Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah apabila matinya musuh Allah SWT dibolehkan bertakbir?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takbir dengan makna lafaz Allahuakbar. Maksudnya ialah Allah Yang Maha Agung Lagi Maha besar. Allah SWT menyuruh kita bertakbir sebagai lambang kesyukuran dan kemenangan serta mendapat hidayah. Allah SWT berfirman:

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Surah al-Baqarah (185)

Kami kemukakan terlebih dahulu fadhilat dan kelebihan bertakbir.

  1. Pahala Amalan Seperti Melakukan Haji dan Umrah

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ R.A, dia mengadu kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya dengan keuntungan mereka, mereka menunaikan haji dan kami tidak mengerjakan haji, mereka berjihad dan kami tidak berjihad, begitu dan seterusnya.” Lalu Baginda SAW bersabda:

أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إنْ أَخَذْتُمْ بِهِ جِئْتُمْ أَفْضَلَ مِمَّا يَجِيءُ بِهِ أَحَدٌ مِنْهُمْ؟ أَنْ تُكَبِّرُوا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، وَتُسَبِّحُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَأَنْ تَحْمَدُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kalian lakukannya, maka kamu telah melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dikerjakan (haji) oleh salah seorang dari mereka (orang-orang kaya)? Selepas solat, kamu bertakbir sebanyak 34 kali, bertabih sebanyak 33 kali, dan bertahmid sebanyak 33 kali.”

Riwayat al-Nasa’ie (9902)

Ganjaran pahala seperti yang diterangkan dalam hadith sekiranya berzikir dengan lafaz takbir diseratakan dengan lafaz tasbih dan tahmid.

  1. Ganjaran pahala yang memenuhi antara langit dan bumi

Diriwayatkan daripada seseorang daripada Bani Sulaim bahawa beliau berkata:

عدَّهنَّ رسولُ اللهِ ﷺ في يدي أو في يدِهِ التَّسبيحُ نصفُ الميزانِ والحمدُ للهِ يملؤُهُ والتَّكبيرُ يملَأُ ما بينَ السَّماءِ والأرضِ والصَّومُ نصفُ الصَّبرِ والطُّهورُ نصفُ الإيمانِ.

Maksudnya: Rasulullah SAW menghitungnya pada tanganku atau tangannya, “Bacaan Tasbih adalah setengah timbangan  dan Alhamdulillah memenuhi timbangan tersebut, dan takbir memenuhi antara langit dan bumi, puasa adalah setengah kesabaran, dan bersuci adalah setengah keimanan.

Riwayat al-Tirmizi (3519). Syeikh Syu’aib Arnau’t menilai hadith ini sebagai Sahih Li Ghairih dalam Takhrij al-Musnad, hlm.23073

 

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan hukum takbir adalah sunat sebagai mana Rasulullah SAW telah bertakbir. Dalam salah satu jawapan kami berkenaan dengan pembunuhan Kaab bin al-Ashraf kami telah terangkan dengan panjang lebar dan antaranya ialah:

Kemudian, kumpulan itu segera bergegas pulang ke Madinah. Al-Harith bin Aus terkena libasan sebahagian mata pedang para sahabat dan berdarah. Apabila kumpulan itu sampai di Hurrah al-Arid, didapati al-Harith tidak bersama-sama mereka. Mereka pun menunggu sebentar sehingga al-Harith sampai. Mereka mengusung al-Harith; apabila sampai Baqi al-Ghardaq, mereka bertakbir. Rasulullah SAW mendengar takbir mereka; tahulah Baginda SAW bahawa kumpulan itu telah berjaya membunuh Kaab, lalu Baginda SAW pun turut bertakbir. Apabila mereka sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW berkata, “Wajah-wajah yang berjaya!” Mereka menjawab, “Dan wajahmu juga, ya Rasulullah!”

Mereka mencampakkan kepala penjahat itu di hadapan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memuji Allah kerana terbunuhnya musuh itu. Rasulullah SAW kemudian meniup di tempat luka al-Harith, dia pun sembuh dan tiada merasa sakit selepas itu.

Kami akhiri dengan mengucapkan syukur di atas kurniaan Allah SWT dan memohon kepada-Nya supaya tidak dicabut nikmat, afiyah dan digantikan dengan kemurkaan serta bala yang mengejut.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply