Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan kisah Suraqah yang mengejar Nabi SAW ketika peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Siapa Suraqah bin Malik R.A?

Beliau ialah Suraqah bin Malik bin Ju’syum bin ‘Amr bin Taim bin Mudlij bin Murrah bin Abdi Manat bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan daripada garis keturunan Isma’il bin Ibrahim A.S. Pada zaman Jahiliyyah, beliau merupakan salah seorang tokoh bangsa Arab dan salah seorang pembesar kabilah Kinanah. Bangsa Arab memandangnya sebagai pemimpin yang dihormati, kerana beliau selalu memberi makan kepada orang-orang kelaparan dan melindungi orang-orang yang memerlukan perlindungan.

Disebabkan jiwa kepimpinan dan kemuliaan Suraqah, bangsa Arab pun menghormatinya. Tatkala kabilah Quraisy berhasrat untuk keluar ke Badar bagi tujuan memerangi umat Islam, mereka khuatir Bani Bakar bin Abdi Manat bin Kinanah yang sekian lama memiliki permusuhan dengan mereka akan menyerang. Lantas kaum Quraisy pun cenderung untuk membatalkan hasrat mereka untuk pergi ke Badar. Namun, syaitan datang menyamar dengan rupa Suraqah bin Malik, lantas menghasut mereka untuk tetap pergi memerangi Rasulullah SAW dan tentera Islam. Dia berjanji untuk melindungi Quraisy jika Bani Bakar datang menyerang. Allah SWT berfirman:

 وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَّكُمْ 

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu.”

(Surah al-Anfal: 48)

Al-Syaukani berkata: Berkenaan firman Allah: ‘ وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ’, diriwayatkan bahawa syaitan menyerupai menjadi seseorang dari mereka dan kemudian berkata kepada mereka, “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang melawan kamu semua pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindung kamu semua.” Firman Allah: ‘لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَّكُمْ’, yakni pelindung kamu semua daripada setiap musuh, atau dari kaum Bani Kinanah. Syaitan menyerupai menjadi Suqarah bin Malik bin Ju’syum, salah seorang daripada Bani Bakar bin Kinanah, dan sebelumnya, kaum Quraisy takut bani Bakar akan menyerang mereka dari belakang (sekiranya mereka keluar pergi ke Badar). (Lihat Fath al-Qadir, 2/360)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di menjelaskan: Firman Allah, ‘ وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ’ yakni menjadikannya indah dalam hati mereka dan menipunya, dan mengatakan, ‘وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ ’ yakni kerana kamu dengan jumlah, senjata dan keadaan yang mana Muhammad dan sahabat-sahabatnya tidak mampu melawanmu. Firman Allah, ‘ وَإِنِّي جَارٌ لَّكُمْ ’, yakni dari sesiapa pun yang kamu takutkan keburukannya, kerana iblis menampakkan diri dalam wujud Suraqah bin Malik bin Ju’syum al-Mudliji, dan mereka takut kepada Bani Mudlij kerana adanya permusuhan antara mereka. Syaitan berkata kepada mereka,  ‘ وَإِنِّي جَارٌ لَّكُمْ ’, maka tenanglah mereka dan hadir kesombongan dan keyakinan menang. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 3/144)

Suraqah bin Malik bersama kaumnya Bani Mudlij menetap di sebuah lembah, yang disebut lembah Qadid. Ketika itu, Bani Mudlij adalah kabilah Arab yang paling terkenal dengan kemahiran dan kecekapan dalam mencari jejak. 

Kisah Suraqah Mengejar Rasulullah SAW ketika Peristiwa Hijrah

Ketika kaum Quraisy mula menyedari pemergian Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar dari Makkah menuju ke Madinah, mereka pun mengumumkan tawaran dan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang dapat menjumpai Nabi SAW dan membawanya kepada mereka. Ramai orang musyrikin pada ketika itu tergiur dengan tawaran tersebut, termasuklah Suraqah bin Malik.

Suraqah bin Malik menceritakan, “Ketika aku sedang duduk dalam majlis kaumku, Bani Mudlij, tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan mereka datang berdiri tercegat di hadapan kami. Ketika itu, kami sedang duduk. Lalu dia berkata, “Hai Suraqah, tadi aku lihat ada kelibat orang di tepi pantai. Aku agak Muhammad dan sahabat-sahabatnya.”

Suraqah berkata: Aku yakin bahawa itulah mereka, tetapi aku berkata kepada lelaki itu, “Itu bukan mereka. Apa yang kamu lihat itu ialah si fulan, si fulan yang pergi. Kami sendiri yang melihatnya.” Aku tunggu sebentar dalam majlis itu. Kemudian aku bangun dan masuk ke rumah. Aku menyuruh pelayanku mengeluarkan kudaku yang berada di belakang bukit. Lalu, pelayan menahankan kuda itu untukku. Aku mengambil lembing dan membawanya keluar dari rumah. Aku tarik mata lembing itu ke bumi dan aku rendahkan bahagian atasnya sehingga apabila aku telah sampai kepada kudaku, terus aku menunggangnya.

Aku arahkan kuda itu membawaku sehingga hampir dengan mereka. Tiba-tiba, kudaku tergelincir, lalu aku terjatuh. Aku bangun semula, lantas menghulurkan tanganku ke dalam sarung anak panah dan aku keluarkan beberapa anak panah, dan dengan anak-anak panah itu aku cuba membuat ramalan, adakah aku dapat memudaratkan mereka atau tidak. Tetapi yang terbit adalah yang aku tidak suka. 

Aku pun terus menunggang kudaku dan aku tidak pedulikan ramalanku. Kudaku membawa aku semakin hampir sehingga aku dapat mendengar bacaan al-Quran oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW tidak berpaling sedikit pun, tetapi Abu Bakar R.A yang banyak berpaling. Tiba-tiba kaki hadapan kudaku terbenam ke dalam bumi hingga ke paras lutut, lalu aku terjatuh lagi. Aku bingkas bangun dan menarik kaki kudaku. Tatkala sudah hampir kakinya mahu keluar, dan ia sudah mula berdiri betul, tiba-tiba kelihatan di hadapannya debu-debu yang berkilauan di langit seperti asap.

Lalu aku pun membuat ramalan lagi dengan anak-anak panahku. Ternyata yang terbit adalah yang tidak aku gemari. Lalu aku menyeru mereka supaya berdamai. Mereka pun berhenti. Aku tunggang kudaku sehingga sampai kepada mereka. Ketika aku menghadapi kesulitan untuk menangkap mereka itu, terdetiklah dalam hatiku bahawa misi Rasulullah SAW akan mendapat kejayaan. Lalu aku berkata kepada Baginda SAW, “Sesungguhnya kaummu telah menjanjikan tawaran untuk menangkapmu.” Aku pun memberitahu mereka mengenai berita-berita orang ramai yang mahu menangkap mereka. Aku tawarkan kepada mereka makanan dan bekalan, tetapi mereka tidak mengapa-apakan aku dan tidak pula meminta apa-apa kepadaku kecuali Rasulullah SAW ada berkata, “Jauhlah kamu daripada kami.” Kemudian aku meminta Rasulullah SAW supaya menulis surat jaminan keamanan untukku. Lalu Rasulullah SAW menyuruh Amir bin Fuhairah, dan ditulisnya jaminan keamanan untukku itu pada selembar kulit. Kemudian Rasulullah SAW terus beredar pergi. (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/554)

Dalam satu riwayat daripada Abu Bakar R.A, katanya, “Kami sudah pun berlepas, dalam masa yang sama kaum Quraisy masih mencari kami. Tidak seorang pun yang dapat menemui kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ju’syum yang berada di atas kudanya. Lalu aku berkata, “Pencarian ini telah menemui kita, hai Rasulullah.” Rasulullah SAW berkata, “Jangan takut kerana Allah bersama kita.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/516)

Akhirnya, Suraqah pun pulang. Dia mendapati orang ramai masih mencari Rasulullah SAW. Lalu dia berkata, “Tidak akan kuceritakan apa-apa kepadamu. Cukuplah kerja kamu sampai di sini sahaja.” Sedangkan pada awalnya, dialah orang yang berusaha keras mahu menangkap Rasulullah SAW dan Abu Bakar R.A. Tetapi di penghujung hari itu, dia pula yang menjadi pengawal Baginda SAW. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/53; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 133)

Abu Bakar R.A menceritakan berkenaan situasi hijrah beliau bersama dengan Rasulullah SAW:  

فَارْتَحَلْنَا بَعْدَمَا مَالَتِ الشَّمْسُ، وَاتَّبَعَنَا سُرَاقَةُ بْنُ مَالِكٍ، فَقُلْتُ: أُتِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ: «لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا» فَدَعَا عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَارْتَطَمَتْ بِهِ فَرَسُهُ إِلَى بَطْنِهَا – أُرَى – فِي جَلَدٍ مِنَ الأَرْضِ، – شَكَّ زُهَيْرٌ – فَقَالَ: إِنِّي أُرَاكُمَا قَدْ دَعَوْتُمَا عَلَيَّ، فَادْعُوَا لِي، فَاللَّهُ لَكُمَا أَنْ أَرُدَّ عَنْكُمَا الطَّلَبَ، فَدَعَا لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَجَا، فَجَعَلَ لاَ يَلْقَى أَحَدًا إِلَّا قَالَ: قَدْ كَفَيْتُكُمْ مَا هُنَا، فَلاَ يَلْقَى أَحَدًا إِلَّا رَدَّهُ، قَالَ: وَوَفَى لَنَا.

Maksudnya: “Kami berangkat setelah matahari tergelincir. Lalu kami disusuli oleh Suraqah bin Malik. Aku berkata: “Kita telah disusuli, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” Nabi SAW mendoakan kecelakaan ke atas Suraqah, lalu kaki kudanya terbenam sampai ke perutnya. Suraqah berkata: “Sesungguhnya aku merasakan kamu berdua mendoakan kecelakaan ke atasku. Maka doakanlah keselamatan bagiku. Demi Allah, aku berjanji pada kamu berdua akan mengembalikan (yakni menghalang) orang yang mencari kamu.” Nabi SAW berdoa untuknya dan dia pun selamat. Maka tidaklah Suraqah bertemu seseorang melainkan dia berkata: “Aku telah mencukupi kamu di tempat ini (tidak perlulah dicari lagi di sini).” Tidaklah dia menemui seseorang melainkan dia mengembalikannya (menghalangnya daripada Baginda).” Abu Bakar berkata: “Suraqah telah memenuhi janjinya kepada kami.” 

Riwayat al-Bukhari (3615)

Dalam riwayat lain, Anas bin Malik R.A menceritakan, katanya: 

أَقْبَلَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى المَدِينَةِ وَهُوَ مُرْدِفٌ أَبَا بَكْرٍ، وَأَبُو بَكْرٍ شَيْخٌ يُعْرَفُ، وَنَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَابٌّ لاَ يُعْرَفُ، قَالَ: فَيَلْقَى الرَّجُلُ أَبَا بَكْرٍ فَيَقُولُ يَا أَبَا بَكْرٍ مَنْ هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْكَ؟ فَيَقُولُ: هَذَا الرَّجُلُ يَهْدِينِي السَّبِيلَ، قَالَ: فَيَحْسِبُ الحَاسِبُ أَنَّهُ إِنَّمَا يَعْنِي الطَّرِيقَ، وَإِنَّمَا يَعْنِي سَبِيلَ الخَيْرِ، فَالْتَفَتَ أَبُو بَكْرٍ فَإِذَا هُوَ بِفَارِسٍ قَدْ لَحِقَهُمْ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا فَارِسٌ قَدْ لَحِقَ بِنَا، فَالْتَفَتَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «اللَّهُمَّ اصْرَعْهُ». فَصَرَعَهُ الفَرَسُ، ثُمَّ قَامَتْ تُحَمْحِمُ، فَقَالَ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، مُرْنِي بِمَا شِئْتَ، قَالَ: «فَقِفْ مَكَانَكَ، لاَ تَتْرُكَنَّ أَحَدًا يَلْحَقُ بِنَا». قَالَ: ” فَكَانَ أَوَّلَ النَّهَارِ جَاهِدًا عَلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ آخِرَ النَّهَارِ مَسْلَحَةً لَهُ.

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW berangkat ke Madinah sambil membawa Abu Bakar (di tempat duduk belakang untanya). Abu Bakar saat itu adalah seorang syeikh (orang tua) yang dikenali (kerana janggutnya yang putih), sedangkan Nabi SAW berpenampilan sebagai seorang pemuda yang tidak begitu dikenali.” Dia berkata: Lalu seseorang telah menemui Abu Bakar dan berkata: “Wahai Abu Bakar, siapakah lelaki yang berada di depanmu?” Maka Abu Bakar menjawab: “Dia ini ialah orang yang menunjukkan jalan (hidayat Islam) kepadaku.” Dia berkata lagi: “Orang itu menyangka bahawa yang dimaksudkan itu adalah jalan (hakiki) yang dilalui (dari Mekah ke Madinah, dan Baginda adalah penunjuk jalan). Sedangkan yang dimaksudkan oleh Abu Bakar adalah jalan kebaikan (hidayah). Abu Bakar menoleh dan melihat seorang penunggang kuda yang hampir menyusul mereka. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, penunggang kuda ini telah menyusul kita.” Nabi SAW menoleh dan mengucapkan: “Ya Allah, jatuhkanlah dia.” Maka orang itu dijatuhkan oleh kudanya. Kemudian kuda itu bangkit semula dan meringkik. Dia (penunggang kuda) berkata: “Wahai Nabi Allah, perintahkanlah kepadaku apa yang engkau kehendaki.” Baginda SAW bersabda: “Berhentilah kau di tempatmu (janganlah ikuti kami), janganlah engkau biarkan seseorang pun menyusul kami.” Dia berkata: “Pada awal harinya dia bersungguh-sungguh hendak menangkap Nabi Allah dan pada penghujung hari pula menjadi senjata untuk Baginda.” 

Riwayat al-Bukhari (3911)

Kisah Terbenamnya Kaki Kuda Suraqah Bin Malik

Kata Suraqah bin Malik: “Aku arahkan kuda itu membawa aku sehingga hampir dengan mereka. Tiba-tiba kudaku tergelincir lalu aku terjatuh. Aku bangun semula, lantas menghulurkan tanganku ke dalam sarung anak panah dan aku keluarkan beberapa anak panah dan dengan anak panah itu aku cuba membuat ramalan, adakah aku dapat memudharatkan mereka atau tidak. Tetapi yang terbit ialah yang aku tidak suka. Aku pun terus menunggang kudaku dan aku tidak pedulikan ramalanku. Kudaku membawa aku semakin hampir sehingga aku mendengar bacaan al-Qur’an oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak berpaling sedikit pun tetapi Abu Bakar yang banyak berpaling. Tiba-tiba kaki hadapan kudaku terbenam ke dalam bumi hingga ke paras lutut, lalu aku terjatuh lagi. Aku bangun dan menarik kudaku. Tatkala sudah hampir kakinya mahu keluar dan ia sudah mula berdiri betul. Tiba-tiba kelihatan di hadapannya debu-debu yang berkilauan di langit seperti asap.”

Sumber kisah Suraqah bin Malik yang terjatuh daripada kudanya ini ada dinukilkan di dalam kitab-kitab Sirah Nabawiyyah yang ditulis oleh para ulama’ terdahulu dan juga masa kini. Antaranya:

  • Kisah ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hisyam. (Lihat Sirah Ibn Hisyam, 1/459)
  • Kisah ini ada diceritakan oleh Imam Ibn Kathir. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/461)
  • Kisah ini juga dimuatkan oleh Syeikh Sofiy al-Rahman di dalam kitabnya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtim, hlm. 167)
  • Syeikh Muhammad al-Ghazali juga menyebutkan kisah ini. (Lihat Fiqh al-Sirah, hlm. 176)
  • Syeikh Said Ramadhan al-Buti ada menukilkan kisah ini di dalam kitab Fiqh al-Sirahnya. (Lihat Fiqh al-Sirah, hlm. 134)

Keislaman Suraqah

Tatkala pembukaan kota Makkah pada tahun 8 H, dan setelah Rasulullah SAW mengakhiri pertempuran Hunain melawan Hawazin dan Thaqif pada Syawal 8H, Suraqah bin Malik telah datang menemui Rasulullah SAW dengan membawa teks jaminan keamanan yang pernah diberikan oleh Baginda Rasul SAW. Suraqah bertemu dengan Rasulullah SAW di Ji’ranah, di mana Baginda membahagi-bahagikan ghanimah perang Hunain.

Apabila sampai di hadapan Rasulullah SAW, beliau pun menunjukkan kepada Baginda teks tersebut, kemudian berkata, “Wahai Rasulullah! Ini adalah catatan yang kamu berikan untukku. Aku adalah Suraqah bin Malik bin Ju’syum.” Rasulullah SAW menyahutnya, “Ini adalah hari membayar hutang budi dan memenuhi janji. Mendekatlah!” Suraqah pun datang mendekat dan menyatakan keislamannya.

Janji Rasulullah SAW kepada Suraqah dan Tertahqiqnya Janji Tersebut

Berkenaan kisah ‘Umar R.A memakaikan gelang Kisra, maka tidak diriwayatkan dalam al-Sahih, akan tetapi ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah.

Ibn Kathir berkata: Diriwayatkan kepada kami bahawa ‘Umar telah memakaikan pakaian Kisra kepada Suraqah bin Malik bin Ju’syum, ketua Bani Mudlij R.A.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/17)

Al-Hafiz Abu Bakar al-Baihaqi berkata dalam Dala’il al-Nubuwwah: Abdullah bin Yusuf al-Asbahani mengkhabarkan kepada kami, Abu Sa’id bin al-A’rabi menyampaikan kepada kami, katanya: Aku dapati di dalam kitabku dengan tulisan tanganku daripada Abu Dawud, bahawa Muhammad bin ‘Ubaid menyampaikan kepada kami, Hammad menyampaikan kepada kami, Yunus menyampaikan kepada kami, daripada al-Hasan, katanya:

 أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أُتِيَ بِفَرْوَةِ كِسْرَى فَوُضِعَتْ بَيْنَ يَدَيْهِ وَفِي الْقَوْمِ سُرَاقَةُ بْنُ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ قَالَ: فَأَلْقَى إِلَيْهِ سِوَارَيْ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ فَجَعَلَهُمَا فِي يَدَيْهِ فَبَلَغَا مَنْكِبَيْهِ فَلَمَّا رَآهُمَا فِي يَدَيْ سُرَاقَةَ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ- سِوَارَيْ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ فِي يَدِ سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ أَعْرَابِيٌّ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ وَذَكَرَ الْحَدِيثَ.

Maksudnya: Bahawa ‘Umar bin al-Khattab R.A telah dibawakan dengan pakaian dari bulu binatang Kisra, dan diletakkan di hadapannya, dan di kalangan orang ramai terdapat Suraqah bin Malik bin Ju’syum, katanya: Maka dia menyerahkan dua gelang Kisra bin Hurmuz, lalu dia meletakkan di tangannya, sehingga sampai ke bahunya. Apabila dia melihat kedua-duanya di tangan Suraqah, dia pun berkata: “Alhamdulillah. Gelang Kisra pada tangan Suraqah bin Malik bin Ju’syum, seorang A’rabi dari Bani Mudlij. Lalu dia menyebut hadith tersebut. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah, 6/325)

Adapun secara khusus berkenaan janji Nabi SAW untuk memakaikan dua gelang itu, Ibn Hajar telah menyebutkan dalam kitabnya, al-Isabah tentang janji yang mulia itu daripada al-Hasan secara mursal, katanya:

أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِسُرَاقَةَ بْنِ مَالِكٍ: كَيْفَ بِكَ إِذَا لَبِسْتَ سِوَارَيْ كِسْرَى؟ قَالَ: فَلَمَّا أُتِيَ عُمَرُ بِسِوَارَيْ كِسْرَى وَمِنْطَقَتِهِ وَتَاجِهِ دَعَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكٍ فَأَلْبَسَهُ إِيَّاهُمَا، وَكَانَ سُرَاقَةُ رَجُلا أَزَبَّ كَثِيرَ شَعْرِ السَّاعِدَيْنِ، وَقَالَ لَهُ: ارْفَعْ يَدَيْكَ. فَقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ، الْحَمْدُ للَّه الَّذِي سَلَبَهُمَا كِسْرَى ابْنَ هُرْمُزَ، وَأَلْبَسَهُمَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ الأَعْرَابِيّ.

Maksudnya: Ibn ‘Uyainah berkata, daripada Israel Abi Musa, daripada al-Hasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Suraqah bin Malik: “Bagaimana jika kamu memakai gelang Kisra?” Dia berkata: “Apabila ‘Umar dibawakan gelang Kisra, berserta pengikat pinggang dan mahkotanya, lalu dia memanggil Suraqah dan memakaikan kepadanya. Suraqah adalah seorang lelaki yang banyak bulu pada lengannya. Lalu dia berkata kepadanya: Angkat tanganmu dan ucapkanlah: Segala puji bagi Allah yang telah mencabut kedua-duanya dari Kisra bin Hurmuz dan memakaikan kedua-duanya kepada Suraqah al-A’rabi. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 3/36)

Ibn ‘Abd al-Bar menyebut dalam kitabnya al-Isti’ab, bahawa diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW sempat berkata kepada Suraqah bin Malik:

كَيْفَ بِكَ إِذَا لَبِسْتَ سِوَارَيْ كِسْرَى؟ قَالَ: فَلَمَّا أُتِيَ عُمَرُ بِسِوَارَيْ كِسْرَى وَمِنْطَقَتِهِ وَتَاجِهِ دَعَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكٍ فَأَلْبَسَهُ إِيَّاهُمَا، وَكَانَ سُرَاقَةُ رَجُلا أَزَبَّ كَثِيرَ شَعْرِ السَّاعِدَيْنِ، وَقَالَ لَهُ: ارْفَعْ يَدَيْكَ. فَقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ، الْحَمْدُ للَّه الَّذِي سَلَبَهُمَا كِسْرَى ابْنَ هُرْمُزَ الَّذِي كَانَ يَقُولُ: أَنَا رَبُّ النَّاسِ، وَأَلْبَسَهُمَا سُرَاقَةَ بْنَ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ أَعْرَابِيٌّ رَجُلٌ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ، 

Maksudnya: “Bagaimana jika engkau mengenakan dua gelang milik Kisra?”  Kemudian, tatkala Umar bin al-Khattab (menjawat jawatan sebagai Khalifah), dan dikirimkan kepada Umar dua gelang Kisra, pengikat pinggangnya dan mahkotanya, lalu Umar memanggil Suraqah dan memakaikannya kepadanya. Kata Umar kepada Suraqah: “Angkatlah kedua-dua tanganmu! Dan ucapkanlah, ‘Allahu akbar!’ Segala puji hanya bagi Allah yang telah mengambilnya dari Kisra bin Hurmuz yang menyatakan dia adalah tuhan manusia, lalu Allah pakaikan kepada Suraqah bin Malik bin Ju’syum, seorang Badwi dari Bani Mudlij.” (Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, 2/581)

Kewafatan

Suraqah bin Malik meninggal dunia pada tahun 24 H, pada awal pemerintahan Khalifah Uthman bin ‘Affan R.A. 

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *