Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seseorang menggunakan boneka atau robot seks bagi melampiaskan nafsunya kerana ia tidak melibatkan manusia atau orang sebenar secara hakikatnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi boneka seks atau dipanggil juga sebagai “sex doll.” Boneka seks ialah ialah sejenis mainan seks antropomorfik dalam saiz dan bentuk pasangan seksual. Boneka seks mungkin terdiri daripada seluruh badan, atau hanya kepala, pelvis atau bahagian badan lain (faraj, dubur, mulut, zakar, payudara) yang bertujuan untuk rangsangan seksual. Bahagian-bahagiannya kadangkala bergetar dan mungkin boleh dialihkan dan boleh ditukar ganti. Boneka seks wujud dalam pelbagai bentuk, tetapi biasanya dibezakan daripada robot seks, yang merupakan ciptaan antropomorfik yang direka untuk dapat melibatkan diri dalam interaksi yang lebih kompleks.[1]

Para pencipta boneka seks ini percaya bahawa dengan kewujudan patung atau robot seks ini, ia boleh menyelesaikan masalah perhubungan tanpa mendatangkan kemudaratan. Hakikatnya, pemikiran ini tidak begitu tepat kerana ia hanya akan melahirkan golongan gila seks atau hiperseksual akibat kewujudan sesuatu yang tidak patut wujud. Sama ada individu tersebut bujang atau tidak, perbuatan melampiaskan nafsu terhadap objek, haiwan atau apa sahaja selain manusia sudah melanggar fitrah dunia.

Akibatnya, ia akan membuat manusia tidak lagi memerlukan ikatan perhubungan atau perkahwinan kerana sudah boleh menyalurkan nafsu syahwat terhadap sesuatu yang tidak bernyawa. Dari aspek kesihatan fizikal dan mental pula, sudah tentu risiko penyakit jangkitan kelamin serta kecelaruan minda akan terjadi akibat ketagihan ‘bermain’ bersama patung atau boneka seks.[2] Bahkan penggunaan secara terus menerus boleh menyebabkan risiko asma, penyakit kelamin, gangguan saraf, dan lainnya.[3]

Dalam menjawab soalan di atas, penggunaan boneka seks dan benda-benda seumpamanya boleh disamakan dengan perbuatan onani. Secara umumnya, seseorang tetap tidak dibolehkan untuk melakukan onani dengan menggunakan tangannya sendiri. Hal ini kerana seseorang itu hanya dibolehkan melakukan onani dengan tangan pasangannya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/97) bahawa istimna’ ialah perbuatan meminta untuk mengeluarkan air mani. Manakala dari segi istilah pula, istimna’ adalah mengeluarkan air mani tanpa melalui persetubuhan (jimak), sama ada secara haram seperti mengeluarkan air mani dengan tangannya sendiri kerana adanya keinginan syahwat, atau dengan cara yang tidak diharamkan (yakni cara yang halal) seperti mengeluarkan air mani dengan tangan isterinya (pasangannya).

Justeru, penggunaan boneka seks adalah tidak dibolehkan dan ia termasuk dalam perbuatan melampaui batas-batas Allah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya:Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5) kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Jadi, bersedap-sedapan dengan boneka seks atau benda-benda seumpamanya adalah termasuk dalam bentuk perbuatan melampaui batas-batas Allah SWT sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas. Hal ini kerana ia termasuk dalam mencari kepuasan nafsu dengan selain daripada yang dibenarkan iaitu sama ada dengan isteri atau hamba sahayanya. Ini adalah sebagaimana disebutkan dalam Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir (hlm. 446) bahawa sesiapa yang melakukannya terhadap selain isteri dan hamba sahaya perempuan mereka, maka dia adalah orang yang melampaui batas, zalim, dan berdosa.

Imam al-Syafi‘i menyatakan, ayat di atas jelas menerangkan agar setiap orang Mukmin menjaga kemaluan mereka kecuali pada isteri-isteri mereka dan juga kepada hamba perempuan yang dimiliki serta pengharaman bagi selain daripada keduanya. Ayat ini juga menjadi dalil kepada halalnya pernikahan dan halalnya perbuatan talazzuz (bersedap-sedapan) dan sebagainya pada faraj isteri dan hamba perempuan yang dimiliki selain ia menjelaskan bahawa perbuatan istimna‘ (onani) tidak termasuk dalam perkara yang dihalalkan baginya. (Lihat al-Umm, 5/155).

Seterusnya, turut dinyatakan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (16/421) bahawa hukum mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah haram, dan ramai daripada kalangan ulama yang berpegang dengannya. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Mengahwini hamba perempuan adalah lebih baik darinya (mengeluarkan mani dengan sengaja).” Mereka kesemuanya berpegang pada dalil yang sama iaitu pada surah al-Mukminun ayat 5-7. Perkara ini juga turut diakui oleh pakar-pakar fisiologi dan juga doktor-doktor perubatan bahawa perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja boleh membawa kepada pembunuhan keinginan seksual dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu tidak dapat mengeluarkannya (air mani) ketika persetubuhan melainkan dengan cara mengeluarkannya sendiri dengan menggunakan tangan seterusnya mengabaikan tanggungjawabnya dan tugasnya sebagai seorang suami. Perbuatan ini juga membunuh fungsi alatnya (kemaluan) atau mengurangkan kebersamaan suami isteri. Maka, kesemua kerosakan dan juga keburukan ini amatlah dilarang daripada berlaku ke atas diri manusia.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menggunakan boneka atau robot seks bagi melampiaskan nafsunya adalah tidak dibolehkan dan haram kerana ia termasuk dalam perbuatan onani dan melampaui batas-batas Allah SWT. Tidak dapat dinafikan, pada masa dahulu boneka atau robot seks tidak dikenali dan onani biasanya hanya dikenali dengan menggunakan tangan. Namun, pada hari ini terdapat banyak alat lain yang boleh digunakan bagi mengeluarkan air mani selain daripada menggunakan tangan seperti boneka seks, robot seks, faraj tiruan dan lain-lain. Mengeluarkan sperma dengan alat-alat ini termasuk dalam perbuatan mengeluarkan air mani tanpa melalui jalan persetubuhan atau dipanggil sebagai istimna’ (onani), dan istimna’ hanya dibolehkan dengan menggunakan tangan pasangannya yang sah sahaja.

Kami tidak dapat menafikan di sana terdapat dalam kalangan ulama mengharuskan onani bagi menahan syahwat yang bergelora dalam diri seseorang yang boleh menyebabkannya melakukan zina. Contohnya, seorang lelaki yang ingin bersetubuh dengan isterinya, namun tidak boleh disebabkan haid, maka dibolehkan untuk istimna‘ (onani) dengan menggunakan tangannya sendiri bagi mengelakkan dan menjauhkan dirinya daripada melakukan perbuatan zina. Ini kerana mengambil (melakukan) mafsadah (kerosakan) yang ringan bagi menghalang daripada mafsadah yang berat di antara keduanya. Bahkan diwajibkan pula. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj oleh al-Haitami, 1/389); Hasyiah al-Syabramalisi dalam Nihayah al-Muhtaj, 1/331).

Sekalipun begitu ia tidak menjadikan perbuatan tersebut diharuskan ke atasnya untuk dilakukan kerana ia tetap haram. Akan tetapi dibenarkan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih besar ke atas dirinya iaitu perbuatan zina. Begitu juga halnya dengan ketidakmampuan untuk berkahwin. Ia sama sekali tidak menjadikan perbuatan-perbuatan haram seperti itu dibolehkan ke atasnya untuk dilakukan. Sebagai seorang Muslim, kita harus menjauhi apa yang Allah SWT telah haramkan dan berusaha menghindari segala jalan yang membawa kepada perkara tersebut. Sepatutnya kita memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT, dan jika kita benar-benar ikhlas, pasti akan mendapatkan pertolongan dan petunjuk daripada-Nya.

Seseorang itu, boleh mengurangkan gelojak syahwatnya dengan cara berpuasa. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri menasihati orang yang tidak mampu berkahwin dengan perkara tersebut sebagaimana sabdanya:

مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَصُمْ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءَ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa dalam kalangan kamu yang berkemampuan, hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya pernikahan membantu untuk menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu perisai bagi dirinya.”

Riwayat Abu Daud (2046)

Tambahan lagi, tidaklah dibuka pintu yang membicarakan mengenainya melainkan dengan sebab filem-filem yang rendah nilai akhlaknya (seperti pornografi dan seumpamanya) yang dibawa masuk kepada kita oleh budaya globalisasi. Sedangkan apa yang Allah SWT telah halalkan buat kita adalah lebih banyak lagi daripada perkara yang diharamkan-Nya. Lebih-lebih lagi, terdapat kajian menunjukkan penggunaan boneka seks terdedah kepada risiko penyakit jangkitan kelamin serta kecelaruan minda akan terjadi akibat ketagihan ‘bermain’ bersama patung atau boneka seks. Oleh itu, sewajarnya penggunaannya dijauhi.

Sebagai maklumat tambahan, kami juga pernah membahaskan berkenaan topik yang hampir serupa dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #590 Alat Bantuan Seks ketika Hubungan Intim Suami Isteri.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Sex_doll. Diakses pada 25 Julai 2023.

[2] Lihat https://hellodoktor.com/seks-hubungan/petua-seks/kesan-negatif-patung-seks-robot/. Diakses pada 25 Julai 2023.

[3] Lihat https://hellosehat.com/seks/tips-seks/bahan-dan-bahaya-boneka-seks/. Diakses pada 25 Julai 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/590-alat-bantuan-seks-ketika-hubungan-intim-suami-isteri/. Diakses pada 25 Julai 2023.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply