Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Puasa sunat hari putih iaitu 13, 14 & 15 hari bulan, bolehkah jika berpuasa tidak cukup 3 hari tersebut? Terima kasih

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hari-hari putih ialah hari di mana bulan penuh mengikut takwim kalendar Islam. Justeru, hari-hari putih ialah hari 13, 14 dan 15 setiap bulan Qamariyyah dan bukan bulan Masihi. Disunatkan berpuasa pada hari putih berdasarkan hadith Nabi SAW:

Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 hari bulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” 

Riwayat Abu Daud (2449)

Berdasarkan kenyataan di atas bahawa yang sunat berpuasa adalah selama 3 hari iaitu hari di mana bulan mengambang penuh, inilah yang dimaksudkan dengan hari putih. Justeru, jika seseorang itu berpuasa kurang dari 3 hari, hukumnya adalah boleh kerana ia puasa sunat dan dia diberi pahala pada hari yang dia puasa. 

Akan tetapi, sunnah yang diperintahkan dan dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan berpuasa 3 hari. Inilah yang paling afdhalnya dan paling sempurna. Marilah sama-sama kita meningkatkan amalan sunat kita dengan sebanyak-banyaknya agar ia menjadi bekalan akhirat kita. 

Kami nyatakan sebuah hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ تعالى قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَىَّ عَبْدِي بِشَىْءٍ أَحَبَّ إِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَىَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيْذَنَّهُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku telah isytiharkan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku mendekati-Ku dengan sesuatu yang Aku cintai daripada amalan-amalan yang Aku fardhukan kepadanya; dan apabila dia sentiasa mendekati-Ku dengan perkara-perkara sunat sehingga Aku suka. Apabila Aku mencintainya, maka Aku akan menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar, matanya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memegang, kakinya yang dengannya dia berjalan dan jika dia meminta kepada-Ku, pasti akan Aku perkenankan permintaannya dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku, pasti Aku melindunginya.” 

Riwayat al-Bukhari (6502)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT menerima segala amalan kita:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply