Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ingin bertanya. Jika kita membeli barang atau makanan dan jumlah yang perlu dibayar contohnya RM17.95 sen dan apabila dibayar RM20 peniaga hanya memulangkan baki RM2 dengan alasan dia tiada duit pecah. Adakah ini salah satu cara persis menipu timbang berat dalam urusniaga? Sekiranya benar ianya masalah serius dan harus di tegur.  

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya dalam hal-hal muamalat terdapat kaedah menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْحِلُّ

Maksudnya: “Hukum asal bagi muamalat adalah halal dan harus.”

Kaedah di atas bermaksud setiap penjualan, pembelian, sewaan, pajakan atau selainnya daripada muamalat, maka hukum asalnya adalah halal dan harus. Tidak boleh sesiapapun mengatakan, muamalah/urus niaga yang dijalankan ini adalah haram kerana hukum asal dalam hal tersebut adalah halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 (yang kami telah bawakan di atas). (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/6).

Secara umumnya setiap jual beli adalah diharuskan dan sah sekiranya menepati syarat-syarat dan rukun-rukun jual beli. Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji terdapat tiga rukun dalam akad jual beli iaitu:

  • Pihak yang melakukan akad. Mereka ialah penjual dan pembeli yang melakukan akad menurut persetujuan keduanya.
  • Sighah akad. Ia adalah lafaz yang terbit daripada kedua pihak yang berakad menggambarkan keinginan dan keredhaan keduanya untuk melakukan akad.
  • Barang jualan dan harganya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/11-16).

Seterusnya berkenaan syarat-syarat jual beli pula, setiap daripada rukun-rukun itu terdapat perbahasan dan syarat-syarat yang mesti dipenuhi. 

Dalam menjawab soalan di atas, kami berpada dengan hanya mengemukakan syarat-syarat bagi barang jualan yang berkait rapat dengan persoalan di atas. Jadi, bagi barang jual beli tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Disyaratkan barang jualan itu diketahui oleh kedua pihak yang berakad. 
  • Disyaratkan juga selamat barang tersebut daripada sebarang bentuk gharar dan penipuan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/23-28).

Untuk soalan yang diajukan, terdapat unsur-unsur penipuan apabila harga yang dipamerkan adalah RM17.95 tetapi harga yang perlu dibayar oleh pembeli adalah RM18.00 hanya dengan alasan peniaga tiada duit 5 sen untuk dipulangkan kepada pembeli sedangkan harga tersebut ditetapkan oleh pihak peniaga sendiri. 

Kami menyarankan agar pihak peniaga menyediakan duit baki 5 sen yang mencukupi apabila dia mengetahui yang terdapat barangan yang dijualnya yang berharga RM17.95 seperti di dalam situasi ini. Ini bagi mengelakkan kita daripada tergolong di dalam golongan mereka yang menipu walaupun itu mungkin bukan niat peniaga. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (102), Abu Daud (3452), Ibn Majah (2224), Ahmad (7292) dan al-Tirmizi (1315)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, katanya: “Hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Kami syorkan agar genapkan harga kepada angka yang mudah bagi kedua belah pihak untuk membayar dan juga memulangkan kembali lebihan. Kaedah menyebut, “Jual beli berdasarkan kepada keredaan.”  Kaedah ini adalah berdasarkan hadith daripada Abu Said al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya jual beli itu berdasarkan kepada keredhaan.”

Riwayat Ibn Majah (2185). Syeikh Syu‘aib al-Arnauth menghukumkan sanad hadith ini adalah kuat (Qawiy).

Jual beli yang harus dan menepati syarak akan memberi kesan dan implikasi iaitu bertukarnya pemilikan dengan syarat berlakunya keredaan antara penjual dan pembeli. Ianya akan dikira sebagai muktabar. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/425)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply