Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pelajar open service jawab assignment pelajar lain? Saya banyak lihat servis seperti ini. Halalkah duit hasil servis itu dan berkatkah ilmu dan markah/gred yang diperolehi? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya dalam hal-hal muamalat terdapat kaedah menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْحِلُّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi muamalat adalah halal dan harus.”
Kaedah di atas bermaksud setiap penjualan, pembelian, sewaan, pajakan atau selainnya daripada muamalat, maka hukum asalnya adalah halal dan harus. Tidak boleh sesiapapun mengatakan, muamalah/urus niaga yang dijalankan ini adalah haram kerana hukum asal dalam hal tersebut adalah halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 (yang kami telah bawakan di atas). (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/6).
Begitu juga dalam aspek muamalat, prinsip asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, memberikan perkhidmatan atau open service bagi melakukan tugasan atau menjawab assignment pelajar lain tanpa langsung melibatkan diri pelajar tersebut jelas termasuk dalam perbuatan menipu. Ini kerana kebiasaannya tujuan asal tugasan atau assignment yang diberikan kepada pelajar itu adalah bagi melatih dan memupuk skil mencari maklumat, menulis, menganalisis maklumat dengan kritis dan seumpamanya. Ataupun tugasan dan assignment tersebut berkaitan dengan kelayakan tertentu bagi kenaikan pangkat atau mendapatkan markah tertentu bagi melayakkannya mendapat posisi tertentu. Namun, semua ini tidak dilakukannya sendiri mahupun dia langsung tidak terlibat dalam melakukannya sekalipun secara kolektif, maka markah dan kedudukan tertentu yang diperolehinya adalah bukan daripada hasilnya sendiri, bahkan dia tidak layak pun sebenarnya.
Secara umumnya, perbuatan menipu termasuk dalam perbuatan yang diharamkan serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak. Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:
أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”
Riwayat Muslim (102) dan Ibn Hibban (4905)[1]
Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”
Riwayat Muslim (101)
Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:
فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”
(Surah Ibrahim: 36)
Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231).
Seterusnya kita dilarang daripada bertolong-tolongan dalam perkara yang haram. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:
إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).
Kemudian, memberikan perkhidmatan atau mengambil upah bagi menjawab assignment orang lain termasuk dalam bab perbincangan ijarah iaitu kontrak upah mengupah. Ringkasnya, di antara syarat yang mesti dipenuhi dalam kontrak ijarah ini ialah manfaat atau perkhidmatan yang diakadkan mestilah perkara yang mempunyai nilai.
Maksudnya, perkhidmatan tersebut diterima dan diperlukan menurut syara’ dan uruf (amalan kebiasaan orang ramai), supaya ia boleh dibayar dengan bayaran yang setimpal. Contohnya, sewa rumah untuk didiami, atau kenderaan untuk dinaiki. Jika khidmat tersebut tidak bernilai menurut syara’, bayaran tersebut dianggap sia-sia dan membazir. Sedangkan syara’ melarang segala bentuk pembaziran. Dengan itu, tidak sah penyewaan peralatan yang melalaikan kerana penggunaannya diharamkan. Demikian juga, tidak sah mengupah pengukir untuk mengukir benda yang bernyawa atau mengupah penyanyi wanita untuk menyanyi kepada bukan mahram, kerana semua ini adalah haram. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/140).
Begitu juga tidak boleh mengupah dalam perkhidmatan atau manfaat yang diharamkan kerana diharamkan juga untuk mengambil manfaat dengannya, maka tidak boleh mengambil upah daripadanya seperti hal-hal melibatkan bangkai, darah, mengajar ilmu sihir dan perkara-perkara keji. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/219).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perkhidmatan atau servis menjawab tugasan (assignment) pelajar lain adalah tidak dibolehkan kerana ia melibatkan perbuatan menipu dan perbuatan menipu adalah haram. Maka diharamkan mengambil upah daripadanya kerana ia adalah perkhidmatan dan manfaat yang diharamkan kerana membantu dalam perkara maksiat iaitu menipu itu. Apatah lagi dengan memberikan khidmat atau servis tersebut, secara tidak langsung sedikit sebanyak menyumbang kepada markah/gred yang baik kepada pelajar dan melayakkannya mendapat sijil atau posisi yang diinginkan itu, yang sememangnya dia tidak layak pun sebenarnya.
Akan tetapi jika perkhidmatan yang diberikan adalah berupa semakan, kemudian diberikan nasihat dan cadangan berhubung tugasan (assignment) tersebut, lalu sebarang pengubahsuaian, tambahan atau pengurangan adalah daripada pihak pemilik tugasan/assignment itu sendiri, maka dalam hal ini ia adalah tidak mengapa dan dibenarkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H