Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang saya berfikir macam mana untuk menolak dan memelihara daripada syubhah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, marilah sama-sama kita menghayati hadith Nabi SAW:

Daripada Abu ‘Abdillah, Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرأَ لِدِيْنِهِ وعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى. أَلا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya  yang  halal  itu  jelas  dan  yang  haram  itu  jelas.  Di antara  keduanya  terdapat  perkara-perkara  yang  syubhah  (samar-samar)  yang  tidak diketahui  oleh  sebahagian  manusia.  Maka  sesiapa  yang  menjauhi  perkara  syubhah bermakna  dia  telah  menyelamatkan  agama  dan  kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.  Sebagaimana  penggembala  yang  membawa  haiwan  gembalaannya disekitar  padang  larangan,  maka  lambat  laun  dia  mungkin  akan  memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan.  Ketahuilah  bahawa  dalam  diri  ini  terdapat  segumpal  daging,  jika  ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Allah SWT telah menjelaskan akan perihal perkara yang halal dan haram secara jelas dan sarih (nyata), dan selain itu ada perkara yang tidak dijelaskan secara terperinci Perkaraitu dinamakan sebagai musytabihat iaitu kesamaran.

Sepertimana di dalam lafaz hadis di atas iaitu ‘Di antara keduanya adalah hal yang meragukan, bermaksud perkara yang samar tentang hukumnya dan tidak dikenali secara pasti.

“Tidak banyak orang yang mengetahuinya”, yang dimaksudkan adalah tidak mengetahui hukumnya. Hal ini dijelaskan dalam riwayat Imam al-Tirmizi dengan lafaz, “Banyak orang yang tidak mengetahuinya.” Yang dapat difahami di sini ialah hanya sebahagian kecil manusia sahaja yang mengetahui akan hukumnya iaitu para mujtahid. Dalam Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani membahagikan secara ringkasnya ada 4 penafsiran tentang syubhat iaitu:

  1. Terjadinya pertentangan dalil-dalil yang ada.
  2. Perbezaan ulama yang bermula dari adanya dalil-dalil yang saling bertentangan.

iii. Yang dimaksudkan dengan perkataan syubhat adalah disebutkan dengan makruh, kerana kata tersebut mengandungi unsur ‘melakukan’ dan ‘meninggalkan.”

  1. Yang dimaksudkan dengan syubhat adalah mubah (yang diperbolehkan). Telah dinukilkan dari Ibn Munir, beliau berkata: “Makruh merupakan pembatas antara hamba dan hal-hal yang haram. Sesiapa yang banyak melaksanakan perbuatan makruh maka dia berjalan menuju kepada perkara yang haram. Sedangkan mubah adalah pembatas antara hamba dengan yang makruh. Sesiapa yang banyak melakukan hal yang mubah, maka dia telah menuju kepada hal yang makruh.”

Pendapat keempat ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban dengan jalur yang disebutkan oleh Imam Muslim tanpa menyebutkan lafaznya dan dalam hadis tersebut terdapat tambahan: “Buatlah pemisah antara yang halal dengan yang haram. Yang melakukan hal tersebut, maka perilaku dan agamanya akan terselamat. Orang yang menikmati hal tersebut seolah-olah menikmati yang dilarang, ditakuti akan jatuh ke dalam yang dilarang.” Ini kerana, bahawa perkara mubah yang dikhuatirkan menjadi makruh atau haram, maka seeloknya dijauhi. (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40, hlm. 63-64)

Dalam menjawab isu ini, penawar yang paling mujarab untuk menolak dari syubhah dengan membanyakkan ibadah. Benarlah firman Allah SWT:

أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ

Maksudnya: “Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)?”

(Surah al-Zumar: 36)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT pelihara kita dan ampunkan segala dosa kita. 

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply