Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri saya ingin bertanya, bolehkah sekiranya nazar yang di buat seperti akan memberi makan kepada sekurang-kurangnya 5 orang anak yatim setiap Jumaat selama setahun tetapi di tukar kepada bayaran berbentuk wang untuk membeli makanan kepada penjaga anak-anak yatim tersebut? Wang tersebut di bank-in kepada penjaga setiap Jumaat supaya membeli makanan kepada anak-anak yatim. Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nazar dari sudut istilah ialah apa yang telah ditakrifkan oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)
Firman Allah SWT:
ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.
(Surah al-Hajj: 29)
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.
Riwayat al-Bukhari: (6696)
Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar.
- Sighah
- Orang yang bernazar
- Perkara yang dinazarkan.
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan tiada masalah untuk melaksanakan nazar dengan memberi wang kepada penjaga anak-anak yatim tersebut dengan syarat wang tersebut digunakan untuk membeli atau menyediakan makanan kepada mereka. Yang demikian dibolehkan sekiranya lafaz nazar yang diucapkan itu berbentuk umum. Namun sekiranya lafaz nazar tersebut berbentuk khusus seperti bernazar memberi makan kepada mereka dengan masakan sendiri, maka ia tidak diperbolehkan melainkan dengan masakan sendiri.
Kami tegaskan di sini bahawa pemberian kepada mereka hendaklah mereka termasuk di kalangan yang layak seperti miskin atau fakir.
Justeru, kami katakan nazar itu wajib dilaksanakan mengikut apa yang telah dinazarkan sama ada ia berbentuk umum atau khusus yang dilafazkan dengan lisan atau ditulis dengan tangan.
Telah dinyatakan dalam al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa: Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan fuqaha bahawa sesiapa yang bernazar, kemudian dia menyatakan nazar itu secara lisan atau bertulis, maka nazarnya dikira dengan cara tersebut, dan dia harus melaksanakan apa yang telah dia nazarkan. (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,40/140)
Oleh yang demikian, menunaikan hak dan janji yang telah dilakukan merupakan satu kewajipan yang akan dipersoal di akhirat kelak berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُوْلاً
Maksudnya: Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti akan dipersoalkan kelak.
(Surah Al-Isra’ : 34)
Allah SWT juga memuji terhadap golongan yang menyempurnakan nazar yang dilakukan oleh mereka dan sikap mereka yang takutkan kepada azab-Nya dengan berfirman:
يًوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا
Maksudnya: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.
(Surah al-Insan: 7)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H