Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Kisah Labah-labah dan Merpati Dihantar untuk Melindungi Nabi SAW dan Abu Bakar Ketika Peristiwa di Gua Thaur?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diceritakan bahawa Rasulullah SAW meninggalkan rumahnya pada malam 27 Safar tahun 14 kenabian bersamaan 12/13 September 622M. Baginda SAW terus menuju ke rumah sahabatnya Abu Bakar RA. Kemudian mereka berdua meninggalkan rumah Abu Bakar RA dari pintu belakang untuk keluar dengan segera dari Mekah sebelum fajar menyinsing. Nabi SAW menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha keras mencarinya dan jalan yang akan menjadi tumpuan ramai ialah jalan utama Madinah menuju ke utara, maka Baginda melalui jalan yang bertentangan sama sekali iaitu jalan yang terletak di selatan Mekah dan menuju ke arah Yaman.
Baginda merentasi jalan ini sejauh lima batu sehingga sampai ke sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Thaur. Bukit ini agak dengan batu-batunya yang keras serta laluannya yang sukar untuk didaki sehingga kaki Baginda melecet. Dikatakan bahawa Baginda sengaja berjalan menggunakan hujung kaki sepanjang perjalanan untuk menghilangkan kesan tapak kakinya. Abu Bakar RA memapah Baginda dengan bersusah payah hingga sampai ke puncak bukit yang terdapat sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Thaur. (Lihat Rahmah Li al-Alamin, 1/95)
Fiqh dan Faedah Daripada Kisah ini:
- Ibn Kathir mendatang satu riwayat yang mursal (riwayat al-Tabi’in terus kepada Nabi SAW tanpa perantaraan sahabat) daripada al-Hasan al-Basri dan riwayatnya adalah hasan dengan keadaannya untuk dijadikan syahid (penyokong kepada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma):
انْطَلَقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ إِلَى الْغَارِ، وَجَاءَتْ قُرَيْشٌ يَطْلُبُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانُوا إِذَا رَأَوْا عَلَى بَابِ الْغَارِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ قَالُوا: لَمْ يَدْخُلْ أَحَدٌ
Maksudnya: “Nabi SAW dan Abu Bakar bertolak ke gua. Manakala, kaum Quraish datang mencari Nabi SAW dan mereka melihat terdapat sarang labah-labah di pintu gua sambil berkata: Tidak ada sesiapa yang memasukinya.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/451)
- Ahli sejarah menceritakan bahawa Allah SWT telah mengirimkan labah-labah untuk membina sarangnya di pintu gua sedangkan labah-labah adalah makhluk Allah SWT yang paling lemah. Allah tidak memerangi orang-orang yang zalim kecuali dengan makhluk yang paling lemah. Tidak dikalahkan Ratu Balqis kecuali dengan burung hud-hud dan tidak mengalirkan air mata Namrud kecuali dengan seekor lalat. Allah boleh mengalahkan manusia hanya dengan seekor lalat untuk menunjukkan kekuasaan-Nya. Bagaimana jika Dia menggunakan kekuatan-Nya yang agung, memerintahkan semua malaikat-Nya. Kita meminta perlindungan dari kemurkaan-Nya, seksa-Nya dan dari kejahatan hamba-Nya.
- Mengikut sebahagian ahli sejarah juga bahawa burung merpati bertelur dengan tenang di pintu gua maka Allah memalingkan orang-orang kafir hingga mereka beredar dari depan gua.
- Strategi yang diatur oleh oleh Rasulullah SAW, begitu juga yang dilakukan oleh Abu Bakar RA menyebabkan misi hijrahnya Berjaya. Begitu juga Rasulullah SAW sengaja menukar perjalanan kea rah gua Thaur sebagai strategi untuk mengaburi musuhnya.
- Pemilihan gua mengingatkan kepada sifat fitrah manusia yang hanya berbumbungkan gua sebagai tempat tinggal pada peringkat awal mereka. Begitu juga peristiwa turunnya wahyu bermula dari gua. Gua juga menjadi penyelamat dalam misi Hijratul Rasul.
- Sahabat sejati amat sukar dicari.Tetapi dengannya, semua kerja yang payah dapat dimudahkan. Sahabat sejati adalah yang memandu rakannya ke arah ketaatan dan kebaikan.
Status Kisah Labah-labah dan Merpati ketika Nabi SAW dan Abu Bakar R.A berlindung di Gua Thur
Allah SWT menceritakan berkenaan Nabi SAW dan Abu Bakar R.A sebagaimana firman-Nya:
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Taubah: 40)
Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa pihak musyrikin Quraisy mengancam untuk membunuh Nabi SAW, dan mereka berdua berlindung di dalam gua. Selain itu, terdapat beberapa riwayat yang menceritakan berkenaan kisah ini:
Pertama: Riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
… ثُمَّ لَحِقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ بِغَارٍ فِي جَبَلِ ثَوْرٍ، فَكَمَنَا فِيهِ ثَلاَثَ لَيَالٍ، يَبِيتُ عِنْدَهُمَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَكْرٍ، وَهُوَ غُلاَمٌ شَابٌّ، ثَقِفٌ لَقِنٌ، فَيُدْلِجُ مِنْ عِنْدِهِمَا بِسَحَرٍ، فَيُصْبِحُ مَعَ قُرَيْشٍ بِمَكَّةَ كَبَائِتٍ، فَلاَ يَسْمَعُ أَمْرًا، يُكْتَادَانِ بِهِ إِلَّا وَعَاهُ، حَتَّى يَأْتِيَهُمَا بِخَبَرِ ذَلِكَ حِينَ يَخْتَلِطُ الظَّلاَمُ
Maksudnya: “Kemudian Rasulullah SAW dan Abu Bakar singgah di sebuah gua di bukit Thaur. Mereka berdua bersembunyi di dalamnya selama tiga hari, dan Abdullah bin Abu Bakar turut bermalam di situ (bersama) keduanya. Dia adalah seorang pemuda belia yang bijak dan cerdas. Dia meninggalkan tempat keduanya saat menjelang fajar. Maka pada pagi harinya dia telah berada bersama kaum Quraisy di Makkah seperti orang yang tinggal (di Makkah – supaya tiada kejanggalan dirasakan mereka). Tidaklah dia mendengar perkara yang membahayakan keduanya melainkan dia mengingatkannya dengan baik sehinggalah disampaikan kepada keduanya mengenai hal itu ketika hari telah gelap.
Riwayat Bukhari (3905) dalam kisah hijrah Nabi SAW ke Madinah
Kedua: Daripada Abu Bakar R.A, katanya:
قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا فِي الغَارِ: لَوْ أَنَّ أَحَدَهُمْ نَظَرَ تَحْتَ قَدَمَيْهِ لَأَبْصَرَنَا، فَقَالَ: مَا ظَنُّكَ يَا أَبَا بَكْرٍ بِاثْنَيْنِ اللَّهُ ثَالِثُهُمَا.
Maksudnya: Aku berkata kepada Nabi SAW ketika berada di dalam gua: “Kalau salah seorang daripada mereka melihat ke bawah kakinya, nescaya dia akan melihat kita.” Baginda bersabda: “Apa pandanganmu wahai Abu Bakar tentang dua orang, di mana Allah adalah yang ketiganya?”
Riwayat al-Bukhari (3653) dan Muslim (2381)
Manakalah Kisah mengenai sarang labah-labah telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas R.Anhuma berkaitan dengan firman Allah Taala: “وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ”, katanya:
تَشَاوَرَتْ قُرَيْشٌ لَيْلَةً بِمَكَّةَ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: إِذَا أَصْبَحَ فَأَثْبِتُوهُ بِالْوَثَاقِ يُرِيدُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ : بَلْ اقْتُلُوهُ . وَقَالَ بَعْضُهُمْ : بَلْ أَخْرِجُوهُ . فَأَطْلَعَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ نَبِيَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ذَلِكَ فَبَاتَ عَلِيٌّ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ ، وَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى لَحِقَ بِالْغَارِ ، وَبَاتَ الْمُشْرِكُونَ يَحْرُسُونَ عَلِيًّا يَحْسَبُونَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أَصْبَحُوا ثَارُوا إِلَيْهِ ، فَلَمَّا رَأَوْا عَلِيًّا رَدَّ اللَّهُ مَكْرَهُمْ ، فَقَالُوا : أَيْنَ صَاحِبُكَ هَذَا ؟ قَالَ : لَا أَدْرِي . فَاقْتَصُّوا أَثَرَهُ ، فَلَمَّا بَلَغُوا الْجَبَلَ خُلِّطَ عَلَيْهِمْ ، فَصَعِدُوا فِي الْجَبَلِ فَمَرُّوا بِالْغَارِ ، فَرَأَوْا عَلَى بَابِهِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ ، فَقَالُوا : لَوْ دَخَلَ هَاهُنَا لَمْ يَكُنْ نَسْجُ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى بَابِهِ ، فَمَكَثَ فِيهِ ثَلَاثَ لَيَالٍ .
Maksudnya: “Pada suatu malam kaum Quraisy bermusyawarah, lalu sebahagian mereka berkata: Pada waktu pagi nanti, tangkaplah dia dengan kuat – yang mereka maksud adalah Nabi SAW, Sebahagian lagi berkata: “Akan tetapi keluarkan dia dari Makkah.” Kemudian Allah SWT menunjukkan hal itu kepada Nabi-Nya. Kemudian ‘Ali R.A tidur di tempat tidur Nabi SAW pada malam tersebut. Ketika mereka melihat ‘Ali, Allah mengembalikan tipu daya mereka. Lalu mereka berkata:’ Mana temanmu ini (Nabi SAW)?’ Ali berkata: ‘Aku tidak tahu.’ Kemudian mereka mencari jejak Nabi SAW. Ketika mereka sampai ke gunung, mereka kebingungan. Lalu mereka naik ke gunung, lalu mereka melalui sebuah gua dan melihat di pintu gua tersebut sarang labah-labah, sehingga mereka berkata:’ Sekiranya dia masuk ke sini, tidak mungkin akan ada sarang labah-labah di pintunya. Lalu Baginda SAW menetap di dalamnya selama tiga malam.”
Riwayat Ahmad (3241)
Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan hadith ini. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari dan Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (3/222), hadith ini memiliki sanad yang baik. Namun, Syeikh Nasiruddin al-Albani menganggap hadith ini sebagai hadith yang lemah dalam al-Silisilah al-Dha’ifah (3/339). Ahmad Syakir dalam penelitian dan tahqiqnya terhadap Musnad Ahmad (3251) berkata: “Dalam sanadnya terdapat masalah.” Manakala para pentahqiq Musnad Ahmad yang lain berkata bahawa sanad hadith ini lemah.
Manakala mengenai kisah dua ekor burung merpati yang menutupi Nabi SAW dan Abu Bakar ketika berada di gua juga telah diriwayatkan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (3/223), beliau menyatakan bahawa ia diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, kemudian beliau menyatakan bahawa hadith ini sangat gharib dengan wajah ini. Para peneliti dan pentahqiq Musnad Ahmad juga menganggap hadith ini lemah sebagaimana yang telah disebutkan sebelumnya.
Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (3/339) mengatakan: “Ketahuilah bahawa hadith mengenai sarang labah-labah dan dua ekor burung merpati adalah tidak sahih, meskipun hal ini sering disebutkan dalam beberapa buku dan kuliah yang berkaitan dengan hijrah Nabi SAW ke Madinah. Oleh kerana itu, hendaklah kamu memiliki pengetahuan tentang hal ini.”
Mengenai perlindungan malaikat bagi Nabi SAW dan Abu Bakar, hal ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam Mu’jam Al-Kabir (24/106-108) melalui hadith daripada Asma’ binti Abu Bakar yang di dalamnya menyatakan:
فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ لِرَجُلٍ يَرَاهُ مُوَاجِهَ الْغَارِ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيَرَانَا، فَقَالَ: «كَلَّا إِنَّ مَلَائِكَةً تَسْتُرُنَا بِأَجْنِحَتِهَا …
Maksudnya: Maka Abu Bakar berkata ketika seseorang yang melihat mereka di gua: “Wahai Rasulullah, dia akan melihat kita.” Lalu, Nabi SAW menjawab: “Tidak, karena malaikat telah melindungi kita dengan sayapnya ….”
Riwayat al-Tabarani dalam Mu’jam Al-Kabir (24/106-108)
Komentar ulama’ berkenaan hadith ini:
- Dalam sanad hadith ini terdapatnya Ya’qub bin Humaid bin Kasib al-Madini, dan para ulama berbeza pendapat tentangnya. (Lihat Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi, 32/318-323).
- Yahya bin Ma’in, Abu Hatim, al-Nasa’i, dan Abu Zur’ah al-Razi menganggapnya lemah.
- Ibnu Adi berkata: “Tidak ada masalah padanya dan riwayat-riwayatnya; ia banyak meriwayatkan hadis, dan banyak hadis-hadis yang gharib.” (Lihat Tahzib al-Tahzib, 11/383-384)
- Al-Zahabi berkata: “Dia termasuk ulama hadis, tetapi memiliki banyak hadis-hadis yang cacat dan aneh.” (Lihat Mizan al-I’tidal, 4/451)
- Ibnu Hibban menganggapnya thiqah. (Lihat al-Thiqat, 9/285)
- Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Dia adalah seorang yang soduq, meskipun dia memiliki waham.” (Lihat al-Taqrib, 7815)
Syeikh Nasiruddin Al-Albani berkata dalam al-Silisilah al-Dha’ifah: “Yang dapat dipastikan mengenai Ya’qub ini adalah bahwa dia memiliki hadith yang baik. Jika tidak ada ‘illah atau kecacatan yang lain dalam sanad ini, maka hadith ini akan menjadi hasan. Selanjutnya, aku tidak menemukan biografi Syeikh al-Tabarani, iaitu Ahmad bin ‘Amr al-Khallal al-Makki, dan telah dikeluarkan hadith daripadanya dalam al-Mu’jam al-Ausat sebanyak 16 hadith, yang menunjukkan bahawa dia adalah salah seorang syeikh yang terkenal baginya. Oleh kerana itu, jika hadith ini mempunyai tawabi’ daripada jalur lain, maka hadith ini adalah hadith yang hasan.” (Lihat al-Silisilah al-Dha’ifah, 3/263):
Al-Hafiz Ibn Kathir setelah menyebutkan hadith dalam kisah sarang labah-labah daripada Musnad Imam Ahmad dan telah disebutkan sebelumnya bahawa Ibn Hajar mengatakan:
وَهُوَ مِنْ أَجْوَدِ مَا رُوِيَ فِي قِصَّةِ نَسْجِ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى فَمِ الْغَارِ، وَذَلِكَ مِنْ حِمَايَةِ اللَّهِ رَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Ini adalah sanad yang hasan, dan termasuk di antara yang paling kuat yang diriwayatkan tentang kisah sarang labah-labah di pintu gua. Hal ini merupakan perlindungan daripada Allah terhadap Rasul-Nya SAW.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/451)
Adapun tentang riwayat mengenai dua ekor merpati yang bertelur di depan gua, kami tidak menemukan teks yang thabit daripada para ulama’. Namun, jika sebahagian kibar ulama’ telah menganggap kisah sarang labah-labah yang disebutkan tadi sebagai hasan, maka tidak ada masalah untuk meriwayatkannya dan menggunakannya. Selain itu, kebiasaannya para ulama’ mengambil mudah dalam meriwayatkan perkara-perkara yang berkaitan dengan peperangan, fadhail al-a’mal, sirah dan seumpamanya, tetapi mereka sangat tegas dalam bab hukum-hakam.
Syeikh al-Islam Taqiyuddin Abu al-Abbas menukilkan daripada kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal:
إذَا جَاءَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ شَدَّدْنَا فِي الْأَسَانِيدِ؛ وَإِذَا جَاءَ التَّرْغِيبُ وَالتَّرْهِيبُ تَسَاهَلْنَا فِي الْأَسَانِيدِ؛ وَكَذَلِكَ مَا عَلَيْهِ الْعُلَمَاءُ مِنْ الْعَمَلِ بِالْحَدِيثِ الضَّعِيفِ فِي فَضَائِلِ الْأَعْمَالِ
Maksudnya: “Apabila datang riwayat dalam perkara halal dan haram, kami sangat tegas berkenaan sanadnya; dan apabila datang riwayat dalam bab al-targhib dan al-tarhib, kami bermudahan dengan sanadnya. Begitu juga dengan apa yang dipegang oleh para ulama dalam menggunakan hadith-hadith yang lemah dalam bab fadhail al-a’mal. (Lihat Majmu’ Fatawa, 18/65)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kisah labah-labah membuat sarangnya di pintu gua thaur dan juga burung merpati yang bertelur di depan gua tersebut, walaupun ia termasuk dalam riwayat yang dhaif, tetapi ia tidak menjadi masalah untuk meriwayatkannya dalam bab sirah atau sejarah kerana ia bukannlah termasuk dalam bab akidah, hukum-hakam dan juga syariat. Hal ini kerana para ulama’ sendiri ramai yang sangat tegas dengan riwayat dalam bab hukum-hakam dan sangat bermudahan dalam bab sirah, fadhail al-a’mal dan seumpamanya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H