Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar Imam Syafi’i mempunyai banyak kata-kata hikmah. Boleh ceritakan kepada kami berkenaan dengan mutiara hikmah Imam Syafi’i yang terkait dengan ilmu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebagaimana yang kita ketahui, Imam Syafi’i dilahirkan pada tahun 150 H dan meninggal dunia pada tahun 204 H. Antara kata-kata dan nasihat Imam al-Syafi’i adalah:
- Belajarlah ilmu feqah sebelum kamu menjadi ketua dan apabila kamu menjadi ketua, maka tidak ada masa lagi untuk belajar.
- Menuntut ilmu adalah lebih baik daripada melakukan solat sunat.
- Sesiapa yang berkehendak kepada dunia, maka hendaklah ia mencari ilmu dan sesiapa berkehendak kepada akhirat juga, hendaklah ia mencari ilmu.
- Seseorang itu tidak akan berjaya di dalam menuntut ilmu melainkan ia menuntut semasa dalam kemiskinan. Sesungguhnya aku pernah meminta kertas, tetapi aku sukar untuk mendapatkannya.
- Sesiapa yang menuntut ilmu, hendaklah ia mendalaminya. Tanpa keikhlasan, ilmu itu akan hilang.
- Perhiasan ulama ialah petunjuk, manakala pakaian pula baik akhlaknya, sementara kecantikan mereka ialah berjiwa mulia.
- Kemiskinan ulama ialah kemiskinan ikhtiar, manakala kemiskinan orang jahil ialah kemiskinan kesusahan.
- Tiadalah amalan yang lebih hampir kepada Allah selepas fardhu lebih afdhal daripada menuntut ilmu.
- Tidaklah bahagia dalam menuntut ilmu kecuali siapa yang menuntut dengan kepayahan dan kesukaran.
Ini adalah sebahagian ucapan Imam Syafi’i yang dikurnikan dengan hikmah. Sudah tentu dia mendapat kebaikan dengan banyak. Benarlah firman Allah SWT:
ؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
Surah al-Baqarah (269)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H