Soalan:
Assalamualaikum Dato’ saya ingin bertanya, Jika penghutang telah memulangkan duit tersebut pada tahun yang sama, adakah duit itu dikira cukup haul kepada pemiutang ? contoh: pinjam April bayar pada oktober.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Taubah: 103)
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka
Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbab R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW ketika mengutusakan Mua’z Bin Jabal ke Yaman Baginda bersabda:
فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ
Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1496)
Apabila cukup syarat bagi zakat maka hendaklah kita keluarkan zakat. Antara syaratnya adalah:
- Islam
- Milik sempurna
- Cukup nisab
- Cukup haul yakni tempoh setahun
- Dan harta yang berkembang
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan antara salah satu syarat diwajibkan untuk mengeluarkan zakat adalah cukup haul iaitu genap setahun qamari atau masihi pemilikan harta tersebut ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahwa Nabi SAW bersabda:
وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun”
Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)
Telah dinyatakan dalam kitab Fiqh al-Manhaji makna cukup haul iaitu iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji fi Fiqh al-Syafie, 2:8). Dengan ini, difahami bahawa jika sekiranya harta tidak cukup haul, maka harta tersebut masih tidak diwajibkan zakat. Namun syarat tempoh setahun ini tidak terpakai ke atas tanaman, buah-buahan dan juga galian, yakni zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 2/16-17).
Justeru berdasarkan persoalan yang diajukan kami katakan, tempoh antara bulan April hingga bukan Oktober masih lagi belum mencukupi haul kerana tidak cukup setahun. Namun dalam isu ini pemiutang hendaklah mencampurkan hutang yang telah diberikan tersebut dengan harta-harta yang lain. Sekiranya mencukupi haul dan nisab maka hendaklah dia mengeluarkan zakat kerana zakat itu dikira berdasarkan pemilikan harta keseluruhan, bukan hanya harta yang telah diberi sebagai hutang.
Oleh yang demikian, suka juga untuk kami nasihati kepada siapa yang layak mengeluarkan zakat maka jalankanlah tanggungjawab tersebut kerana pada harta itu terdapat juga hak orang lain seperti fakir miskin dan golongan asnaf yang lain. Ingatlah dosa dan ancaman bagi siapa yang lari dari menunaikan kewajipan berzakat sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن آتاهُ اللهُ مالًا، فَلَمْ يُؤَدِّ زَكاتَهُ مُثِّلَ له مالُهُ يَومَ القِيامَةِ شُجاعًا أقْرَعَ له زَبِيبَتانِ يُطَوَّقُهُ يَومَ القِيامَةِ، ثُمَّ يَأْخُذُ بلِهْزِمَتَيْهِ – يَعْنِي بشِدْقَيْهِ – ثُمَّ يقولُ أنا مالُكَ أنا كَنْزُكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.”
Riwayat al-Bukhari (1403)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H