Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah unta Rasulullah al-Qaswa’ yang Nabi tunggangi semasa hijrah juga dinamakan Adba’, dan bagaimana kisah kesudahannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nabi SAW mempunyai seekor unta betina yang dinamakan dengan al-Qaswa’ (القصواء) dan unta ini telah dibeli oleh Rasulullah SAW daripada Abu Bakar RA. Unta ini dikatakan hujung bahagian telinga atau hidungnya terpotong dan unta ini Allah SWT telah memberi kelebihan kepadanya seperti kekuatan dan kelajuan berbanding unta-unta yang lain. Tambahan pula, Unta inilah yang digunakan oleh Nabi SAW dalam peristiwa Hijrah ke Madinah dan juga beberapa peristiwa yang lain seperti pemilihan tapak Masjid Nabawi. Begitu juga, tempat singgahnya Rasulullah SAW di rumah Abu Ayub al-Ansari. Sabda Rasulullah SAW:
دَعُوهَا، فإنّهَا مَأمُوْرَةٌ
Maksudnya: “Biarkanlah unta ini (berjalan) kerana ia mendapat perintah.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, 13/158 dan Sa’id bin Mansur dalam Sunannya (2/400). Lihat juga al-Auliya’ oleh Ibn Abi al-Dunya, hlm 42; al-Fusul fi al-Sirah oleh Ibn Kathir, hlm. 118
Kisah pembelian unta ini ada diceritakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
فَخُذْ بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِحْدَى رَاحِلَتَيَّ هَاتَيْنِ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِالثَّمَنِ. قَالَتْ: فَجَهَّزْنَاهُمَا أَحَثَّ الجِهَازِ
Maksudnya: “Kutebus bapaku untukmu wahai Rasulullah! Ambillah salah satu daripada dua haiwan tungganganku ini.” Nabi SAW bersabda: ‘(Aku akan ambil) dengan bayaran harganya.’ Aisyah berkata: ‘Lalu dengan segera mungkin kami telah mempersiapkan barang-barang musafir untuk mereka berdua.’”
Riwayat al-Bukhari (5807)
Daripada Muhammad bin Ibrahim al-Taimi, katanya:
كَانَتِ القَصْوَاء مِن نَعَم بنى الحَرِيس ابتاعها أَبُو بُكر وَأُخْرَى مَعَهَا بِثَمَانِمِائَةِ دِرْهَم، فَأَخَذَهَا رَسُولُ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ، مِنْهُ بِأَرْبَعَمِائَةِ دِرْهَم، فَكَانَتْ عِندَهُ حَتَّى نَفَقَتْ، وَهِىَ الَّتِى هَاجَرَ عَلَيْهَا: وَكَانَت حِينَ قَدِمَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ الْمَدِينَة رُبَاعِية وَكَانَ اسمُهَا القَصْوَاء، وَالجدْعَاء، وَالعَضْبَاء
Maksudnya: “Al-Qaswa’ pada asalnya adalah unta milik Bani al-Haris yang dibeli oleh Abu Bakar dan seekor lagi unta bersamanya dengan harga lapan ratus dirham. Kemudian Rasulullah SAW membelinya daripada Abu Bakar dengan harga empat ratus dirham. Al-Qaswa’ bersama dengan Nabi SAW sehingga habis umurnya. Ia adalah unta yang ditunggangi Nabi SAW ketika hijrah, begitu juga ketika Baginda SAW tiba di Madinah, unta ini merupakan tunggangan yang terbaik, dan namanya pula ialah al-Qaswa’, al-Jad‘a’, dan al-‘Adhba’.” (Lihat Tabaqat al-Kubra Ibn Sa’ad, 1/424).
Selain daripada itu, Imam al-Bukhari ada menukilkan daripada Ibn Umar R.Anhuma di mana beliau berkata: “Nabi SAW membonceng Usamah di atas al-Qaswa’.” Begitu juga al-Miswar pernah menyebutkan: Nabi SAW bersabda: “Tidaklah al-Qaswa’ melutut atas kehendaknya sendiri.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 3/1053).
Walau bagaimanapun, terdapat riwayat daripada Anas R.A, katanya:
كَانَتْ نَاقَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَالُ لَهَا العَضْبَاءُ
Maksudnya: “Nama unta Nabi SAW adalah al-‘Adhba’.”
Riwayat al-Bukhari (2871)
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan dalam syarahnya bahawa ulama berbeza pendapat, adakah ‘Adhba’ dan Qaswa’ adalah unta yang sama, atau keduanya merupakan nama bagi unta yang berbeza. Al-Harbi dengan tegas memilih pendapat pertama, dan dia berkata: “Unta tersebut dinamakan al-‘Adhba’, al-Qaswa’ dan al-Jad‘a’.” Pendapat seperti ini telah dinukilkan juga oleh Ibn Sa‘ad daripada al-Waqidi.
Beliau menyatakan lagi dalam syarahnya bahawa Imam al-Bukhari meletakkan kata “unta” dalam bentuk tunggal dalam tajuk Bab unta Nabi SAW. Hal ini sebagai isyarat bahawa al-Qaswa’ dan al-‘Adhba’ adalah nama untuk seekor unta yang sama.
Ibn Faris menyebutkan, sebenarnya perkataan itu merupakan gelaran untuk unta tersebut berdasarkan lafaz hadith yang menyatakan, “ia dinamakan al-‘Adhba’” dan juga yang menyatakan, “ia dipanggil sebagai al-‘Adhba’.” Sekiranya perkataan itu adalah sifatnya (unta itu), maka perkara tersebut tidak dapat dijadikan sebagai hujah. Manakala al-Zamakhsyari berkata, nama ‘Adhba’ di sini diambil daripada ucapan mereka, “نَاقَةٌ عَضْبَاءُ”(Naqah ‘Adhba’) iaitu unta yang pendek kaki depannya. (Lihat Fath al-Bari, 6/73-74).
Selain daripada itu, menurut al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, Nabi SAW mempunyai unta yang bernama al-‘Adhba’, dibeli oleh Abu Bakar daripada ternakan Bani al-Harisy berharga 800 dirham. Rasulullah SAW mengambilnya dengan harga 400 dirham. Baginda menungganginya semasa hijrah. Apabila tiba di Madinah, unta itu merupakan tunggangan yang terbaik. Ia dipanggil al-Qaswa’ dan al-Jad‘a’ yang digunakan oleh perlumbaan di mana kelajuannya mengkagumkan umat Islam. (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 131-132).
Kisah Unta Nabi SAW memilih tapak Masjid Nabawi
Dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, dicatatkan bahawa Rasulullah SAW telah tiba di Quba’ pada 8 Rabiul al-Awwal, tahun ke-14 pengutusan Rasulullah, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi. Di sana, Baginda tinggal selama empat hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima iaitu hari Jumaat, dengan perintah daripada Allah, Baginda berangkat dengan diikuti oleh Abu Bakar untuk menemui Bani al-Najjar. Mereka adalah bapa saudara Rasulullah dari sebelah ibunya. Selepas solat Jumaat, Baginda bergerak memasuki kota Madinah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 135).
Ketika Rasulullah SAW memasuki Madinah, Baginda menunggang unta yang bernama al-Qaswa’. Nabi SAW turun dari unta Baginda dan membiarkannya berjalan sendiri. Baginda SAW bersabda kepada penduduk Madinah:
دَعُوهَا فَإِنَّهَا مَأْمُورَةٌ فَإِنَّمَا أَنْزِلُ حَيْثُ أَنْزَلَني الله
Maksudnya: “Berikan jalan kepadanya (biarkan berjalan jangan dihalangi) kerana ia telah diperintahkan. Sesungguhnya ia akan berhenti di tempat yang Allah telah pilih.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/243).
Hal ini kerana unta itu berjalan dan berhenti atas arahan Allah SWT. Al-Qaswa’ pun berhenti berhampiran rumah Abu Ayyub yang merupakan sebahagian daripada kaum Bani Najjar. Disebabkan unta Nabi SAW berhenti di situ, maka Nabi SAW memerintahkan untuk membina sebuah masjid.
Al-Qaswa’ Kesedihan setelah Wafatnya Rasulullah SAW.
Al-Qaswa’ menjadi pelik selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ia berada dalam keadaan sedih yang amat sangat disebabkan oleh perpisahannya dengan Rasulullah SAW. Disebabkan kesedihan dan tangisannya, ia kehilangan penglihatannya. Maka para sahabat mengikat matanya dengan pembalut hitam.
Diceritakan bahawa sesungguhnya al-‘Adhaba’ (iaitu al-Qaswa’) tidak makan dan minum selepas kewafatan Rasulullah SAW sehinggalah ia mati. (Lihat Imta‘ al-Asma‘, 7/233).
Al-Qaswa’ tidak makan atau minum selama sebulan sehingga ia mati pada usia 15 tahun. Biasanya unta hidup sekitar 30 hingga 40 tahun. Tetapi al-Qaswa’ tidak dapat hidup lama selepas kewafatan Rasulullah SAW. Al-Qaswa’ sempat bersama dengan Rasulullah SAW selama 11 tahun dan mati pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq R.A. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 422)
Akhir kalam, kami berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H