#2451: Menjual Ayam Kepada Penyabung Ayam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya meminati ayam yang cantik bulunya seperti ayam sabung. Saya membeli dan kemudiannya membiakkan ayam tersebut. Apabila anak-anak ayam tersebut sudah besar, maka akan wujud isu tempat untuk saya menjual semula anak-anak ayam tadi.

Jika saya jual dengan cara timbang berat, ia tidak memberikan pulangan modal kerana kos membeli pembaka sahaja mencapai ribuan ringgit. 

Jika saya jual kepada komuniti ayam sabung, ia akan memberikan keuntungan yang lebih tinggi. Persoalan saya, adakah perbuatan menjual kepada komuniti ayam sabung ini dikira menyokong perbuatan yang haram dan berdosa?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sabung ayam atau laga ayam adalah merujuk pada satu sukan berdarah di mana dua ekor ayam jantan akan diadu di dalam satu arena yang dipanggil bon. Ayam yang digunakan bagi acara ini dikenali sebagai ayam sabung, merupakan sejenis baka yang dibiak dan dipilih khas bagi ciri-ciri stamina dan kekuatannya. Ayam sabung akan diberi penjagaan rapi sehingga hampir berumur dua tahun. Sabung ayam dianggap sebagai sukan berdarah oleh aktivis hak-hak dan kebajikan haiwan dan pihak-pihak lain, di sebabkan kekejaman yang dilakukan serta trauma dan kecederaan fizikal yang dialami oleh ayam-ayam ini.

Hukum sabung ayam ini adalah diharamkan kerana terdapatnya dalil yang jelas melarang perbuatan seperti ini. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.anhuma, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنِ التَّحْرِيشِ بَيْنَ الْبَهَائِمِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menegah daripada melaga-lagakan antara binatang ternakan.”

Riwayat Abu Dawud (2562)

Imam al-Syaukani ketika menghuraikan hadith di atas mengatakan, sebab larangan dalam hadith ini kerana perbuatan melaga-lagakan itu mendatangkan kesakitan kepada haiwan-haiwan itu dan meletihkan mereka, tanpa mendatangkan apa-apa faedah yang diiktiraf syara’, bahkan ia merupakan perkara sia-sia semata-mata. (Lihat Nail al-Autar, 8/99)

Kembali kepada persoalan yang diajukan, perbuatan menjual sesuatu kepada mereka yang diyakini akan menggunakannya untuk tujuan kemaksiatan di sisi syara‘, maka hukumnya adalah haram. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Sesuatu yang membawa kepada perkara haram, maka ianya juga haram.”

Pengharaman ini juga berdasarkan kaedah usul fiqh yang disebut sebagai Sadd al-Zari‘ah (سَدُّ الذَرِيعَةِ), yakni menghalang sesuatu yang membawa kepada keburukan. Imam al-Syatibi ketika membincangkan tentang pembahagian al-Zari‘ah (الذَرِيعَةُ) mengatakan bahawa, al-Zari‘ah (sesuatu yang membawa kepada keburukan) secara pasti, iaitu dengan keyakinan ia akan membawa kepada keburukan, maka ia dilarang oleh syara‘ dengan persepakatan fuqaha’ muslimin. (Lihat al-Muwafaqat, 2/357)

Contoh termudah bagi al-Zari‘ah (sesuatu yang membawa kepada keburukan) secara pasti ini adalah menjual senjata kepada 2 orang yang sedang bergaduh, kerana diyakini jika mereka datang untuk membeli senjata ketika itu pasti akan membawa kepada pergaduhan yang lebih besar dan teruk. Maka hukum jual beli di sini menjadi haram kerana ia membawa kepada perkara yang haram. Begitu juga diqiaskan hukum menjual ayam sabung kepada komuniti ayam sabung yang diyakini akan menggunakannya untuk tujuan yang diharamkan oleh syara‘.

Syeikh Zakaria al-Ansari ketika menjelaskan bentuk-bentuk jual beli yang haram beliau menyebutkan, menjual barangan seperti kurma basah atau anggur kering kepada orang yang diketahui atau pada sangkaan yang kuat dia akan gunakannya untuk membuat arak (hukumnya adalah haram) namun jika dia ragu atau hanya sekadar sangkaan maka hukum menjualnya adalah makruh. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/197)

Perbuatan tersebut juga merupakan suatu bentuk pertolongan untuk melakukan maksiat. Syara‘ melarang seseorang mu’min itu daripada membantu dalam melakukan perkara yang menjurus ke arah dosa dan perbuatan yang dilarang. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Kewajipan meninggalkan perkara maksiat ini tidak akan tercapai melainkan dengan meninggalkan pekerjaan tersebut. Maka haram menjual ayam tersebut kepada komuniti ayam sabung dan menjualnya  dengan cara lain adalah wajib.

Ini berdasarkan kaedah usul fiqh yang menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”

Kami menasihatkan saudara yang bertanya agar berusaha mencari cara lain yang lebih sesuai dengan ketetapan agama dan tidak bercanggah dengan larangan syara‘ untuk menjual ayam tersebut. Semoga dengan usaha saudara untuk mencari rezeki dengan cara yang halal, Allah SWT mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda dan tidak terjangkau oleh akal fikiran kita. Percayalah bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan usaha saudara tersebut.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’, kata mereka bahawa seorang Badawi telah datang dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya apa yang telah diilhamkan oleh Allah SWT, seraya Baginda bersabda:

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللَّهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu kerana Allah melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik bagi kamu daripadanya.”

Riwayat Ahmad (23074). Al-Albani mengatakan sanadnya sahih di  dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2/734)

Kami mendoakan agar rezeki saudara yang bertanya sentiasa dimurahkan dan dilipat gandakan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *