Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada saya, sifat Nabi Ibrahim AS?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan beberapa dalil. Antaranya:

Firman Allah SWT:

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah.”

[Surah al-Nahl: 120] 

Ibn Kathir berkata: Makna ‘أُمَّةً ’ adalah imam yang dijadikan teladan. Ibn Mas’ud berkata: “Makna ‘أُمَّةً ’ adalah orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” Ibn ‘Umar berkata: “Makna ‘أُمَّةً ’ adalah orang yang mengajarkan agama kepada manusia. Mujahid berkata: “Nabi Ibrahim adalah  ‘أُمَّةً ’ iaitu hanya dia yang beriman seorang diri, dan semua orang pada waktu itu kafir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/270)

Firman Allah SWT:

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَأَوَّاهٌ حَلِيمٌ

Maksudnya: “Sungguh Ibrahim seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.” 

[Surah al-Taubah: 114] 

Abu Maisarah berkata: “(Lafaz ‘لَأَوَّاهٌ’) membawa maksud penyayang dalam bahasa Habsyah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/586)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: 

وَأَوَّلُ مَنْ يُكْسَى يَوْمَ القِيَامَةِ إِبْرَاهِيمُ

Maksudnya: “Dan orang pertama yang diberikan pakaian pada hari kiamat ialah Ibrahim.”

Riwayat al-Bukhari (3349)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawasanya Nabi SAW ketika melihat gambar di Baitullah (Ka‘bah), Baginda tidak akan masuk sehingga Baginda memerintahkan untuk dihilangkan gambar tersebut. Baginda melihat ada patung Ibrahim dan Ismail yang mana terdapat pada tangan mereka berdua azlam (anak panah untuk mengundi nasib). Maka Baginda bersabda: 

قَاتَلَهُمُ اللَّهُ، وَاللَّهِ إِنِ اسْتَقْسَمَا بِالأَزْلاَمِ قَطُّ

Maksudnya: “Semoga Allah membinasakan mereka, demi Allah sungguh kedua-duanya sama sekali tidak pernah mengajarkan perbuatan mengundi nasib dengan melempar anak panah.” 

Riwayat al-Bukhari (3352)

Daripada Abu Hurairah R.A: “Rasulullah SAW ditanya: 

يَا رَسُولَ اللَّهِ: مَنْ أَكْرَمُ النَّاسِ؟ قَالَ: «أَتْقَاهُمْ» فَقَالُوا: لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ، قَالَ: فَيُوسُفُ نَبِيُّ اللَّهِ، ابْنُ نَبِيِّ اللَّهِ، ابْنِ نَبِيِّ اللَّهِ، ابْنِ خَلِيلِ اللَّهِ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling mulia?” Baginda bersabda: “Orang yang paling bertaqwa dalam kalangan mereka.” Mereka berkata: “Bukan ini yang kami tanyakan.” Baginda bersabda: “Kalau begitu Yusuf ialah nabi Allah, anak kepada nabi Allah (Yaaqub anak kepada nabi Allah Ishaq) anak Khalilullah (kekasih Allah, Ibrahim A.S). 

Riwayat al-Bukhari (3353)

Daripada Samurah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

أَتَانِي اللَّيْلَةَ آتِيَانِ، فَأَتَيْنَا عَلَى رَجُلٍ طَوِيلٍ، لاَ أَكَادُ أَرَى رَأْسَهُ طُولًا، وَإِنَّهُ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ 

Maksudnya: “Malam tadi dua orang lelaki datang kepadaku (dalam mimpi), lalu kedua-duanya membawa aku bertemu dengan seorang lelaki yang tinggi, hampir-hampir aku tidak dapat melihat kepalanya kerana ketinggiannya, dan sesungguhnya dia ialah Ibrahim A.S.” 

Riwayat al-Bukhari (3354)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَمَّا إِبْرَاهِيمُ فَانْظُرُوا إِلَى صَاحِبِكُمْ

Maksudnya: “Adapun Ibrahim maka lihatlah kepada sahabat kamu ini (yang dimaksudkan diri Baginda sendiri).”

Riwayat al-Bukhari (3354)

Daripada Abu Hurairah R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: 

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ النَّبِيُّ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ

Maksudnya: “Nabi Ibrahim A.S berkhatan ketika Baginda berusia 80 tahun dengan menggunakan qaddum (pahat).” 

Riwayat al-Bukhari (3356)  

Sesungguhnya, Nabi Ibrahim AS mempunyai kelebihan yang amat banyak. Beliau digelar sebagai Abu al-Anbiya’. Kisah tribulasi yang dihadapi dari pelbagai sudut menjadikan beliau antara Nabi ulul azmi yang utama dan lebih. Dari susur galurnya itulah lahirnya para nabi dan rasul. Sejarah membuktikan betapa tabah dan sabarnya Nabi Allah Ibrahim AS dalam melaksanakan titah perintah Tuhan sekalipun bertentangan dengan naluri dan kehendaknya.

Semoga Allah SWT jadikan kita sentiasa mematuhi titah perintah Allah. Kami akhiri dengan doa:

رَضِيْنَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا

Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply