Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita melastik burung seperti burung gagak dan haiwan kecil seperti tupai sebagai content video sehinggakan jelas kelihatan haiwan-haiwan itu mati disebabkan oleh terkena batu yang dilastik? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu lastik. Lastik merupakan sejenis senjata lontaran kecil yang menggunakan tangan. Bentuk paling klasik terdiri daripada kerangka berbentuk Y dengan dua jalur getah disambungkan pada dua bahagian atas kerangka tersebut. Hujung satu lagi bagi kedua-dua jalur getah disambungkan pada kantung yang memegang bahan lontaran. Kantung ini digenggam oleh tangan yang lebih dominan dan ditarik ke belakang untuk menghasilkan cukup kuasa untuk lontaran (sehingga sedepa jika dipasang dengan jalur yang cukup panjang).

Lastik - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Gambar di atas: Lastik Mudah

Lastik amat bergantung kepada kekenyalan bahan yang kuat, biasanya getah asli vulkan atau setara, maka ia mula bertapak semasa penciptaan getah vulkan oleh Charles Goodyear pada tahun 1839 (dipatenkan pada 1844). Menjelang 1860, “enjin baharu” ini sudah memperoleh reputasi sebagai senjata laku musnah oleh remaja, serta telah menyebabkan sekurang-kurangnya satu kematian manusia.

Sepanjang sejarah terawalnya, lastik merupakan senjata “buatan sendiri”, biasanya dibuat daripada dahan pokok bercabang untuk membentuk pemegang berbentuk “Y”, dengan jalur getah yang diperbuat daripada bahan-bahan seperti tiub tayar atau mana-mana sumber getah vulkan lain yang cukup bagus serta melancarkan batu yang bersaiz bersesuaian.

Lastik - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Gambar di atas: Lastik untuk menembak anak panah

Sementara lastik terawal paling dikaitkan dengan pelaku musnah remaja, ia juga merupakan senjata memburu yang berupaya jika digunakan oleh orang yang mahir. Dengan menembak bahan lontaran logam, seperti bebola senapang lantak plumbum, atau alas bebola keluli, lastik boleh digunakan untuk menembak haiwan seperti puyuh, burung kuang, arnab dan burung merpati. Meletakkan beberapa bebola sekaligus di dalam kantung boleh menghasilkan kesan senapang patah. Dengan pengubahsuaian struktur, lastik juga boleh menembak anak panah, membolehkan pemburuan jarak pendek dilakukan.[1]

Dalam menjawab soalan di atas, agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Sehinggakan saat hendak menyembelihnya pun kita diperintahkan untuk mematikannya dengan cara yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).

Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/92).

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah: 128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

(Surah al-Ma’idah: 13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).

Seterusnya, Islam melarang keras perbuatan menzalimi haiwan. Hal ini kerana nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung ‘usfur dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Riwayat al-Nasa’i (4349); al-Darimi (1978); al-Zahabi menyatakan dalam al-Muhazzab (7/3614), sanadnya adalah baik.[2]

Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menyatakan, ini menunjukkan hukumnya adalah makruh, dan jika dikatakan hukumnya adalah haram, maka terdapat alasan kukuh bagi perkara itu kerana ia termasuk dalam perbuatan yang sia-sia, pembaziran harta dan membuang masa. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, jika dia tidak bermaksud untuk mengambil manfaat daripadanya, maka ia adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam melakukan kerosakan di atas muka bumi, dengan mensia-siakan nyawa. (Lihat Fath al-Bari, 9/602).

Larangan menyakiti dan menzalimi haiwan turut dinyatakan secara jelas dalam hadith, di mana seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW telah bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya:Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.”

Riwayat al-Bukhari (2365)

Di samping itu, kita juga dilarang daripada membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan yang sedang nazak atau dalam keadaan kesakitan yang tiada harapan lagi untuk sembuh bagi merehatkannya — daripada penderitaan yang dialami. Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh al-Syabramalisi dan Syeikh Abu Bakar al-Dimyati mengharamkan menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan, sekalipun untuk tujuan merehatkannya daripada kesakitan, seperti himar yang sakit berkekalan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/322; Hasyiah al-Syabramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 8/177 dan I‘anah a-Talibin, 2/388).

Maka, kita fahami daripada kenyataan di atas bahawa kita tidak boleh sama sekali menzalimi atau menyakiti haiwan, apatah lagi sehingga membunuhnya sekalipun bagi tujuan menghilangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggungnya. Kita hanya dibenarkan untuk membunuhnya melalui cara yang diizinkan oleh syarak (sama ada dengan sembelihan syar‘i atau memburunya dengan syarat-syarat yang telah digariskan) bagi tujuan mendapatkan manfaat daripadanya seperti untuk dimakan dan lain-lain seumpamanya.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa melastik burung atau binatang kecil dengan lastik adalah haram sekalipun bagi tujuan content video, apatah lagi jika ia menyebabkan kematian kerana jelas ia termasuk dalam perbuatan zalim dan membunuhnya dengan sia-sia.

Sebaliknya, agama Islam mengajar kita agar bersikap ihsan terhadap haiwan. Maka, termasuklah dalam perbuatan ihsan itu, tidak menyeksanya dengan cara menyakitinya melalui lastik. Begitu juga, perbuatan melastik burung atau haiwan kecil bagi tujuan suka-suka juga tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat — yakni bersikap belas kasihan dan berkasih sayang — sesama makhluk sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri. Hal ini kerana perbuatan melastiknya itu merupakan sejuzuk daripada perbuatan menyeksa haiwan. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:  

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Lastik. Diakses pada 24 Julai 2023.

[2] Begitu juga Ibn al-Mulaqqin menilainya sebagai sahih dalam al-Badr al-Munir (9/376). Manakala Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/368) menilainya sebagai hasan, dan begitu juga ia dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib (1092).

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply