Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh saya tahu kesahihan kisah, “Asal usul bola sepak ialah dari kepala Saidina Husin cucu Rasulullah SAW yang dipancung dan dijadikan bola dan disepak selama 20 hari di hadapan para ulama pada zaman itu.”?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Melalui pencarian kami, sejarah tentang asal-usul bola sepak tiada disebutkan langsung berkenaan kisah yang saudara ajukan. Berikut adalah sejarah ringkas berkenaan asal-usul sukan bola sepak:

Sejarah awal bola sepak

Menurut penemuan ahli sejarah permainan pertama yang diketahui tentang permainan berpasukan yang melibatkan bola, yang diperbuat daripada batu ialah pada zaman Mesoamerika lama iaitu lebih 3,000 tahun yang lalu. Ia dimain oleh Aztec yang dipanggil Tchatali, walaupun pelbagai versi permainan ini tersebar di kawasan-kawasan lain yang besar. 

Dalam beberapa upacara ritual, bola yang dimain ini juga dikatakan melambangkan matahari dan kapten pasukan yang kalah akan dikorbankan kepada tuhan. Ciri unik versi permainan bola Mesoamerika ialah bola melantun yang diperbuat daripada getah – tiada tamadun awal lain yang mempunyai akses kepada getah.

Permainan bola pertama yang direkodkan juga melibatkan sepakan berlaku di China pada abad ke-3 dan ke-2 SM dengan nama cuju. Cuju dimainkan dengan bola bulat (diperbuat dariapda kulit haiwan yang dijahit dengan bulu atau dipenuhkan dengan bulu di dalamnya) di atas kawasan empat segi. Bentuk ubah suai daripada permainan ini kemudiannya merebak ke Jepun dan dengan nama kemari diamalkan dalam bentuk upacara mereka.

Mungkin lebih tua daripada permainan cuju ialah Marn Gook, permainan ini dimainkan oleh Orang Asli Australia dan menurut pendatang kulit putih pada tahun 1800-an, ia adalah permainan bola yang terutamanya melibatkan sepakan. Bola itu dibuat dengan daun atau akar yang terbungkus. Peraturan kebanyakannya tidak diketahui, tetapi seperti kebanyakan versi awal permainan yang lain, ciri utama nampaknya adalah untuk mengekalkan bola di udara.

Pelbagai permainan bola lain telah direkodkan dari Yunani Kuno. Bola dibuat daripada serpihan kulit yang diisi dengan rambut (dokumen pertama bola yang diisi dengan udara adalah pada abad ke-7). Permainan bola bagaimanapun mempunyai status yang rendah dan tidak termasuk dalam Sukan Panhellenic. 

Di Rom Purba, permainan dengan bola tidak termasuk dalam hiburan di arena besar (amfiteater), tetapi berlaku dalam latihan dalam tentera dengan nama Harpastum. Ia adalah budaya Rom yang akan membawa bola sepak ke pulau British (Britannica). Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pada tahap mana orang British dipengaruhi oleh kepelbagaian ini dan pada tahap mana mereka kemudian mengadaptasikan permainan ini dan membentuk permainan mereka sendiri yang akhirnya menjadi permainan bola sepak yang kita kenal pada hari ini.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, soalan ini juga sebenarnya telah dijawab oleh dua orang Mufti di Malaysia pada tahun 2022 seperti berikut:

  • Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman, Mufti Pahang menegaskan bahawa perkara itu tidak benar kerana tiada satu hujah pun yang boleh menunjukkan kesahihan mengenai kejadian tersebut.
  • Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron turut bersetuju dengan kenyataan Mufti Pahang dan menambah, “Ia satu bentuk sukan dan tidak berkait dengan apa pun. Sekadar riadah saja. Jadi apa-apa pun jenis sukan yang tidak bercanggah dengan Islam boleh dimain, cuma perlu menjaga etika pakaian,””

Kami katakan bahawa sejarah yang telah dibentangkan menunjukkan yang permainan bola sepak telah berkembang sistemnya sejak ribuan tahun dahulu. Justeru, dengan berfaktakan kepada sejarah ia telah menafikan sangkaan dan sebuah pandangan berdasarkan persoalan di atas yang tidak ada kena-mengena.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada ALlah SWT mudah-mudahan Allah SWT sentiasa mengurniakan kepada kita kebaikan dalam melayari kehidupan ini:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيتُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلَا تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply