Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berapa lama Nabi SAW berada di Quba’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat sebuah hadith sahih yang panjang menceritakan akan perihal ini. Antaranya, diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan:

قَدِمَ الْمَدِينَةَ، فَنَزَلَ فِي عُلْوِ الْمَدِينَةِ، فِي حَيٍّ يُقَالُ لَهُمْ بَنُو عَمْرِو بْنُ عَوْفٍ، فَأَقَامَ فِيهِمْ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Apabila Nabi SAW tiba di Madinah maka Nabi SAW singgah di satu kawasan yang tinggi di Madinah iaitu sebuah perkampungan yang dinamakan Bani ‘Amr bin ‘Auf. Nabi SAW menetap di situ selama 14 malam.”

 Riwayat al-Bukhari (3932) dan Muslim (524)

Dalam tempoh ini jugalah, Nabi SAW mengarahkan untuk dibina sebuah masjid. Ini dinukilkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad:

 فَأَقَامَ فِي بَنِي عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً، وَأَسَّسَ مَسْجِدَ قُبَاءَ، وَهُوَ أَوَّلُ مَسْجِدٍ أُسِّسَ بَعْدَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Nabi SAW bermukim di Bani ‘Amr bin ‘Auf selama 14 malam dan Baginda SAW mengasaskan masjid Quba’. Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama diasaskan selepas kenabian.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/52)

Dalam menjawab persoalan di atas, ulama’ berbeza pendapat akan perkara ini.

Pendapat pertama mengatakan selama 14 hari seperti mana hadith Anas bin Malik dalam al-Sahihain. Pendapat kedua pula meriwayatkan hanya 4 malam sahaja. Pendapat ini dipelopori oleh Ibnu Ishaq dalam Sirahnya.

Pendapat yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menetap selama 14 hari dan membina Masjid Quba’, dan kemudian Baginda SAW meninggalkan Quba’ pada hari Jumaat ketika berada di sisi Bani Salim. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/115)

Riwayat yang mengatakan bahawa Nabi SAW menetap di Quba’ selama 4 malam adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh penulis al-Rahiq al-Makhtum. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 170) dan ini juga merupakan pendapat Ibn Ishaq di dalam Sirah Ibn Hisyam. (Lihat Sirah Ibn Hisyam, 1/494) 

Dalam al-Rahiq al-Makhtum, dinyatakan bahawa semasa di Quba’ Baginda menetap selama empat hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Di sana Rasulullah SAW mengasaskan Masjid Quba’ dan mendirikan solat di dalamnya. Kemudian, al-Mubarakfuri (penulis) mengulas perkara ini pada bahagian nota kaki dengan menyatakan, fakta ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ibn Ishaq, dan inilah pendapat yang dipilih oleh al-Mansurfuri. 

Namun, dalam Sahih al-Bukhari turut dibawakan beberapa pendapat lain seperti 24 malam, lebih sepuluh malam dan 14 malam. Pendapat yang terakhir (iaitu 14 malam) telah dipilih oleh Ibn al-Qayyim.

Walau bagaimanapun, Ibn al-Qayyim juga ada menjelaskan, Baginda singgah di Quba’ pada hari Isnin dan bertolak keluar pada hari Jumaat. Justeru, jarak masa antara hari Isnin dan Jumaat tidak melebihi 10 hari jika tidak termasuk hari masuk dan keluar. Manakala jika dikira hari masuk dan keluar, maka ia tidak melebihi 12 hari sekiranya dalam lingkungan dua minggu.   (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 172). Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Anas bin Malik R.A bukan dari kalangan Bani ‘Amr bin ‘Auf, kerana Bani ‘Amr dari Aus dan Anas R.A dari Khazraj. Dia telah menetapkan apa yang dia sebut dan itu lebih layak untuk diterima dari orang lain. (Lihat Fath al-Bari, 7/656)

Penutup

Berdasarkan kepada perselisihan pendapat ini, kami berpendapat sebagai mana yang pertama iaitu Rasulullah SAW berada di Quba’ selama 4 hari dan Rasulullah SAW masuk ke kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabi’ul Awwal. Justeru, jadilah bermula hijrah pada 27 Safar dan sampai ke Madinah 2 minggu atau lebih sedikit. Walau bagaimanapun, yang kita pasti bahawa Rasulullah SAW telah membina masjid di Quba’.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلَا تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply