Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah seseorang Muslim menderma organnya kepada orang bukan Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum derma organ. Ada yang tidak bersetuju dan ada juga dalam kalangan mereka yang mengharuskannya. Kami telah menjawabnya dalam artikel kami, #23: Derma Organ dan Tisu.[1] Ringkasnya, dalam artikel tersebut, kami berpendapat bahawa hukum pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan, berpandukan kepada syarat-syarat yang telah digariskan. Pada asasnya, terdapat empat syarat sebagaimana berikut:
- Hendaklah orang yang diambil sebahagian daripada anggotanya itu telah memberi keizinan sebelum kematiannya dan dia ialah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.
- Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
- Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain.
- Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.
Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama seperti Syeikh Hasanain Makhlouf, Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi, Dr. Ahmad Sharafuddin, Dr. Rauf al-Shalabi dan ramai lagi. Selain itu juga, institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi, Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK termasuk Malaysia menghukumkan ia harus dengan syarat-syarat yang telah digariskan.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Zira‘ah al-A‘dha’ fi Dhau’ al-Syari‘ah al-Islamiyyah (hlm. 48) menyebutkan bahawa menderma anggota badan sama hukumnya dengan menderma harta benda. la boleh didermakan kepada orang Islam ataupun bukan Islam selama mana dia hidup aman damai dalam kalangan kaum Muslimin. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahinah: 8)
Justeru, Allah SWT tidak melarang daripada berbuat baik kepada mereka (orang bukan Islam). Kalimah al-Birr (البر) adalah kalimat yang terhimpun padanya serta meliputi semua jenis kebaikan. Bahkan Allah SWT memuji orang yang berbuat baik dalam kalangan hamba-Nya:
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.”
(Surah al-Insan: 8)
Tawanan perang itu (sebagaimana dalam ayat di atas) hanyalah daripada kalangan orang musyrikin. Lebih-lebih lagi, jika orang bukan Islam itu mempunyai hak kepada seorang Muslim seperti hubungan kekerabatan, jiran tetangga atau seumpamanya. Terdapat hadith sahih daripada riwayat Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma, katanya:
قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قُلْتُ: وَهِيَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُ أُمِّي؟ قَالَ: نَعَمْ صِلِي أُمَّكِ.
Maksudnya: “Ibuku datang kepadaku – dan saat itu dia masih musyrik – pada zaman Rasulullah SAW. Aku meminta fatwa kepada Rasulullah SAW dengan mengatakan: ‘Sesungguhnya ibuku datang dan dia penuh harapan (untuk mendapatkan baktiku); apakah aku harus menyambung silaturrahim dengan ibuku?’ Baginda bersabda: ‘Ya. Sambungkan silaturrahim dengan ibumu.’”
Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim (1003)
Akan tetapi tidak boleh menderma kepada kafir harbi iaitu orang kafir yang memerangi kaum Muslimin dengan menggunakan senjata. Begitu juga Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpendapat, orang kafir yang memerangi Islam dengan lisan atau pena, dalam bentuk pemikiran dan memesongkan fahamannya. Maka, boleh jadi perang dalam bentuk fahaman dan pemikiran itu adalah lebih berbahaya berbanding perang dalam bentuk fizikal (dengan barisan askar). Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”
(Surah al-Baqarah: 191)
Begitu juga firman-Nya:
وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.”
(Surah al-Baqarah: 217)
Ia adalah lebih besar dari sudut jumlah dan lebih teruk dan berbahaya dari segi kesannya kerana pembunuhan adalah perbuatan jenayah terhadap entiti fizikal manusia, sedangkan fitnah pula adalah jenayah terhadap entiti kerohaniannya, dan entiti kerohanian ini sebenarnya adalah lebih penting dan tinggi. Bahkan ia merupakan hakikat sebenar manusia.
Demikian juga tidak boleh menderma anggota/organ kepada orang murtad yang berpaling tadah daripada agama Islam. Hal ini kerana pada pandangan Islam, mereka adalah pengkhianat agama dan umatnya. Mereka sepatutnya dibunuh, mengapa pula kita mahu menolongnya untuk terus hidup?
Namun, apabila terdapatnya orang Islam dan orang kafir, masing-masing memerlukan kepada orang yang menderma anggota/organ, maka orang Islam adalah lebih berhak untuk menerimanya. Firman Allah SWT:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ
Maksudnya: “Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain.”
(Surah al-Taubah: 71)
Bahkan orang Islam yang soleh dan kuat berpegang dengan agama lebih berhak mendapat derma daripada orang fasik yang ingkar kepada Allah SWT. Hal ini kerana kehidupan dan kesihatan orang soleh akan digunakannya untuk mentaati Allah SWT dan memberi manfaat kepada makhluk-Nya. Tidak seperti orang yang melakukan maksiat kepada Allah SWT yang akan menggunakan nikmat-nikmat tersebut untuk melakukan maksiat kepada-Nya serta merosakkan manusia lain.
Begitu juga orang Islam dalam kalangan ahli keluarga (kerabat) dan jiran tetangga adalah lebih berhak untuk menerimanya (derma organ itu) berbanding orang yang lain kerana sememangnya jiran dan ahli keluarga terdekat mempunyai hak terhadap jiran dan keluarganya. Firman Allah SWT:
وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ
Maksudnya: “Dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh.”
(Surah al-Nisa’: 36)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ
Maksudnya: “Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, sesetengahnya lebih berhak atas sesetengahnya yang lain) menurut (hukum) Kitab Allah.”
(Surah al-Anfal: 75)
Tambahan lagi, seseorang Muslim harus menderma anggotanya kepada orang perseorangan. Begitu juga kepada pertubuhan atau badan-badan tertentu seperti bank anggota yang menyimpan anggota-anggota yang didermakan dengan cara tertentu dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa sahaja apabila diperlukan.
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang Muslim boleh menderma organ atau anggotanya sekalipun kepada orang bukan Islam. Apatah lagi dengan mengambil kira konteks negara kita yang mana masyarakatnya terdiri daripada masyarakat majmuk, daripada berbagai kaum, agama, budaya dan adat resam, dan kesemuanya dapat hidup dalam keadaan aman damai, di samping menjaga keharmonian antara masyarakat
Namun, jika penerima organ itu terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam serta masing-masing memerlukannya, maka mengutamakan orang Islam untuk menerimanya adalah lebih baik kerana kehidupan dan kesihatan orang Islam dan Soleh akan digunakannya untuk mentaati Allah SWT dan memberi manfaat kepada makhluk-Nya yang lain.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan derma organ, bolehlah merujuk kepada e-buku kami dalam laman rasmi Maktabah al-Bakri[2] yang bertajuk: “Pemindahan & Pendermaan Organ dalam Islam.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/derma-organ-dan-tisu/.
[2] https://maktabahalbakri.com/
Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H