Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Beleh ceritakan dalam sejarah yang Rasulullah SAW dihidang dengan kambing beracun?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kisah berikut:

Setelah Rasulullah SAW selesai menakluki Khaibar dan keadaan kembali tenteram, seorang wanita bernama Zainab binti al-Harith menghadiahkan kepada Rasulullah SAW daging kambing yang dipanggang. Zainab ialah isteri Sallam bin Misykam. Sebelum itu dia bertanya orang, manakah bahagian kambing yang paling disukai oleh Rasulullah? Lalu diberitahu kepadanya bahawa Rasulullah SAW suka makan paha kambing.

Zainab meletakkan racun yang banyak pada bahagian paha daging kambing itu dan melumuri racun di seluruh bahagian daging yang lain. Kemudian dia pergi membawa daging itu dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW mencapai paha kambing dan menjamahnya dengan satu kunyahan tetapi tidak menelannya, sebaliknya meludahnya. Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Tulang ini memberitahuku bahawa ia dibubuh racun.”

Setelah Zainab dipanggil dia pun mengaku meletakan racun pada daging kambing itu. Rasulullah SAW bertanya, “Mengapa engkau melakukan begitu?” Zainab menjawab, “Saya berbicara sendiri sebelum melakukan perbuatan ini bahawa jika dia (Nabi) ialah seorang raja, dapatlah saya berlapang diri daripadanya, dan jika dia seorang Nabi tentulah dia akan diberitahu.” Lalu, Rasulullah SAW memaafkannya.

Ketika itu yang duduk bersama-sama Rasulullah SAW ialah Bisyr bin al- Barra bin Marur. Dia sempat memakan daging kambing itu, lalu meninggal dunia kerananya.

Terdapat perbezaan riwayat sama ada Rasulullah SAW memaafkan Zainab atau membunuhnya. Namun, ke semua riwayat itu setuju mengatakan bahawa pada mulanya Rasulullah SAW memaafkan Zainab tetapi apabila Bisyr meninggal dunia kerana memakan daging kambingnya, wanita itu dibunuh sebagai pembalasan qisas terhadapnya. (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq Maktum, hlm. 647 – 648)

Peristiwa ini mengingatkan kita peri pentingnya berwaspada dari mereka yang berniat jahat kepada Islam itu sendiri terutamanya pembawa obor Islam. Rasulullah SAW terselamat, walaupun begitu dikatakan apabila hampir meninggal dunia, beliau pernah menyebut, “Kesan racun tersebut masih terasa padaku.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply