Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ada satu persoalan, saya maklum dengan hukum pemakaian bindi dalam kalangan orang agama Islam, namun bagaimana pula dengan pemakaian perhiasan tikka di dahi semata-mata untuk mengikut tema bollywood?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Surah al-Hujurat (13)

Namun begitu, perlu difahami Islam amat menitik berat umatnya agar menjaga batasan syariat supaya tidak melakukan perkara yang melampaui batasan agama seperti melakukan perbuatan syirik terhadap Allah SWT dan seumpamanya.

Perkara yang perlu diambil perhatian dalam pemakaian adalah sama ada ia merupakan kegunaan bagi syiar atau simbol dalam agama atau sekadar adat dan budayanya sahaja. Hal ini kerana Baginda Nabi SAW melarang menyerupai golongan kafir di dalam hal syiar atau identiti agama mereka. Hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa Baginda Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka

Riwayat Abu Daud (4031)

Definisi Bindi

Bindi merupakan perhiasan yang sangat penting bagi penganut agama Hindu, yakni dengan meletakkan tanda pada dahi di antara kedua bulu kening dan ia juga disebut sebagai Tika, Pottu, Sindoor, Tilak, Tilakam dan Kumkum dengan saiz kecil atau besar yang berbentuk bulat. Bindi dihiasi pada dahi yang diambil daripada perkataan Sanskrit iaitu “Bindu” membawa maksud sebagai mistik mata ketiga bagi seseorang. 

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum memakai Bindi/Tikka di dahi adalah diharamkan kerana ia merupakan simbol di dalam agama Hindu. Bahkan, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal .Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara. Antaranya:

  • Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh

Akan tetapi, jika sekiranya pemakaian tradisional itu tidak mempunyai unsur keagamaan seperti pakaian yang bercirikan budaya dan adat setempat maka ia adalah harus dengan mengikut etika pemakaian dalam Islam misalnya menutup aurat dan tidak mengundang fitnah. Ini kerana Baginda SAW pernah memakai jubah daripada Rom seperti yang diriwayatkan oleh Mughirah bin Syu’bah R.A bahawa bapanya katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيهِ وَسَلم لَبِسَ جُبَّةً رُومِيَّةً ضَيِّقَةَ الْكُمَّيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang kedua tangan bajunya sempit

Riwayat al-Tirmizi (1768)

 

Akhir kalam, semoga sedikit pencerahan ini, membantu kita dalam memahami agama dengan lebih baik lagi agar kehidupan kita sentiasa di bawah rahmat Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

للَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

 

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply