Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah kencing secara berdiri, lebih-lebih lagi semakin banyak mangkuk kencing berdiri disediakan di tandas awam? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Surah al-Ahzab: 21)

Ulama tafsir menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud pada setiap perkataan, perbuatan, dan keadaan Nabi SAW adalah contoh teladan yang baik, agar mereka semua dapat mengikutinya. Oleh itu, berpeganglah dengan sunnah Baginda kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Kenajisan air kencing

Secara asasnya, kencing manusia atau haiwan adalah najis berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ

Maksudnya:Tuangkanlah atas air kencingnya (Arab Badwi yang kencing di masjid) dengan setimba air.”

Riwayat al-Bukhari (220)

Ibn Battal dalam syarahnya menyebutkan bahawa para fuqaha telah menyatakan ijma‘ akan kenajisan air kencing (manusia) dan perlu untuk membersihkannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/325)

Kencing berdiri

Mengenai hal ini, terdapat sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

مَنْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَبُولُ قَائِمًا فَلاَ تُصَدِّقُوهُ مَا كَانَ يَبُولُ إِلاَّ قَاعِدًا

Maksudnya:Sesiapa yang menyampaikan kepada kamu bahawa Nabi SAW kencing berdiri maka janganlah kamu mempercayainya. Tidaklah Baginda SAW itu kencing melainkan dalam keadaan duduk.”

Riwayat al-Tirmizi (12)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak kencing secara berdiri, bahkan mengikut petunjuknya hnedaklah kencing itu dilakukan secara duduk. Akan tetapi perkataan Aisyah ini tidak menafikan kenyataan mereka yang menyatakan bahawa adanya keadaan di mana Baginda SAW kencing dalam keadaan berdiri. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 1/55)

Hal ini adalah sebagai hadith yang diriwayatkan oleh Huzaifah R.A, beliau berkata:

أَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِمًا، ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَجِئْتُهُ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ.

Maksudnya:Nabi SAW pergi ke tempat pembuangan sampah milik suatu kaum lalu Baginda kencing sambil berdiri. Kemudian Baginda meminta air, maka aku bawakan air untuknya. Seterusnya Nabi SAW berwuduk menggunakan air tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (224)

Hadith di atas, sepintas lalu seolah-olah bercanggah antara satu sama lain, namun jika diteliti kedua-dua hadith tersebut tidak bercanggah sama sekali kerana adanya kebarangkalian bahawa Baginda melakukannya — yakni kencing berdiri — disebabkan oleh Baginda tidak menemui tempat yang sesuai atau bersih untuk duduk, atau bagi menjelaskannya kepada umat manusia akan keharusan melakukannya dan bukannya haram.

Perkara ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa Baginda SAW kencing secara berdiri adalah untuk menjelaskan akan keharusannya. Hal ini kerana dalam banyak keadaan Baginda membuang air kecil secara duduk. (Lihat Fath al-Bari, 1/330)

Imam al-Nawawi menyatakan, ulama mazhab al-Syafi‘i berpendapat bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh tanzih jika tiada sebarang keuzuran dan tidak dihukumkan sebagai makruh jika ada keuzuran. Begitu juga, telah sabit daripada Umar bin al-Khattab, Zaid bin Thabit, Ibn ‘Amr dan Sahl bin Sa‘d bahawa mereka pernah kencing secara berdiri. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/85)

Malah Da’irah al-Ifta’ al-Am al-Urduniyyah juga ada menyebutkan bahawa jumhur fuqaha berpendapat, kencing secara berdiri tanpa sebarang keuzuran adalah makruh tanzih kerana perbuatan tersebut menyelisihi kebiasaan petunjuk Nabi SAW (yakni sunnah Baginda) sebagaimana difahami daripada penafian Aisyah R.Anha bahawa Baginda SAW melakukan sedemikian.[1]

Oleh itu, kencing secara berdiri adalah diharuskan tetapi makruh jika tiada sebarang keuzuran. Namun, yang lebih baik dan afdhal ialah kencing secara duduk kerana itulah petunjuk dan sunnah Nabi SAW.

Selain itu, tidak dinafikan bahawa kencing secara duduk atau mencangkung merupakan posisi paling sesuai bagi lelaki membuang air kecil. Menurut Ketua Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital-Cheras Dr Mohd Fadhli Mohd Yusof, dalam posisi ini, otot bahagian bawah abdomen, otot pelvis dan otot belakang badan berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Bukan itu sahaja, sekumpulan penyelidik di Leiden University Medical Center, Belanda mendedahkan lelaki yang membuang air kecil secara mencangkung dapat mengosongkan pundi kencing mereka sepenuhnya berbeza dengan mereka yang membuang air dalam keadaan berdiri, di mana otot pelvis berada dalam keadaan tegang dan ia menyukarkan air kencing keluar sepenuhnya.

Di samping itu, menurut Dr. Mohd Fadhli lagi, keburukan membuang air kecil secara berdiri dapat dilihat daripada aspek kebersihan, di mana membuang air kecil dalam posisi berdiri boleh meningkatkan halaju air kencing yang ketara, lalu menyebabkan individu terbabit lebih mudah terkena percikan air kencing yang akan mengotorkan tubuh dan pakaiannya, selain daripada turut mengotorkan tandas disebabkan oleh percikan air kencing tadi. Malah kebanyakan mangkuk kencing juga tidak dilengkapi dengan punca air untuk tujuan mencuci kemaluan menyebabkan ramai tidak atau jarang mencuci kemaluan dengan bersih selepas membuang air kecil secara berdiri. Akibatnya, kemaluan yang tidak dicuci dengan bersih akan meningkatkan risiko jangkitan di kawasan kemaluan seperti kandidiasis (jangkitan fungus) dan balanitis (jangkitan pada bahagian kepala zakar).[2]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membuang air kecil secara duduk adalah lebih baik dan afdhal sebagaimana mengikuti petunjuk Nabi SAW. Namun, kencing secara berdiri hukumnya adalah makruh tanzih jika tanpa sebarang keperluan dan tidak mengapa jika ada keuzuran seperti tiada tempat yang sesuai atau bersih untuk duduk bagi menyelesaikan hajat itu.

Selain itu, kencing secara duduk juga adalah lebih menepati kehendak syarak dalam aspek penjagaan kebersihan sebagaimana yang telah kami sebutkan di atas. Kami juga ingin menyatakan bahawa para ulama yang mengharuskan perbuatan kencing berdiri turut menyebutkan beberapa perkara seperti berikut:

  • Hendaklah ia dilakukan di tempat yang sembunyi, jauh daripada penglihatan manusia lain supaya auratnya terpelihara.
  • Hendaklah berhati-hati supaya air kencing itu tidak terpercik ke pakaian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=259#.YdKFnmhBy3A.

[2] Lihat https://www.hmetro.com.my/sihat/2020/03/554646/mudarat-kencing-berdiri. Diakses pada 3 Januari 2022.

Leave a Reply