Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana keadaan sahabat Nabi SAW untuk menyediakan pasukan ketika suasana sempit untuk Perang Tabuk? Siapakah penyumbangnya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Saffiyu al-Rahman al-Mubarakfuri seperti berikut:

Sebaik sahaja mendengar seruan Rasulullah SAW untuk memerangi Rom orang Islam segera menyahut dan berlumba-lumba menjunjung perintah Rasulullah SAW. Mereka bangun mempersiapkan diri untuk berperang dalam waktu yang sangat singkat. Para kabilah dan masyarakat Arab lain dari segenap penjuru datang ke Madinah. Tidak seorang pun daripada kalangan orang Islam yang rela ketinggalan dalam peperangan ini, melainkan orang di dalam hati mereka ada penyakit (munafik) dan tiga orang sahabat. Sehinggakan orang miskin dan fakir pun datang kepada Rasulullah SAW, meminta Rasulullah SAW menyediakan kelengkapan untuk mereka untuk sama-sama dapat keluar berperang memerangi Rom. Namun, balasan Rasulullah SAW terhadap golongan ini sebagaimana firman Allah:

وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوا وَّأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنفِقُونَ

Maksudnya: Dan tidak juga berdosa orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata, “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu,” mereka kembali sedang mata mereka bercucuran dengan air mata kerana sedih disebabkan mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah). 

(Surah al-Taubah: 92)

Orang Islam turut berlumba-lumba mengeluarkan biaya melalui harta benda mereka. Uthman bin Affan RA menyediakan sebanyak 200 ekor unta yang lengkap dengan pelana dan kain lapiknya, di samping mata wang sebanyak 200 uqiyah (satu uqiyah bersamaan 40 dirham) untuk bergerak ke Syam, Kesemua itu adalah sedekahnya. Beliau bersedekah lagi sebanyak 100 ekor unta yang lengkap dengan pelana dan kain lapiknya. Kemudian, beliau datang semula membawa seribu dinar dan dilambakkannya di dalam bilik Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menerima pemberian Uthman itu sambil berkata, “Selepas hari ini, apa sahaja yag dilakukan oleh Uthman tidak memudaratkannya.”

Uthman RA terus bersedekah sehingga kesemua sedekahnya berjumlah 9000 ekor unta dan 100 ekor kuda, tidak termasuk wang. Abdul Rahman bin Auf membawa 200 uqiyah perak. Abu Bakar RA membawa semua harta bendanya yang ada tanpa meninggalkan sedikit pun untuk keluarganya melainkan Allah dan Rasul-Nya. Jumlah harta yang dibawanya ialah empat ribu dirham. Dialah orang yang pertama sekali datang membawa sedekah. Umar RA menyumbangkan separuh daripada harta bendanya. Al-Abbas juga menyumbang harta yang tidak kurang banyaknya.

Talhah, Saad bin Ubadah dan Muhammad bin Maslamah semuanya membawa harta masing-masing. Asim bin Adiyy membawa 90 ausuq kurma. Orang ramai datang berduyun-duyun menyumbangkan sedekah mereka sama ada sedikit atau banyak, sehinggakan ada di antara mereka yang menyumbangkan sekadar secupak atau dua cupak di mana itulah sahaja yang mereka mampu. Orang perempuan pula menghantar apa yang mereka mampu seperti gelang, rantai dan cincin.

Tidak seorang pun yang menahan tangannya daripada bersedekah. Hanya orang munafik sahaja yang bakhil untuk mengeluarkan hartanya. Firman Allah:

الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ ۙ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Orang (munafik) yang mencela sebahagian daripada orang yang beriman mengenai sedekah sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang pedih.” 

(Surah al-Taubah: 79)

(Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq Maktum, hlm. 750 – 751)

Inilah yang membawa kemengan keypad atentera Rasulullah SAW di dalam peperangan Tabuk. Sekali pun musuh gerun, ini kerana keikhlasan para sahabat serta mentaati perintah Rasulullah SAW dengan yakin semata-mata mencari keredhaan Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply