Soalan:
Assalamualaikum Yang Berbahagia Dato, soalan saya berkenaan solat secara berjemaah di airport / R&R, waktu solat adalah waktu Isyak, saya niat jamak takhir, sewaktu sedang berwudhu’ saya dengar Imam sudah takbiratulihram, maka saya bersegera mengikuti Imam & jemaah dari rakaat pertama. Saya berniat solat Maghrib. Selesai rakaat ketiga, saya duduk tahiyat akhir, tetapi Imam bangkit untuk rakaat keempat (kerana Imam solat Isyak secara tamam). Soalan saya, adakah saya patut terus tunggu Imam dalam posisi duduk tahiyat akhir, dan akhiri solat bersama Imam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”
(Surah al-Baqarah:43)
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahwa Rasulullah SAW bersabda :
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”
Riwayat al-Bukhari (8)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan dalam isu ini ulama ada berbeza pandangan.
Pandangan pertama: Tidak boleh untuk mengikut imam sekiranya berbeza niat dan solat dengan imam seperti makmum solat Maghrib di belakang Imam yang solat Isya dan wajib baginya untuk mufaraqoh dengan imam tersebut. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulama dalam mazhab al-Syafie iaitu al-Maidani beliau berkata: Tidak dibolehkan untuk solat fardhu dibelakang imam yang solat fardhu yang lain. (Lihat al-Lubab,1/82)
Al-Thauwri dan Abu Hanifah menyatakan bahawa: Tidak dibolehkan melakukan silat fardhu di belakang Imam yang melakukan solat sunat atau fardhu yang lain manakala pada solat sunat pulak dibolehkan untuk melakukannya dibelakang imam yang solat fardhu.
Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti.”
Riwayat al-Bukhari (378) dan Muslim (948)
Pandangan Kedua: Dibolehkan untuk solat di belakang imam yang solat fadhu yang lain seperti makmum solat Zohor dibelakang imam yang solat Asar. Ini juga merupakan pandangan dalam mazhab Hanbali, Zahiri, Abu Thauwr dan telah dipilih oleh Ibnu Munzir.
Al-Mardawi menyatakan bahawa: Sesiapa Yang mendirikan solat Zohor dibelakang Imam yang solat Asar adalah sah mengikut sabuah riwayat dalam mazhab Hanbali (Lihat al-Insaf,4/140)
Justeru dalam isu ini, kami lebih cenderung kepada pandangan yang pertama. Oleh yang demikian, dalam situasi saudara wajib untuk mufaraqah bersama imam dan meneruskan solat secara bersendirian kerana niat solat saudara berbeza dengan imam. Diriwayatkan daripada Umar Bin Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّـيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”
Riwayat al-Bukhari (1)
Kaedah Fiqh juga ada menyebutkan :
الأُمُورٌ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat
Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua’lam
Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H