Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Saya tahu bahawa bacaan dalam solat mesti dalam bahasa Arab. Akan tetapi bolehkah seseorang itu berdoa dalam solat dengan selain bahasa Arab, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak tahu atau tidak mahir bahasa Arab? Sebabnya saya dengar ada yang berpendapat ia dibolehkan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, tidak dapat dinafikan bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa dinukilkan daripada ulama mazhab Hanafi berkenaan berdoa dengan selain bahasa Arab adalah makruh hukumnya kerana Umar R.A melarang daripada bercakap-cakap dengan bahasa orang a‘jam (رَطَانَةِ الأَعَاجِمِ). Al-Ratanah (رَطَانَةِ) seperti dalam kamus bermaksud berbicara dengan bahasa asing. Hal ini kerana berdoa dengan selain bahasa Arab adalah khilaf aula (menyelisihi sesuatu yang lebih utama) dan makruh di sini adalah makruh tanzih. Namun, tidak jauh untuk dikatakan bahawa berdoa dengan bahasa asing (bukan bahasa Arab) adalah makruh tahrim dalam solat dan makruh tanzih di luar solat.

Manakala ulama mazhab Maliki pula berpendapat, berdoa dengan selain bahasa Arab (sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abidin daripada al-Qarafi) adalah diharamkan, dengan alasan bahawa ia mengandungi unsur yang menafikan pengagungan (ta‘zim). Al-Laqqani mengikat perkataan al-Qarafi itu dengan bahasa asing yang tidak diketahui maknanya. Berdasarkan kepada alasannya itu, ia adalah sesuatu yang mengandungi unsur yang menafikan keagungan ketuhanan. Adapun jika diketahui maknanya, maka diharuskan untuk menggunakannya secara mutlak, di dalam solat dan di luar solat. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا

Maksudnya: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya.

(Surah al-Baqarah: 31)

Begitu juga firman-Nya:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya.

(Surah Ibrahim: 4)

Ini juga adalah apa yang turut dijelaskan oleh al-Dusuqi.

Seterusnya, ulama mazhab Syafi‘i membezakan antara doa dalam solat yang ma’thur dan doa dalam solat yang tidak ma’thur. Bagi doa yang ma’thur, mereka berselisih pendapat mengenainya kepada tiga pendapat:

Pertama, dibolehkan bagi orang yang tidak berkemampuan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab. Manakala bagi orang yang berkemampuan menyebutnya dengan bahasa Arab pula tidak dibolehkan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab dan jika dia tetap melakukannya maka solatnya dikira terbatal. Inilah pendapat yang paling sahih dan selari dengan pendapat mazhab Hanbali.

Kedua, dibolehkan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab bagi orang yang baik bahasa Arabnya dan orang lain.

Ketiga, tidak dibolehkan kepada mana-mana orang untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab kerana tiadanya keperluan mendesak untuk melakukannya.

Manakala bagi doa dalam yang solat yang tidak ma’thur pula mereka bersepakat bahawa tidak boleh mereka-rekanya dan membacanya dalam solat dengan bahasa selain bahasa Arab tanpa sebarang khilaf dan sesiapa yang melakukannya, maka dikira batal solatnya. Berbeza halnya dengan mereka-reka doa dengan bahasa Arab (yakni doa tidak ma’thur), ia adalah diharuskan di sisi ulama mazhab Syafi‘i tanpa sebarang khilaf.  

Adapun bacaan zikir-zikir lain seperti tasyahhud awal, selawat ke atas Nabi di dalam tasyahhud, qunut, bacaan tasbih pada rukuk dan sujud, dan takbir intiqal (takbir perpindahan dari satu rukun ke rukun yang lain), mengikut pendapat yang membolehkan berdoa dengan bahasa asing (bukan Arab), maka ia adalah lebih-lebih lagi dibolehkan. Namun, sekiranya tidak, berkenaan keharusannya bagi orang yang tidak berkemampuan (mengucapnya dalam bahasa Arab) ada tiga pendapat: Pendapat yang paling sahih, ia adalah diharuskan. Pendapat kedua, tidak boleh. Pendapat ketiga, diharuskan pada perkara yang dituntut sujud sahwi.

Pengarang al-Hawi menyebutkan, jika seseorang itu tidak mahir berbahasa Arab, dia boleh membaca semua bacaan zikir-zikir dengan bahasa asing (selain Arab). Namun, jika dia mahir berbahasa Arab, dia mesti membaca dengan bahasa Arab. Jika dia tetap menyelisihinya dan mengucapkan zikir tersebut dengan bahasa Parsi, maka apa yang wajib seperti tasyahhud dan salam adalah tidak sah, tetapi apa yang sunat seperti bacaan tasbih dan iftitah adalah memadai (dikira sah), meskipun ia adalah buruk (dengan menggunakan bahasa lain). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/172-173; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/299-301).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jika seseorang itu boleh berbahasa Arab atau mampu untuk menghafal doa-doa pendek dalam bahasa Arab (sekalipun dia tidak mampu bertutur dalam bahasa Arab), maka tidak dibolehkan baginya untuk berdoa dengan selain bahasa Arab di dalam solatnya. Namun, jika seseorang itu tidak mampu bertutur dalam bahasa Arab mahupun menghafal mana-mana doa dalam bahasa Arab sekalipun doa pendek, maka dibolehkan baginya untuk berdoa dengan bahasanya (selain bahasa Arab) sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Meskipun begitu, meninggalkan perbuatan berdoa dengan selain bahasa Arab dalam solat sekalipun bagi mereka yang tidak berkemampuan adalah lebih baik. Jika tidak mengetahui bahasa Arab, cukuplah sekadar berdoa di dalam bahasa yang difahami di dalam hati, di samping ia menjadi suatu galakkan ke atasnya untuk tetap berusaha untuk menghafal doa-doa pendek dan mempelajari bahasa Arab. Apatah lagi, diketahui bahawa para sahabat yang bukan Arab seperti Salman al-Farisi, sendiri tidak solat dalam bahasa beliau yakni Parsi, sebaliknya beliau belajar dan beribadah menggunakan bahasa Arab. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply