#2516: Hukum Minum Teh Kombucha

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Hukum meminum teh kombucha samada yang dibeli atau dibuat sendiri dengan mencampur buah atau kurma sehingga ada rasa “fizzy”? Bagi tujuan kesihatan sehingga adakalanya seseorang boleh merasakan sedap dan mengkehendakkan minum teh kombucha itu. Kerana ada sesetengah teh kombucha terdapat sedikit peratusan alkohol.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan memberi penerangan tentang maksud teh Kombucha ini. Kombucha (juga dikenali sebagai teh cendawan, teh kulat, atau cendawan Manchuria apabila merujuk kepada budaya; nama Latinnya Medusomyces gisevii) ialah minuman teh hitam manis yang ditapai, berbuih ringan, yang biasa diminum untuk faedah kesihatannya. Kadangkala minuman ini dipanggil teh kombucha untuk membezakannya daripada kultur bakteria dan yis. Jus, rempah ratus, buah atau perasa lain selalu ditambah ke dalam minuman ini. 

Kombucha dipercayai berasal dari China, di mana minuman itu adalah minuman tradisionalnya. Menjelang awal abad ke-20 ia telah merebak ke Rusia, kemudian ke negara-negara lain di Eropah Timur dan Jerman. Kombucha kini dibuat sendiri secara global, dan juga dibotolkan dan dijual secara komersial. Pasaran kombucha global bernilai kira-kira AS$1.7 bilion pada 2019.

Kombucha dihasilkan melalui penapaian simbiotik teh bergula menggunakan hubungan simbiotik bakteria dan yis (SCOBY) yang biasa dipanggil “ibu” atau “cendawan”. Populasi mikrob dalam SCOBY berbeza-beza. Komponen yis umumnya termasuk Saccharomyces cerevisiae, bersama-sama dengan spesies lain; komponen bakteria paling selalu dimasukkan termasuk Gluconacetobacter xylinus untuk mengoksidakan alkohol yang dihasilkan yis kepada asid asetik (dan asid lain). Walaupun SCOBY biasanya dipanggil “kulat teh” atau “cendawan”, ia sebenarnya “pertumbuhan simbiotik bakteria asid asetik dan spesies yis osmofilik dalam tikar zoogleal [biofilm]”. Bakteria hidup ini dikatakan sejenis probiotik, salah satu sebab minuman ini popular.

Banyak manfaat kesihatan telah didakwa berkait rapat dengan meminum kombucha; tetapi bukti untuk menyokong mana-mana dakwaan ini adalah amat terhad. Minuman itu telah dilaporkan menyebabkan kesan buruk tetapi ini amat jarang berlaku dan mungkin timbul daripada pencemaran semasa penyediaannya di rumah. 

Kandungan alkohol kombucha biasanya kurang daripada 0.5%, tetapi meningkat dengan peningkatan masa penapaian jika ia dilanjutkan. Kepekatan alkohol khususnya etanol meningkat pada mulanya tetapi kemudian mula berkurangan apabila bakteria asid asetik menggunakannya untuk menghasilkan asid asetik. Penapaian berlebihan menjana jumlah asid yang tinggi sama seperti cuka. pH minuman ini biasanya kira-kira 3.5.

Kami katakan dalam isu di atas, jika sekiranya tidak memabukkan maka hukumnya adalah harus. Hal ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW: Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya:Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.

Riwayat Abu Daud (3681), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)

Sejujurnya kami belum lagi merasai teh kombucha seperti yang dikatakan itu, tetapi berdasarkan penerangan bukan semuanya yang minum menjadi mabuk. Justeru, kami perlu sedikit maklumat tambahan berkenaan teh tersebut. Kepada mana-mana pembaca jawapan ini yang mempunyai maklumat dan pernah merasai teh ini, bolehlah berkongsi maklumat tambahan dalam ruangan komen untuk kami kemaskinikan jawapan ini. Kami berpegang kepada kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga diberi kepada kita rezeki yang halal dan diberkati Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *