Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah kaitan agama Islam dan ilmu falsafah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sejarah Tentang Ilmu Falsafah

Permulaan bagi kewujudan ilmu falsafah ialah di Barat and ia terus berkembang, khususnya di kalangan bangsa Greek, beberapa abad sebelum kelahiran agama Kristian dan Islam. Falsafah era ini dikenali dengan nama falsafah klasik ataupun antikuiti. Antara tokoh-tokoh ahli falsafah Greek yang terkenal termasuk Socrates (470-399 B.C.), Plato (427-347 B.C.) dan Aristotle (384-322 B.C.). 

Selepas kelahiran agama Kristian, falsafah antikuiti terus berkembang di pusat-pusat pengajian Kristian seperti di Rome, Syria dan Alaxanderia beberapa abad lamanya sebelum falsafah tersebut diperkenalkan kepada tokoh-tokoh falsafah Islam Baghdad bermula pada pertengahan abad ke-9 dan berterusan hingga abad ke-10 Masihi. 

Sekolah-sekolah pemikiran seperti Stoicism, Epicureanism dan Neo-Platonisme merupakan aliran-aliran penting era ini. Sekolah-sekolah tersebut didakwa telah memperkenalkan falsafah yang berbau agama dan banyak mempengaruhi pembentukan pemikiran dan doktrin agama Kristian dan Yahudi pada era-era tersebut. 

Karya-karya falsafah era antikuiti terbukti telah sampai dan dibaca oleh ahli-ahli falsafah Islam terkenal seperti al-Kindi (1978), al-Razi (1978), al-Farabi (1983), Miskawayh (1966), al-Ghazali (1976), dan al-Tusi (1964). Apa yang perlu diperhatikan, pemikiran falsafah era antikuiti mula ditelaah oleh ahli-ahli falsafah Muslim kira-kira pada akhir abad ke-9 dan awal abad ke-10 Masihi. Pada abad-abad tersebut perkembangan pelbagai disiplin ilmu agama seperti ilmu kalam, ilmu fiqh, ilmu hadith, ilmu tafsir dan mazhab-mazhab terbesar dalam Islam, Syafi‘i, Maliki, Hambali dan Hanafi, sudah lama berkembang dan hampir mencapai kesempurnaan ketika itu. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pembentukan ilmu-ilmu tradisi dalam Islam tersebut berkembang secara alamiah dan tidak dipengaruhi oleh falsafah dan pemikiran asing seperti pemikiran Greek, India dan Parsi.

Kritikan Terhadap Falsafah 

Oleh kerana ilmu falsafah mula diperkenalkan kepada masyarakat Islam kira-kira selepas penubuhan Universiti al-Hikmah (Bayt al-Hikmah) oleh Khalifah al-Ma’mun selepas pertengahan abad ke-9 Masihi, maka sudah tentu ilmu falsafah telah mendapat pelbagai respons, positif mahupun negatif, terutama oleh sebilangan tokoh fuqaha’, mutakallimun dan sufiyyun. Antara karya-karya awal dan penting dalam konteks ini bolehlah disebut umpamanya kitab Tahafut al-Falasifah oleh Imam al-Ghazali (M.1111). 

Kitab ini tidak menentang falsafah sebagai suatu disiplin ilmu yang berautoriti, tetapi telah mengkritik kurang lebih dua puluh isu falsafah yang didakwa oleh al-Ghazali bertentangan dengan Syariat Islam, sehingga beliau sanggup mengkafirkan al-Farabi dan Ibn Sina kerana didakwa bersetuju dengan beberapa idea Aristotle seperti tentang ilmu Tuhan dan kebangkitan semula. 

Kritikan tersebut telah menyebabkan kemunculan sebuah lagi karya besar dalam bidang falsafah iaitu kitab Tahafut al-Tahafut oleh Ibn Rushd. Kitab Tahafut al-Tahafut ditulis khusus bagi mempertahankan kewibawaan ilmu falsafah daripada perspektif Syariat Islam dan sekaligus bagi menjawab pelbagai isu dan kritikan terhadap falsafah terutama oleh Imam al-Ghazali dalam Tahafut al-Falasifah. 

Pada masa kini, isu kritikan terhadap falsafah masih mendapat perhatian ramai sarjana. Oliver Leaman (1985), adalah antara sarjana era moden yang telah membuat liputan yang agak komprehensif tentang perdebatan mengenai beberapa tema falsafah yang dianggap kontroversi seperti isu kejadian alam, ilmu Tuhan dan isu kebangkitan semula, melalui kajian beliau bertajuk, An Introduction to Medieval Islamic Philosophy. Manakala kajian oleh I.A. Bello (1989) tentang kontroversi antara falsafah dan ortodoks, atau antara ijma’ dan ta’wil mengikut pendangan al-Ghazali dan Ibn Rushd, didapati cukup komprehensif serta sudah memadai bagi tema tersebut. 

Akibat terperangkap secara langsung dalam kancah polimik antara falsafah dan Syariat tersebut, tokoh-tokoh ulama, fuqaha’ yang sekaligus ahli falsafah Islam terbilang seperti al-Kindi dan Ibn Rushd telah menulis beberapa karya untuk menjelaskan isu ini. Al-Kindi menulis Fi’l-Falsafah al-Ula, bagi membuktikan bahawa ilmu falsafah menduduki darjat yang paling atas di kalangan ilmu akliah (acquired knowledge), justeru ia memandu manusia ke arah kebenaran (al-haqq), ataupun ke arah mengenal Allah, kerana Allah adalah al-Haqq, sumber kepada segala kebenaran dan ilmu pengetahuan. Manakala Ibn Rushd pula menghasilkan karya yang sangat tersohor yang membahaskan kedudukan ilmu falsafah berdasarkan perspektif Syariat Islam iaitu, Kitab Fasl al-Maqal fima bayn al-Hikmah wa’l-Syari‘ah min al-Ittisal.

Objektif utama kitab Fasl al-Maqal adalah untuk menjelaskan hukum mempelajari ilmu falsafah menurut Syariat Islam. Buku tersebut juga sekaligus bagi menjawab secara autentik pelbagai tuduhan negatif terhadap ilmu falsafah terutama oleh tokoh-tokoh ilmuan tradisional seperti Imam al-Ghazali. 

Antara topik-topik penting yang dibahas secara ilmiah oleh Ibn Rushd dalam kitab ini adalah termasuk definisi falsafah dan syariat serta beberapa persoalan epistemologi tentang hukum mempelajari ilmu falsafah seperti, adakah ilmu falsafah dan logik harus ataupun haram?

Dan sekiranya harus, adakah ia sekadar sunat dipelajari atau pun menjadi suatu kewajipan agama kepada orang-orang Islam? Apakah pula syarat asas yang perlu dimiliki oleh seseorang bagi melayakan diri mereka mempelajari ilmu falsafah? Bolehkah seseorang Muslim belajar falsafah atau ilmu-ilmu perolehan lain (acquired knowledge) daripada orang bukan Islam?

Apakah kaedah-kaedah berfikir yang betul dan syarat-syarat untuk menjalankan ta’wil dalam Syarak? Serta beberapa persoalan sampingan lain yang berkaitan dengan pengajian ilmu falsafah mengikut Syariat Islam.

Hukum Mempelajari Ilmu Falsafah 

Falsafah sebagaimana diringkaskan oleh Ibn Rushd, adalah tidak lain daripada aktiviti memikir dan menyelidik tentang segala benda yang wujud dalam alam ini. Dan oleh kerana Syariat pula menyeru manusia melakukan penyelidikan dan kajian yang mendalam terhadap alam, kerana kajian tersebut dapat membantu manusia meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan baru yang masih belum diketahui sebelum ini. 

Maka sesuai dengan semangat dan kehendak Syarak, Ibn Rushd merumuskan bahawa Syariat Islam bukan sahaja mengharuskan pengajian ilmu falsafah, malah apa yang lebih penting Syariat mewajibkan golongan yang berkelayakan supaya mempelajari ilmu tersebut. Persoalannya siapakah golongan yang berkelayakan itu? 

Menurut Ibn Rushd , golongan yang berkemampuan dan lantas wajib mempelajari ilmu falsafah adalah kalangan orang yang memenuhi dua syarat penting yang berikut: 

  • Kebijaksanaan semulajadi (dhaka’ al-fitrah) 
  • Integriti perundangan (al-‘adalat al-syari‘ah
  • Serta mempunyai akhlak yang mulia (al-fadilat al-khuluqiyyah). 

Para pelajar ataupun orang yang memenuhi syarat-syarat tersebut mesti dibenarkan untuk mempelajari ilmu falsafah bagi membolehkan mereka memperolehi pengetahuan yang sebenar mengenai Allah. 

Walau bagaimanapun, jika ada orang yang telah sesat kerana menuntut ilmu falsafah disebabkan oleh beberapa faktor seperti, kelemahan dirinya, persediaan yang lemah, dikuasai oleh nafsu, tidak dipimpin oleh guru yang berkelayakan, ataupun oleh gabungan pelbagai sebab yang tersebut, maka tidak bererti bahawa pengajian ilmu falsafah perlu diharamkan. 

Ilmu falsafah amat berguna dan sesuatu yang sangat berfaedah secara fitrah. Manakala pelbagai kelemahan tersebut pula boleh juga berlaku kepada bidang ilmu lain seperti ilmu fiqh. Tetapi adakah ilmu fiqh juga perlu diharamkan, sekiranya terdapat fuqaha’ yang sesat ataupun kurang ketaatan beragama. 

Justeru itu, Ibn Rushd menegaskan: “Sesungguhnya ibarat orang yang melarang seseorang yang berkemampuan daripada mempelajari buku-buku falsafah kerana beberapa orang dikatakan telah menjadi sesat akibat mempelajari ilmu tersebut, adalah sama seperti melarang seseorang yang sangat haus daripada meminum air yang dingin dan segar, sehingga dia mati kehausan, kerana ada orang yang mati tercekik akibat meminum air dalam keadaan seperti itu. Sedangkan kematian akibat tercekik adalah suatu kemalangan, sementara kematian akibat dahaga adalah suatu kelaziman yang pasti akan berlaku.”

Satu lagi syarat penting yang perlu dikuasai oleh seseorang untuk mendalami ilmu falsafah adalah dengan menguasai kaedah-kaedah pemikiran teoritikal serta segala peraturan yang berkaitan, bagi membolehkan mereka membuat perbezaan antara pemikiran yang sah dan yang tidak sah. 

Mereka perlu menguasai kaedah pemikiran yang sempurna yang dikenali sebagai pemikiran melalui pembuktian (al-qiyas al-burhani), disamping kaedah-kaedah pemikiran lain seperti kaedah perdebatan atau dialog (al-qiyas al-jadali). 

Jika fuqaha’ merujuk kepada sumber Syariat bagi memperolehi pengetahuan tentang pelbagai kaedah dalam ilmu fiqh, maka para ahli falsafah juga perlu menguasai hujah-hujah akliah untuk mengenal Allah dan kewujudan alam. Sekiranya ulama-ulama fiqh menggunakan hujah-hujah fiqh (al-qiyas al-fiqhi) seperti bagi memahami firman Allah yang bermaksud: 

فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ

Maksudnya: “Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.” 

Surah al-Hasyr (2)

Maka, sangat wajarlah pula ahli-ahli falsafah menggunakan hujah-hujah akliah (al-qiyas al-‘aqli). Oleh itu, makrifat dan kebenaran yang dicapai oleh tokoh-tokoh fuqaha’ sebenarnya berada pada taraf yang sama dengan kebenaran yang diijtihadkan oleh tokoh-tokoh falsafah, cuma metodologi dan bidang tujahan kajian mereka sahaja yang mungkin berbeza, sekalipun mereka merujuk kepada nas syariat yang sama. 

Justeru itu, Ibn Rushd menegaskan: “Terdapat golongan yang menolak ilmu falsafah dan lojik berhujah bahawa kajian menggunakan hujah-hujah akliah (al-qiyas al- ‘aqli) hukumnya adalah bid’ah, kerana ia tidak wujud di kalangan golongan awal umat Islam. Sedangkan kajian tentang hujah-hujah dalam ilmu fiqh serta jenis-jenisnya juga tidak terdapat di kalangan umat Islam awal, tetapi anehnya hujah-hujah fiqh tidak pula dikatakan sebagai suatu bidaah. 

Maka atas alasan yang sama, golongan tersebut mesti menerima hujah-hujah akliah sebagaimana mereka menerima hujah-hujah fiqh. Walau bagaimanapun, kebanyakan penganut agama Islam menerima hujah-hujah akliah, melaikan terdapat golongan kecil sahaja yang menolaknya berpandukan fahaman mereka terhadap beberapa nas.” 

Oleh itu, andainya pemikiran akliah (falsafah dan logik) tidak dikaji dan dikembangkan oleh golongan awal umat Islam, maka ia merupakan tanggungjawab umat yang terkemudian untuk mempelajari dan membangunkan disiplin ilmu tersebut bagi melaksanakan kewajipan dan tuntutan Syarak supaya umat Islam menjalankan penyelidikan terhadap kewujudan. 

Tetapi jika sudah ada sesuatu bangsa yang silam seperti bangsa Greek, India dan Parsi telah menguasai ilmu ini dengan sempurna, maka amat wajarlah bagi kita umat Islam supaya memperolehi bantuan daripada kajian bangsa-bangsa tersebut, walaupun mereka bukan beragama Islam. 

Lantas Ibn Rushd mengemukakan hujah berikut:

“………maka apabila kita menemui hasil kajian bangsa silam mengenai kewujudan, dan jika kajian itu menepati syarat-syarat pembuktian dan keterangan yang diperlukan, maka adalah menjadi suatu kewajipan Syarak kepada kita supaya mengkaji pandangan dan teori mereka. Kita sepatutnya menerima dan terhutang budi kepada mereka di atas mana-mana pandangan yang benar, serta berwaspada tentang yang salah dan menolaknya. Oleh itu jelaslah, bahawa pengajian terhadap buku-buku umat silam adalah diwajibkan oleh Syarak, kerana matlamat kajian buku-buku tersebut adalah menepati dengan apa yang digesa oleh Syarak.” 

Manakala golongan yang menghalang orang Islam yang berkelayakan untuk menguasai ilmu falsafah, termasuk daripada orang bukan Islam, adalah ibarat menyekat seseorang daripada melaksanakan suruhan Syariat Islam. Ibn Rushd menegaskan: 

“……..dan sesiapa yang menghalang seseorang yang berkemampuan daripada mengkaji buku-buku (falsafah) tersebut, iaitu sesiapa sahaja yang mempunyai dua kelebihan berikut – kebijaksaan semulajadi dan integriti perundangan dan akhlak yang mulia – adalah ibarat menghalang orang daripada pintu yang digesa oleh Syarak ke arah mengenal Allah, iaitu pintu kepada suatu kajian teoritikal yang dapat memandu ke arah makrifat yang sebenar tentang Allah. Sesungguhnya perbuatan seperti ini adalah suatu kejahilan dan pengasingan daripada Allah Yang Maha Berkuasa”.  

Walaupun begitu, kami katakan apa-apa ilmu, keperluan ilmu fardhu ain adalah diutamakan. Inilah yang terbaik dan sepatutnya ketika kita menuntut ilmu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply