Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kebiasaan kita menziarahi orang meninggal dunia kita akan menghulurkan sumbangan wang. Bagaimana pula kalau si mati adalah non-Muslim? Adakah dibenarkan untuk kita menghulurkan sumbangan wang kepada warisnya, terutamanya apabila kita tidak dapat menziarahi, maka kita kirimkan wang tersebut melalui cara lain? Adakah dibolehkan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara seorang muslim ke atas muslim yang lain adalah mengiringi jenazah sebagaimana riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حَقُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ خَمْسٌ: رَدُّ السَّلاَمِ، وَعِيَادَةُ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الجَنَائِزِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَتَشْمِيتُ العَاطِسِ»

Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).” 

Riwayat Al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778).

Pekara yang disunatkan bagi masyarakat sekeliling adalah dengan membantu keluarga si mati dalam menguruskan jenazah bagi meringankan beban keluarga si mati. Kaum kerabat si mati dan juga jirannya juga boleh membantu dalam menyediakan makanan kepada ahli si mati pada siang dan juga malamnya. Ini berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW mengarahkan agar dibuatkan makanan kepada keluarga Ja’far R.Anha:

اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ

Maksudnya: Buatkan untuk keluarga Ja’far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.

Riwayat Abu Dawud (3132)

Imam al-Syafi’ie menyebutkan di dalam kitabnya al-Umm: “Aku suka sekiranya jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberi makan kepada ahli keluarga si mati, (iaitu makanan) yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu ialah sunnah dan ingatan yang mulia, dan ia adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Hal ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah SAW bersabda : “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang menyedihkan mereka”. (Lihat Kitab Al-Umm, 1/278-279)

Memberi Bantuan Kewangan Kepada Keluarga Si Mati Yang Bukan Islam

Dalam isu seorang yang beragama Islam membantu orang yang bukan Islam, dalam isu kebajikan sosial, kita sebagai umat islam dituntut untuk berbuat kebajikan dengan mana-mana manusia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, dan seumpamanya. Ini berdasarkan sebuah riwayat Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: Dan bergaullah kepada manusia dengan akhlak yang baik.

Riwayat al-Tirmizi (1987)

Kalimah manusia di dalam hadith ini dianggap sebagai lafaz umum yang meliputi keseluruhan manusia tanpa mengira siapa, dan termasuklah manusia itu orang kafir sendiri. Justeru, adalah wajib berbuat kebaikan dalam pergaulan seorang muslim dengan muslim.

Begitu juga firman Allah SWT yang menyebut:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang lemah di antara mereka, iaitu dengan berlaku baik kepada mereka serta berbuat adil terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 8/90)

Daripada Asma’ binti Abi Bakar R.Anha, katanya:

قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قُلْتُ: وَهِيَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُ أُمِّي؟ قَالَ: «نَعَمْ صِلِي أُمَّكِ».

Maksudnya: Ibuku datang kepadaku – dan saat itu dia masih musyrik – pada zaman Rasulullah SAW. Aku meminta fatwa kepada Rasulullah SAW dengan mengatakan: “Sesungguhnya ibuku datang dan dia penuh harapan (untuk mendapatkan baktiku); apakah aku harus menyambung silaturrahim dengan ibuku?” Baginda bersabda: “Ya. Sambungkan silaturrahim dengan ibumu.”

Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim 1003

Daripada Zubair RA, katanya:

قَدِمَتْ قُتَيلة عَلَى ابْنَتِهَا أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ بِهَدَايَا: صِنَاب وَأَقِطٌ وَسَمْنٌ، وَهِيَ مُشْرِكَةٌ، فَأَبَتْ أسماء أن تقبل هديتها تُدْخِلَهَا بَيْتَهَا، فَسَأَلَتْ عَائِشَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ:  (لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ) إِلَى آخِرِ الْآيَةِ، فَأَمَرَهَا أَنْ تَقْبَلَ هَدِيَّتَهَا، وَأَنْ تُدْخِلَهَا بَيْتَهَا

Maksudnya: “Qutailah pernah datang menemui anak perempuannya, Asma binti Abu Bakar dengan membawa daging dhabb (biawak) dan minyak samin sebagai hadiah dan ketika itu dia wanita musyrik. Maka Asma pun menolak pemberiannya itu dan tidak memasukan ibunya ke dalam rumahnya. Kemudian Aisyah bertanya kepada Nabi SAW mengenai hal tersebut lalu Allah SWT menurunkan ayat “لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ” kemudian baginda menyuruh Asma menerima pemberian ibunya itu dan mempersilakannya masuk ke dalam rumahnya.”

Riwayat Ahmad (16111), al-Tayalisi (1744) dan al-Bazzar (2208). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (16111) menyatakan sanad hadith ini dhaif

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa hukum berbuat kebajikan kepada kumpulan bukan islam yang tidak memerangi umat islam adalah dibenarkan di sisi syarak. Seorang muslim yang melihat orang bukan islam yang dalam kesusahan, maka dia perlu membantu orang bukan Islam tersebut. Sebagai contoh, seorang muslim melihat seorang bukan islam dalam keadaan lapar atau dahaga, maka dia dituntut untuk membantu orang bukan islam tersebut. Begitu juga sekiranya dilihat seorang bukan islam yang buta ingin melintas jalan, maka perlu untuk dia dibantu dalam keadaan ini. Inilah yang menzahirkan sifat bahawa agama Islam itu sebagai rahmat bagi keseluruhan alam.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak menjadi masalah untuk saudara menghulurkan sumbangan wang kepada waris si mati yang bukan islam, terutamanya apabila saudara tidak dapat menziarahinya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam agama ini. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply