Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud hadith dalam sahih al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW apabila solat sunat sebelum subuh dengan laju sehingga beliau terfikir adakah baginda SAW membaca surah al-Fatihah atau tidak? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat sunat yang paling dituntut antara solat-solat sunat rawatib yang lain adalah dua rakaat solat sunat fajar. Ini kerana, padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan bagi sesiapa yang melaziminya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith:

 Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ

Maksudnya: Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar.”

Riwayat al-Bukhari (1169)

Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”. 

Riwayat Muslim (725)

Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan “وَمَا فِيهَا” adalah kesenangan dunia. Selain itu juga, antara surah atau ayat yang disunatkan untuk kita membaca ketika solat sunat al-Fajar adalah surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Di dalam riwayat yang lain pula, disunatkan kita membaca ayat “قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا” [al-Baqarah:136] pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua “قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ” [ali-Imran:64]. Ini merupakan dalil bagi mazhab kami (al-Syafie) dan juga mazhab jumhur bahawa digalakkan membaca surah pada kedua rakaat selepas daripada surah al-Fatihah. Digalakkan juga untuk menjadikan dua surah atau ayat ini (sebagai bacaan selepas daripada al-Fatihah) kerana ia adalah sunnah. Adapun Imam Malik dan juga ashabnya mengatakan tidak dibaca di dalam solat sunat al-Fajar melainkan al-Fatihah sahaja. Begitu juga sebahagian salaf mengatakan tidak dibacakan sesuatu sebagaimana yang telah lalu. Akan tetapi keduanya adalah khilaf (percanggahan) bagi sunnah sahih yang tidak mempunyai tentangan padanya. [Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/6]

Maksud hadith Rasulullah Meringkaskan Solat Sunat Sebelum Subuh

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخَفِّفُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الصُّبْحِ حَتَّى إِنِّي لَأَقُولُ: هَلْ قَرَأَ بِأُمِّ الكِتَابِ؟ 

Maksudnya: “Nabi SAW meringankan (solat) dua rakaat sebelum mendirikan solat Subuh sehinggakan aku berkata: “Adakah Baginda membaca Ummul Kitab (al-Fatihah)?”

Riwayat al-Bukhari (1171) dan Muslim (724)

Sebahagian daripada mazhab Maliki daripada hadith Aisyah R.Anha bahawa sudah memadai dengan membaca surah al-Fatihah pada dua rakaat solat sebelum Subuh. Abu al-Abbas Ahmad bin Umar bin Ibrahim al-Maliki al-Qurtubi berkata: “Sunat di sisi Malik meringkaskan solat sunat subuh dengan membaca Umm al-Qur’an berdasarkan lafaz hadis Aisyah R.Anha.” (Lihat al-Mufhim lima Ashkala min Talkhis Muslim, 2/362)

Ibn Hajar al-’Asqalani berkata: “Hadith ini menjadi dalil dalam bab tidak menambah bacaan pada solat sunat dua rakaat sebelum subuh selain umm al-Quran, dan ini merupakan pendapat Mazhab Malik. (Lihat Fath al-Bari, 3/47)

Hadith Aisyah ini bukanlah menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak membaca apa pun setelah Al-Fatihah. Persoalan daripada Aisyah ini hanya sekadar mubalaghah daripada diri beliau sendiri untuk menunjukkan bahawa Nabi SAW sangat meringkaskan solat tersebut, namun tidaklah wajib meninggalkan bacaan tersebut, terutama setelah terdapat hadith-hadith sahih daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa baginda membaca surah selepas fatihah dalam dua rakaat solat tersebut.

Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini menunjukkan mubalaghah dalam meringankan solat dua rakaat sebelum solat Subuh. Yang dimaksud adalah mubalagah di sini ialah ia sesuai dengan adat baginda dalam kebiasaannya memanjangkan solat malam dan ibadah-ibadah sunat yang lain. Hadith ini bukanlah dalil bagi mereka yang mengatakan tidak perlu membaca surah al-Fatihah pada keduanya secara asal.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/4).

Beliau juga berkata: “Imam Malik dan majoriti ulama’ mazhabnya berpendapat bahawa tidak boleh membaca selain Al-Fatihah dalam dua rakaat ini. Sebahagian salaf pula berpendapat bahawa tidak perlu membaca apa-apa. Keduanya bertentangan dengan hadith-hadith sahih yang tidak ada yang bertentangan dengan keduanya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/6).

Al-Syaukani berkata: “Tidak ada yang menunjukkan melainkan bahawa Aisyah R.Anha meragui apakah Nabi SAW membaca al-Fatihah dalam dua rakaat itu disebabkan ringkasnya solat Baginda SAW. Ini tidak boleh dipegang kerana terdapatnya hadith-hadith sahih lainnya yang datang daripada berbagai jalur. Tidak ada keterikatan antara meringkaskan solat secara mutlak dan hanya memendekkan dengan sekadar membaca al-Fatihah, kerana ia adalah dalam masalah yang bersifat relatif.” (Lihat Nail al-Autar, 3/27).

Al-Baji dalam al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ mengatakan: “Ibnu al-Qasim meriwayatkan dari Imam Malik: Dia membaca Al-Fatihah dan salah satu surah yang pendek. Ibnu Wahb meriwayatkan bahawa Nabi SAW membaca dalam dua rakaat itu Surah “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ” dan Surah “قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ”, dan hadith ini dinukil daripada Imam Malik dan dia menyukainya.”  (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/227)

Kesimpulan 

Dalam masalah ini, ada perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama. Namun yang sunnahnya adalah membaca surah yang pendek setelah surah al-Fatihah. Manakalah sebahagian daripada para ulama’ berpendapat bahawa cukup dengan hanya membaca surah al-Fatihah dalam dua rakaat solat sunat Subuh tetapi pendapat ini tidak kuat kerana adanya hadith-hadith sahih yang menunjukkan bahawa Nabi SAW membaca surah-surah pendek yang lain selepas surah al-Fatihah.  

Antara ayat-ayat yang dibaca oleh Rasulullah SAW dalam solat sunat Qabliyah Subuh adalah seperti berikut:-

  • Surah al-Kafirun dan al-Ikhlas. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW:

قَرَأَ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ.

Maksudnya: “Nabi SAW biasa membaca di dalam (solat) dua rakaat sebelum Subuh: ‘قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ’ dan ‘قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ’.” 

Riwayat Muslim (726)

  • Surah al-Baqarah ayat 136 dan Ali ‘Imran ayat 52. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan  daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawasanya Rasulullah SAW:

كَانَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فِي الأُولَى مِنْهُمَا قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا الآيَةَ الَّتِي فِي الْبَقَرَةِ وَفِي الآخِرَةِ مِنْهُمَا آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ.

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW biasanya membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh, iaitu pada rakaat yang pertama: ‘قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا’ iaitu ayat yang terdapat di dalam surah al-Baqarah, dan pada rakaat kedua pula: ‘آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ’.”

Riwayat Muslim (727)

  • Surah al-Baqarah ayat ke-136 dan Ali ‘Imran ayat ke-64. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawasanya Rasulullah SAW:

يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَالَّتِي فِي آلِ عِمْرَانَ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ.

Maksudnya: “Nabi SAW membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh: ‘قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا’ dan ayat yang terdapat di dalam surah Ali ‘Imran: ‘تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ’.”

Riwayat Muslim (727)

Hadith di atas semuanya adalah hadith yang sahih, di mana Nabi SAW telah membaca ayat-ayat di atas ketika mendirikan solat sunat Qabliyah subuh.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply