Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dapati harga ayam sabung atau ayam baka baik jauh lebih tinggi berbanding dengan ayam biasa ini kerana bentuknya yang unik, begitu juga suaranya yang nyaring dan warnanya yang menarik. Boleh atau tidak kami menternaknya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu kami mulakan dengan penjelasan berkenaan ayam sabung. Sabung ayam atau laga ayam adalah merujuk pada satu sukan berdarah di mana dua ekor ayam jantan akan diadu di dalam satu arena yang dipanggil bon. Sabung ayam kini merupakan aktiviti yang diharamkan di kebanyakan negeri di Amerika Syarikat, Brazil, Australia dan kebanyakan negara-negara Eropah.

Ayam yang digunakan bagi acara ini dikenali sebagai ayam sabung merupakan sejenis baka yang dibiak dan dipilih khas bagi ciri-ciri stamina dan kekuatannya. Ayam sabung akan diberi penjagaan rapi sehingga hampir berumur dua tahun. Keadaannya bagai seorang atlit profesional diadukan. Di kebanyakan bahagian lain di dunia, sabung ayam masih dibenarkan dengan kawalan kerajaan.

Sabung ayam dianggap sebagai sukan berdarah oleh aktivis hak-hak dan kebajikan haiwan dan pihak-pihak lain, di sebababkan kekejaman yang dilakukan serta trauma dan kecederaan fizikal yang dialami oleh ayam-ayam ini.

Beberapa kajian menunjukkan terdapat beberapa jenis ayam laga yang umumnya ada iaitu:

  • Jenis Ayam Hujung Tanduk iaitu ayam ini mengunakan tanduk kambing hutan yang dibentuk menjadi seakan taji asli dengan panjang 3-5 inci. 
  • Jenis Ayam Taji Asal dimana jenis ayam ini hanya menggunakan taji asli yang terdapat pada kaki ayam laga (tidak dipotong atau ditambah dengan taji buatan).
  • Jenis Ayam Batang Kaki iaitu jenis ayam ini pula tergolong dalm 2 jenis iaitu ayam yang tidak mempuyai taji dari asal (ayam gusi) dan ayam yang tajinya dipotong.

Penggemar sabung ayam boleh mengenal pasti kekuatan dan kebolehan atau tuah seseekor ayam sabung dengan melihat rupa bentuk, gerak gaya dan terutama sekali sisik pada kaki ayam tersebut sebelum bersabung.

Harga ayam sabung dewasa boleh bermula dari RM 100 dan mencecah ribuan ringgit berdasarkan ciri-ciri yang diminati oleh peminat ayam sabung.

Hebatnya ayam RM19,400

SUHAIDI dan Norhidaya menunjukkan ayam pama diberi nama Sut Dragon yang dibeli dengan harga RM19,400. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli. Ayam tersebut dijual seorang penternak ayam baka dari Buriram Esan, Thailand, Somchai Sukrat, kepada Suhaidi Ali, 32, dari Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Seperti yang kami telah jawab dalam siri yang lalu di dalam Ahkam Syar’iyyah bertajuk Menjual Ayam Kepada Penyabung Ayam, maka kami katakan ia bergantung kepada niat seseorang. Jika niat seperti yang saudara katakan, maka hukumnya adalah harus. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs Umar bin al-Khattab RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِى مَا نوَى 

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Nas ini dengan jelas menunjukkan peri pentingnya pembetulan niat dan maqasidnya yang akhirnya menjadi matlamat dalam satu-satu perbuatan. Di situlah dinilai untuk diberi pahala atau tidak.

Sebagai contoh, jika dipelihara untuk baka semata-mata tetapi bukan untuk sabung kerana keunikannya dan juga suara kokoknya, maka kami berpendapat hukum menternak dan membela ayam sabung seperti ini adalah diharuskan. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلَاقِ ، وَالأَهْوَاءِ وَالْأَسْوَاءِ وَالْأَدْوَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit- penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply