Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Beleh ceritakan berkenaan kisah Kaab bin al-Ashraf, siapakah dia dan bagaimana cara beliau dibunuh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Bagi menjawab persoalan di atas, di sini kami nukilkan kisahnya:
Kaab bin al-Ashraf ialah seorang Yahudi yang paling kuat memusuhi Islam dan umat Islam serta menyakiti Rasulullah SAW; dia secara terang memerangi seruan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Kaab berasal dari kabilah Tayyi dari Bani Nibhan; ibunya berasal dari Bani al-Nadir. Dia seorang yang kaya dan hidup bermewah-mewah, serta terkenal sebagai seorang yang kacak dalam kalangan orang Arab. Dia juga terkenal sebagai seorang penyair Arab yang hebat. Kubunya bertempat di sebelah tenggara Madinah iaitu di bahagian belakang kampung Bani al- Nadir. Apabila dia mendengar berita mengenai kemenangan orang Islam dalam Perang Badar dan pembunuhan orang ternama Quraisy, dia pun berkata, “Benarkah berita ini? Mereka itu ialah orang terhormat dalam kalangan Arab dan raja-raja manusia. Demi Allah, jika benar Muhammad berjaya menewaskan mereka, tentunya perut bumi ini lebih baik daripada permukaannya.”
Apabila ternyata kebenaran akan berita yang didengarinya itu, dia mengejek Rasulullah SAW dan umat Islam serta memuji-muji seteru Rasulullah SAW dan mengobarkan semangat mereka untuk terus berjuang. Tidak cukup dengan itu, dia sanggup menunggang kenderaannya pergi kepada orang Quraisy dan singgah di rumah al-Muttalib bin Abu Wadd al-Sahmiy. Dia pun melagukan syair-syair yang merintih-rintih mayat mayat musyrikin di telaga buruk Badar; tujuannya ialah mereka mengimbau semula kenangan pahit itu dan menggilap dendam kesumat mereka terhadap Rasulullah SAW. Dia mengajak mereka memerangi Rasulullah SAW.
Ketika berada di Makkah, dia telah ditanya oleh Abu Sufiyan dan orang musyrikin yang lain, “Apakah agama kami yang lebih baik atau agama Muhammad yang lebih baik? Siapakah antara dua pihak ini yang lebih lurus jalannya?” Kaab menjawab, “Kamulah yang lebih lurus jalannya serta lebih mulia.” Berkenaan hal ini, Allah SWT telah berfirman:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَٰؤُلَاءِ أَهْدَىٰ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا
Maksudnya: “Tidakkah engkau perhatikan (wahai Muhammad) kepada orang yang telah diberikan bahagian daripada Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada libt dan Taghut (sembahan orang kafir Quraisy) dan mereka berkata kepada orang kafir (orang musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik) itu lebih benar jalan agamanya daripada orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad SAW).”
(Surah al-Nisa’:51)
Kemudian Kaab pulang ke Madinah meninggalkan mereka dalam keadaan begitu. Dalam syair-syairnya, dia menyebut perihal isteri-isteri para sahabat Rasulullah SAW dan menyakiti para sahabat dengan lidahnya yang celupar dan kata-katanya yang pedas. Ketika itulah, Rasulullah SAW berkata “Siapa yang sanggup menghadapi Kaab bin al-Ashraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya!” Lalu, tampillah orang yang sanggup menjalankan tugas itu, iaitu Muhammad bin Maslamah, Ubadh bin Bisy Abu Nailah (nama sebenarnya ialah Salkan bin Salamah, iaitu saudara sesusu Kaab), al-Harith bin Aus dan Abu ‘Abs bin Habr. Kumpulan ini diketuai oleh Muhammad bin Maslamah.
Riwayat-riwayat sejarah yang menyebut mengenai pembunuhan Kaab al-Ashraf turut menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah berkata, “Siapa yang sanggup menghadapi Kaab bin al-Ashraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya.” Lalu, bangunlah Muhammad bin Maslamah seraya berkata, “Saya, wahai Rasulullah! Apakah kamu mahu saya membunuhnya?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.” Muhammad bin Maslamah berkata lagi, “Kalau begitu, izinkan saya untuk rencanakan sesuatu.” Rasulullah SAW menjawab, “Silakan.”
Muhammad bin Maslamah pergi menemui Kaab dan berkata, “Lelaki ini (Rasulullah) telah meminta supaya kami memberikan sedekah, dan dia telah menyusahkan kami.” Kata Kaab, “Demi Allah, kamu patut meninggalkannya.”
Tetapi kami telah terlanjur mengikutnya, jadi kami tidak mahu meninggalkannya begitu sahaja tanpa mengetahui sampai ke mana urusannya itu. Jadi, kami mahu engkau pinjamkan kami satu wasq atau dua wasq (satu wasq ialah 60 gantang).”
“Boleh, asalkan kamu sanggup menggadaikan kepadaku.”
“Apa yang kamu mahu kami gadaikan?”
“Gadaikan wanita-wanitamu!”
“Bagaimanakah kami hendak menggadaikan wanita-wanita kami sedangkan engkau ialah orang yang paling kacak dalam kalangan Arab?”
“Kalau begitu, gadaikan anak-anakmu!” “Bagaimanakah kami hendak menggadaikan anak-anak kami, nanti mereka akan mengutuk kami dan berkata, ‘Gadai anak hanya kerana mahu dapatkan satu atau dua wasq!” Ini satu keaiban bagi kami! Apa kata kalau kami gadaikan saja senjata-senjata kami kepada engkau?” Kaab bersetuju dengan cadangan Muhammad bin Maslamah ini, lalu Muhammad pun berjanji akan membawa senjata-senjata itu kepada Kaab.
Abu Nailah juga turut membuat seperti Muhammad bin Maslamah. Didatanginya Kaab lalu mendendangkan beberapa kalimat syair kemudian berkata, “Aduh, jahanamlah, hai Ibn al-Ashraf! Sebenarnya aku datang kepadamu kerana sesuatu urusan yang hendak aku sampaikan, maka harap engkau rahsiakannya.”
Kaab menjawab, “Baiklah.”
“Datangnya lelaki ini (Muhammad) benar-benar membawa bala kepada kami.” Kaab menjawab, “Baiklah.” Orang Arab semuanya memusuhi kami dan semuanya memerangi kami. Kami dipulaukan sehingga hilang anak-pinak dan hidup melarat. Kami semua menghadapi penderitaan, begitu juga dengan anak-pinak kami.”
Kemudian, berlakulah perbualan seperti yang berlaku antara Kaab dengan Muhammad bin Maslamah. Dalam perbualan ini, Abu Nailah berkata, “Aku mempunyai ramai teman yang sama tujuan denganku. Aku bercadang hendak membawa mereka bertemumu agar dapatlah engkau menjualkan kepada mereka (keperluan mereka) dan berbuat baik dengan mereka.”
Muhammad bin Maslamah dan Abu Nailah berjaya mencapai maksud mereka dalam rancangan ini kerana Kaab tidak menolak tawaran mereka untuk membawa senjata dan sahabat-sahabat mereka kepadanya.
Pada suatu malam bulan mengambang iaitu malam 14 Rabiulawal, 3 Hijrah, kumpulan ini berkumpul di sisi Rasulullah SAW; Baginda SAW mengiringi mereka hingga sampai ke Baqi al-Gharqad. Rasulullah SAW memberi arahan kepada mereka, “Pergilah dengan nama Allah; ya Allah, bantulah mereka.” Kemudian, Rasulullah SAW pulang ke rumah lantas mengerjakan solat dan berdoa kepada Tuhannya.
Kumpulan ini sampai ke kubu Kaab bin al-Ashraf. Abu Nailah melaung memanggil Kaab; Kaab bangun untuk menuju kepada mereka yang memanggilnya tetapi isteri (yang baru dikahwininya) Kaab berkata, “Ke mana kamu hendak keluar di saat begini?” “Aku mendengar suara seperti akan berlaku pertumpahan darah.” Kaab menjawab, “Dia itu saudaraku Muhammad bin Maslamah dan saudara sesusuku, Abu Nailah. Orang yang dermawan kalau dijemput untuk berjalan malam, nescaya pasti disahut.”
Kemudian, dia pun keluar kepada mereka dengan memakai harum-haruman yang disembur di kepalanya.
Sebelum itu, Abu Nailah telah berkata kepada teman-temannya. “Bila dia datang nanti, aku akan pegang rambutnya dan menghidunya. Bila kamu lihat aku telah dapat memegang kepalanya, maka tampil dan pukullah dia,”
Apabila Kaab sampai kepada mereka, dia pun berbual-bual seketika dengan mereka, kemudian Abu Nailah berkata, “Hai Ibn al-Ashraf, sudikah engkau berjalan-jalan bersama kami ke lorong al-Ajuz agar kita dapat menghabiskan baki pertemuan malam ini dengan berbual-bual?” Kaab menjawab, “Kalau kamu mahu, apa salahnya.”
Lalu, mereka pun keluar berjalan-jalan. Ketika sedang berjalan-jalan ittu. Abu Nailah berkata, “Aku tak pernah menghidu bau minyak wangi yang harum semerbak seperti malam ini.” Mendengarkan itu, megahlah Kaab lalu dia berkata, “Aku ada minyak wangi yang terharum dalam kalangan wanita- wanita Arab.” Abu Nailah berkata, “Bolehkah aku mencium kepalamu?” Jawab Kaab, “Ya, silakan.” Lalu, Abu Nailah memegang kepala Kaab dan menciumnya; dia turut memberi teman-temannya mencium bau minyak wangi Kaab. Mereka berjalan lagi, dan Abu Nailah berkata, “Boleh aku cium lagi?” Jawab Kaab, “Silakan.” Lalu, Abu Nailah mengulang perbuatan seperti yang dilakukan tadi. Mereka berjalan lagi; Abu Nailah berkata lagi, “Boleh aku ulang (mencium)?” Kaab membenarkan. Abu Nailah memasukkan tangannya di celah-celah rambut Kaab; setelah digenggam erat, dia berkata, “Giliran kamu menghabiskan musuh Allah ini!”
Tiba-tiba berceracak mata pedang menghunus ke arah Kaab, namun masih belum membunuhnya. Lalu, Muhammad bin Maslamah mengambil sebatang penyodok dan ditusuknya ke bahagian bawah perut Kaab, Seteru Allah itu pun jatuh dan terkorban. Sebelum itu, dia telah menjerit dengan jeritan yang kuat sehingga menyebabkan semua kubu di situ memasang pelita.
Kemudian, kumpulan itu segera bergegas pulang ke Madinah. Al-Harith bin Aus terkena libasan sebahagian mata pedang para sahabat dan berdarah. Apabila kumpulan itu sampai di Hurrah al-Arid, didapati al-Harith tidak bersama-sama mereka. Mereka pun menunggu sebentar sehingga al-Harith sampai. Mereka mengusung al-Harith; apabila sampai Baqi al-Ghardaq, mereka bertakbir. Rasulullah SAW mendengar takbir mereka; tahulah Baginda SAW bahawa kumpulan itu telah berjaya membunuh Kaab, lalu Baginda SAW pun turut bertakbir. Apabila mereka sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW berkata, “Wajah-wajah yang berjaya!” Mereka menjawab, “Dan wajahmu juga, ya Rasulullah!”
Mereka mencampakkan kepala penjahat itu di hadapan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memuji Allah kerana terbunuhnya musuh itu. Rasulullah SAW kemudian meniup di tempat luka al-Harith, dia pun sembuh dan tiada merasa sakit selepas itu.
Apabila orang Yahudi mengetahui yang Kaab bin al-Ashraf terbunuh, maka bertambahlah ketakutan dalam diri mereka. Mereka mula sedar bahawa Rasulullah SAW tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan jika Baginda SAW dapati cara menasihati tidak berkesan kepada orang yang hendak mempermain-mainkan keamanan dan menimbulkan kekacauan, serta tidak menghormati perjanjian. Oleh itu, mereka tidak membuat gempar dari peristiwa pembunuhan Kaab itu. Malah, mereka tetapkan diri dalam keadaan tenang dan berpura-pura masih berpegang dengan perjanjian. Mereka berpura-pura tenang sedangkan ular-ular kecil mulai merayap bersembunyi dalam bilik-bilik mereka.
Begitulah bagaimana Rasulullah SAW menghabiskan masa Baginda SAW menghadapi bahaya-bahaya yang dijangkakan berlaku di luar Madinah. Dengan langkah-langkah yang diambil itu, orang Islam mula merasa ringan daripada bebanan-bebanan dalaman yang sering mereka hadapi. Mereka dapat menghidu bau keamanan itu dari semasa ke semasa. (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq Maktum, hlm. 409 – 414)
Iktibar daripada peristiwa di atas, betapa musuh-musuh Allah SWT seperti Kaab ibn al-Ashraf amat melampau dan betapa cintanya para sahabat kepada Baginda SAW. Justeru, marilah sama-sama kita menanam rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW tanpa berbelah bagi. Kami akhiri dengan doa:
رَضِيْنَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا
Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi.”
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H