Soalan:

Assalamualaikum Dr Zul, saya ada sedikit nak minta pendapat Dr untuk meletakan nama anak lelaki inshaAllah. Namanya yang dicadang Mohammad Shafii, adakah nama ini sesuai yang membawa maksud penyembuh yang terpuji ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW telah bersabda:

وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim”

Riwayat Muslim (2315)

 Abu Musa al-Asy’ari RA telah berkata:

وُلِدَ لي غُلَامٌ فأتَيْتُ به النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَسَمَّاهُ إبْرَاهِيمَ وَحَنَّكَهُ بتَمْرَةٍ

Maksudnya: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki, maka aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji kurma.”

Riwayat al-Bukhari (5467) dan Muslim (2145)

Merujuk kepada persoalan di atas, menurut kamus al-Lughah al-‘Arabiah al-Mua’sir  lafaz “Mohammad”  berasal daripada kalimah arab ( حَمَّدَ-يُحَمِّدُ)  yang membawa maksud terpuji   manakala “Syafi”  pula membawa maksud penyembuh. Nama “Syafi” merupakan salah satu nama daripada nama yang khusus bagi Allah SWT sebagaimana  yang telah thabit dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah beliau berkata bahawa Rasulullah SAW meminta perlindungan untuk keluarga beliau lalu beliau mengusapkan kepadanya dengan tangan kanan sambil berdoa:

أذْهِبِ الباسَ رَبَّ النّاسِ، واشْفِ أنْتَ الشّافِي، لا شِفاءَ إلّا شِفاؤُكَ، شِفاءً لا يُغادِرُ سَقَمًا

Maksudnya : Hilangkanlah rasa sakit Ya Allah Tuhan manusia, smbuhkanlah sesungguhnya engkau Zat Yang Maha Menyembuhkan, tiada kesemuhan melainkan dari kesembuhan-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit.

Riwayat Bukhari (5750)

Namun, salah satu hal yang harus dihindari saat memberi nama pada bayi adalah memberi nama dengan nama-nama Allah yang Maha Suci yang Dia pilih untuk diri-Nya sendiri, seperti Al-Khaliq, Ar-Razzaq, Ar-Rabb, Ar-Rahman, dan sejenisnya  atau memberi nama dengan nama yang tidak sesuai selain Allah, seperti Malikul Mulk atau Al-Qahhar dan sejenisnya. Jenis nama ini dilarang untuk digunakan dan harus diganti. Kami telah membahas isu ini pada artikel yang bernombor #385 Menamakan Anak dengan Nama ‘Asmaul Husna’. Untuk mengetahui dengan lebih detail saudara boleh merujuk pada artikel tersebut.[1]

Justeru kami katakan,  sekiranya saudara ingin menamakan anak dengan nama Shafi maka perlulah untuk didahului dengan nama Abdul iatu bermaksud hamba. Oleh itu kami candangkan yang terbaik adalah dengan menamakan anak tersebut dengan nama Abdul al-Syafi yang membawa maksud hamba Yang Maha Penyembuh iaitu merujuk kepada Allah SWT.

Kami syorkan juga nama yang terbaik untuk diberikan kepada anak ialah seperti Abdullah dan Abdul Rahman seperti yang diriwayatkan Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنّ أحَبَّ أسْمائِكُمْ إلى اللهِ عبدُ اللهِ وعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: Sesungguhnya nama-nama yang paling disukai oleh Allah SWT ialah nama-nama seperti : Abdullah dan Abdul rahman.

Riwayat Muslim(2132)

Oleh yang demikian, suka untuk kami nasihati supaya berilah nama yang sesuai dengan sifat kita sebagai manusia dan elakkanlah dari menggunakan nama yang khusus bagi Allah SWT kerana Allah itu sifatnya sempurna dari segala kekurangan.

Diriwayatkan oleh Abu Darda bahawa rasulullah SAW bersabda :

إنكم تُدعَونَ يومَ القيامةِ بأسمائِكم وأسماءِ آبائِكم فأَحسِنُوا أسماءَكم

Maksudnya : Sesungguhnya pada hari kiamat kalian akan dipanggil dengan nama-nama kalian dan nama bapa-bapa kalian, maka perelokkanlah nama kalian.

Riwayat Abu Daud (4948)

Semoga anak tuan menjadi anak yang soleh yang tinggi kehormatan dan akhlaknya  serta menjadi penyejuk mata hati  sekeluarga. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

[1] https://maktabahalbakri.com/385-menamakan-anak-dengan-nama-asmaul-husna/

Diakses pada 21 Julai 2023

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *