Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana Imam Syafi’i meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Seperti yang kita ketahui, Imam Syafi’i mempunyai manaqib yang amat terpuji dan baik. Kehidupannya itu menjadi contoh untuk kita teladani dalam menjalani kehidupan. Benarlah kata pujangga:

فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ فإنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka, 

           Kerana mencontohi orang yang mulia itu membawa kemenangan. 

Untuk menjawab soalan di atas, kami nukilkan kisahnya seperti berikut:

Daripada Abu ‘Ali al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbagh al-Za’farani, katanya: Apabila Imam Syafi’i hendak bermusafir dari Iraq ke Mesir, beliau mengucapkan syair:

Wahai saudaraku, jiwaku tergerak ke Mesir,

       Walaupun terpisahkan oleh jarak dan padang pasir,

Demi Allah, aku tak pasti sama ada kepada kejayaan dan kekayaan aku melangkah, 

       Ataukah ke dalam kubur?

Al-Za’farani berkata: “Demi Allah, beliau melangkah kepada kedua-duanya.” 

Imam al-Syafi’i banyak menghidap penyakit semasa hidupnya. Antaranya ialah penyakit buasir yang menyebabkan keluarnya darah pada setiap waktu sehingga beliau meninggal dunia. Inilah riwayat daripada Imam Abu Zahrah. 

Imam al-Muzani berkata: Aku masuk menemui Imam Syafi’i Rahimahullah ketika dia sakit yang membawa kepada kematian. Lantas aku bertanya, “Bagaimana pagi kamu hai Aba Abdillah? Jawab Imam Syafi’i:

أَصْبَحْتُ مِنَ الدُّنْيَا رَاحِلًا، وَلِلْإِخْوَانِ مُفَارِقًا، وَلِسُوءِ فِعَالِي مُلَاقِيًا وَعَلَى اللَّهِ وَارِدًا، وَبِكَأْسِ الْمَنِيَّةِ شَارِبًا، وَلَا وَاللَّهِ مَا أَدْرِي أَرُوحِي تَصِيرُ إِلَى الْجَنَّةِ، فَأُهَنِّيهَا أَوْ إِلَى النَّارِ، فَأُعَزِّيهَا

Maksudnya: “Keadaanku pada pagi ini adalah dari dunia akan berkelana, dari sahabat-sahabat akan berpisah, dan buruk amalanku akan ku tempuhi, kepada Allah aku akan datang, segelas kematian akan kuhirup. Aku tidak tahu adakah diriku menuju ke syurga, maka aku ucapkan tahniahnya atau ke neraka maka aku ucapkan takziahnya.” (Lihat al-Zuhd al-Kabir oleh Imam al-Baihaqi, nombor 575)

Imam Syafi’i Rahimahullah meninggal dunia di Mesir pada malam Khamis selepas Maghrib, iaitu pada malam akhir bagi bulan Rejab tahun 204 Hijrah. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi muridnya yang setia, iaitu Imam al-Rabi’ bin Sulaiman al-Jizi Rahimahullah ketika berusia 54 tahun. Kata al-Rabi’: “Beliau meninggal dunia pada malam Jumaat, selepas Maghrib, sedangkan aku di sisinya.” Beliau meninggal dunia di kediaman Abdullah bin Abdul Hakam. Beliau meninggalkan wasiat terakhir kepada Abdullah bin Abdul Hakam. Jenazah Imam al-Syafi’i dikebumikan pada hari Jumaat selepas Asar pada keesokan harinya. Anak-anak Abdul Hakam mengebumikannya di tanah perkuburan mereka, iaitu di sebelah Barat al-Khandak. Di sekelilingnya ialah kubur-kubur anak Zahrah. Yakut berkata: “Kuburnya sangat masyhur di sana sebagai dalil bagi kebenarannya.” (Lihat Imam 4 Mazhab, hlm. 181 – 182)

Semoga Allah SWT menempatkan Imam Syafi’i bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply