berpendapat, ‘dimakruhkan.’ Al-Nawawi berkata: “Sejumlah ulama’ memahami hadith Aisyah ini bahawa dia memiliki uzur (untuk menyikat), iaitu dia mengalami gangguan pada rambutnya. Maka dibolehkan baginya untuk menyikat, sebagaimana dibolehkan bagi Ka’ab bin Ujrah untuk membotakkan kepalanya kerana sakit.
Ada juga yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan ‘menyikat’ di sini bukan menyikat yang telah dikenali dengan sikat, akan tetapi menyikat dengan jari-jemari ketika mandi untuk ihram haji, apatahlagi dia menggulung rambutnya sebagaimana sunnahnya demikian, dan sebagaimana dilakukan oleh Nabi SAW. Maka tidak sah mandinya kecuali menyampaikan air ke seluruh rambutnya. Maka disebabkan itu, rambutnya perlu diurai.” (Lihat Nail al-Autar, 5/94)
Kedua: Diharamkan.
Ini merupakan pendapat sebahagian mazhab Hanafi. Mereka berdalilkan dengan hadith Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:
قَامَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : مَنِ الحَاجُّ يَا رَسُولَ اللهِ ؟ قَالَ : الشَّعِثُ التَّفِلُ
Maksudnya: “Seseorang bangkit menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: “Siapakah orang yang berhaji itu wahai Rasulullah?” Baginda lalu bersabda, “(Iaitu) orang yang rambutnya kusut masai.”
Riwayat al-Tirmizi (2998), Ibn Majah (2896) dan al-Bazzar (182). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini qawiy berdasarkan syawahidnya yang banyak. (Lihat takhrij Syarh al-Sunnah, 1847)
Mereka berpendapat bahawa orang yang rambutnya demikian adalah yang tidak memakai minyak rambut, tidak bersikat dan tidak ditutup atau seumpamanya. (Lihat al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 1/143; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 11/179)
Ketiga: Makruh.
Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran dalam ihram. Inilah pendapat mazhab al-Syafi’u dan Hanbali.
Imam al-Nawawi berkata: “Dimakruhkan menyikat rambut kepala dan janggut, kerana perbuatan tersebut mirip dengan mencabut rambut.” (Lihat al-Majmu’, 7/374)
Al-Buhuti yang bermazhab Hanbali berkata: “Orang yang berihram boleh membasuh kepala dan badannya. Hal tersebut dilakukan oleh Umar dan puteranya. Ali dan Jabir memberi keringanan dalam masalah tersebut dengan catatan tidak menyikat, kerana perbuatan menyikat akan menyebabkan tercabutnya rambut.” (Lihat Kassyaf al-Qina’, 2/424) Hal yang sama juga disebut dalam kitab al-Insaf (3/460).
Syeikh Ibn Uthaimin dalam Fatawa Nur ‘ala al-Darb (Fatawa al-Haj wa al-’Umrah) menyebut: “Seseorang yang dalam ihram tidak selayaknya menyikat rambutnya, kerana yang dianjurkan bagi orang yang ihram adalah berada dalam keadaan kusut masai. Tidak mengapa jika dia membasuhnya. Adapun menyikatnya, maka akan menyebabkan rambut gugur.”
Namun, jika seorang lelaki mahupun wanita menyikat rambutnya, lalu dia melihat beberapa helai rambut di sikatnya dan dia tidak tahu, apakah gugurnya rambut itu disebabkan menyikat atau gugur begitu sahaja, maka tidak diwajibkan fidyah ke atasnya dalam keadaan seperti itu. Kerana kemungkinan rambut tersebut memang sudah gugur sebelumnya. Dan ibadah tidak dibina di atas keraguan dan perkiraan. Hal ini telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (7/262), dan begitu juga dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina’ (2/243)
Berkenaan rambut yang telah didapati gugur, sekiranya dia syak atau tidak pasti sama ada rambut atau bulunya tercabut dengan ikhtiar atau tidak maka ia tidak dikenakan fidyah ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Khatib Syarbini di dalam kitabnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/298) Dr Muhammad Zuhaili menyebut, kalau sekiranya seseorang yang berihram itu melihat rambut yang gugur dan ia syak adakah rambut itu gugur disebabkan ia menyikat rambutnya atau gugur dengan sendiri, maka tidak dikenakan fidyah ke atasnya. Kerana rambut yang tercabut itu, ia tidak meyakini sebab gugurnya. Ini kerana (الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّة) maksudnya keadaan asal seseorang itu bebas daripada tanggungan. (Lihat, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/321)
Dalam kitab al-Taudih menyatakan jika rambut gugur dan syak adakah dengan sebab sisir atau gugur sendirinya, maka tiada fidyah baginya mengikut pendapat yang asah. (Lihat al-Taudih al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah terjemahan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 116)
Penutup
Alhamdulillah, Rasulullah SAW mengajar kita supaya mengambil ibadat haji dan manasiknya daripada Baginda SAW sendiri:
خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ
Maksudnya: “Ambillah daripadaku ibadah haji kalian.”
Riwayat al-Nasa’ie (3062)
Justeru, segala perintah dan pantang-larangnya termasuk yang dikenali sebagai mahzurat al-ihram hendaklah diraikan. Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT kurniakan kepada kita ibadat yang diterima:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H