Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkaitan tugasan pelajar. Saya merancang untuk membuat open service assignment formatting tetapi saya ada terfikir, halal ke duit hasil tu? Ini kerana saya secara tidak langsung membantu pelajar lain menyiapkan tugasan yang diamanahkan kepada mereka walaupun servis itu bukanlah dari segi memberikan jawapan. Mohon pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli. (Lihat Tafsir al-Tabari, 13/6).
Begitu juga firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).
Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).
Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya dalam hal-hal muamalat terdapat kaedah menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْحِلُّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi muamalat adalah halal dan harus.”
Kaedah di atas bermaksud setiap penjualan, pembelian, sewaan, pajakan atau selainnya daripada muamalat, maka hukum asalnya adalah halal dan harus. Tidak boleh sesiapapun mengatakan, muamalah/urus niaga yang dijalankan ini adalah haram kerana hukum asal dalam hal tersebut adalah halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 (yang kami telah bawakan di atas). (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/6).
Begitu juga dalam aspek muamalat, prinsip asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, persoalan mengenai mengambil upah atas sesuatu servis atau perkhidmatan yang diberikan termasuk dalam bab perbincangan ijarah iaitu kontrak upah mengupah. Ringkasnya, kontrak ijarah dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: “Jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”
(Surah al-Talaq: 6)
Allah SWT memerintahkan para bapa supaya memberikan ganjaran sebagai upah kepada penyusuan anak mereka. Berdasarkan ayat ini, upah menjadi hak penyusu dan sudah tentu mereka tidak berhak menerima upah ini melainkan melalui kontrak tertentu. Ini kerana jika mereka menyusukan anak tanpa sebarang kontrak, perbuatan mereka dianggap sebagai sukarela. Orang yang melakukan sesuatu secara sukarela tidak berhak mendapat apa-apa bayaran. Dengan ini, ayat ini menjadi dalil bahawa kontrak ini bertepatan dengan syara’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/137).
Namun, bagi memastikan kontrak tersebut sah di sisi syarak, maka ada beberapa rukun dan syarat yang perlu dipatuhi dan dipenuhi. Dalam perbincangan fiqh berkaitan kontrak upah mengupah, manfaat atau perkhidmatan yang diakadkan mestilah perkara yang mempunyai nilai.
Maksudnya, perkhidmatan tersebut diterima dan diperlukan menurut syara’ dan uruf (amalan kebiasaan orang ramai), supaya ia boleh dibayar dengan bayaran yang setimpal. Contohnya, sewa rumah untuk didiami, atau kenderaan untuk dinaiki. Jika khidmat tersebut tidak bernilai menurut syara’, bayaran tersebut dianggap sia-sia dan membazir. Sedangkan syara’ melarang segala bentuk pembaziran. Dengan itu, tidak sah penyewaan peralatan yang melalaikan kerana penggunaannya diharamkan. Demikian juga, tidak sah mengupah pengukir untuk mengukir benda yang bernyawa atau mengupah penyanyi wanita untuk menyanyi kepada bukan mahram, kerana semua ini adalah haram. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/140).
Begitu juga tidak boleh mengupah dalam perkhidmatan atau manfaat yang diharamkan kerana diharamkan juga untuk mengambil manfaat dengannya, maka tidak boleh mengambil upah daripadanya seperti hal-hal melibatkan bangkai, darah, mengajar ilmu sihir dan perkara-perkara keji. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/219).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perkhidmatan atau servis membaiki format suatu tugasan (assignment) adalah dibolehkan selagi mana ia tidak melibatkan perbuatan menipu. Dalam erti kata lain, perkhidmatan yang ditawarkan bukanlah melakukan tugasan (assignment) bagi pihaknya mahupun menulis dan memberikan idea dalam penulisan, yang mana hasil tugasan tersebut dapat digunakannya bagi mendapatkan markah yang tinggi, kenaikan pangkat, dan seumpamanya. Sebaliknya perkhidmatan yang ditawarkan adalah menyemak dan membaiki format tugasan/penulisan tanpa menyentuh langsung idea asal/utama dalam tugasan tersebut.
Namun, jika tugasan (assignment) tersebut melibatkan format sebagai salah satu daripada aspek yang dinilai, maka menawarkan perkhidmatan tersebut kepadanya sebaik-baiknya dielakkan kerana dikhuatiri ia termasuk dalam perbuatan menipu.
Secara umumnya, perbuatan menipu termasuk dalam perbuatan yang diharamkan serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak. Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:
أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”
Riwayat Muslim (102) dan Ibn Hibban (4905)[1]
Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”
Riwayat Muslim (101)
Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:
فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”
(Surah Ibrahim: 36)
Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231).
Seterusnya kita dilarang daripada bertolong-tolongan dalam perkara yang haram. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:
إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).
Maka secara tidak langsung dia telah membantunya dalam melakukan penipuan tersebut. Melainkan perkhidmatan yang diberikan berupa semakan lalu diberikan nasihat dan cadangan berhubung tugasan (assignment) tersebut, lalu sebarang pengubahsuaian, tambahan atau pengurangan adalah daripada pihak pemilik tugasan itu sendiri, maka dalam hal ini ia adalah tidak mengapa dan dibenarkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H