Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin meminta jasa baik pihak tuan untuk mengulas serba sedikit berkenaan pihak sekolah atau kolej yang melarang pelajar dari menyimpan jambang dan sideburn, adakah tindakan yang dituntut dalam islam adalah berhenti belajar?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Janggut dan jambang merupakan dua jenis bulu yang tumbuh pada wajah lelaki. Kedua-duanya merupakan bulu yang tumbuh di dua kawasan yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, jambang bermaksud bulu atau rambut yang tumbuh di pipi. Manakala sideburn menurut Kamus Dewan bahasa dan Pustaka Edisi Kedua diterjemahkan sebagai bauk, iaitu bulu yang tumbuh pada pipi di depan telinga.

Di dalam bahasa Arab pula, jambang ini disebutkan sebagai lihyah (اللِحْيَةُ) dan sideburn disebut sebagai ‘izar (العِذَارُ). Ibn Manzur menukilkan daripada Syeikh Ibn Sidah, katanya bahawa lihyah merupakan suatu nama yang merangkumi jenis bulu yang tumbuh atas kedua-dua pipi dan dagu. Al-Fayyumi pula menyebutkan, ‘izar merujuk kepada bulu yang tumbuh secara menegak di atas jambang. (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/241; al-Misbah al-Munir, 2/398)

Di dalam Islam, kita sememangnya dituntut untuk memelihara janggut dan memendekkan misai supaya dapat menyelisihi golongan orang bukan Islam yang dahulunya mencukur janggut atau jambang dan menyimpan misai. Terdapat beberapa hadith yang menyebutkan berkenaan memelihara jambang, antaranya yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Selisihilah orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan potonglah misai.”

Riwayat al-Bukhari (5892) dan Muslim (259)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ

Maksudnya: “Pendekkanlah misai, dan peliharalah janggut kerana menyelisihi Majusi.”

Riwayat Muslim (260)

Diriwayatkan juga daripada ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَشْرَةٌ مِنَ الفِطْرَةِ: … وَإِعْفَاءُ اللِّحْيَةِ

Maksudnya: “Sepuluh perkara yang merupakan daripada fitrah manusia:…(antaranya) pemeliharaan janggut.”

Riwayat Muslim (261), Abu Daud (53), al-Tirmizi (2757), al-Nasa’ie (5040), Ibn Majah (293) dan Ahmad (25060)

Undang-undang Mencukur Jambang dan Memendekkan Sideburn

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa isu berkenaan cukur janggut ini telah lama dibincangkan oleh para ulama’ silam. Majoriti mereka mengatakan bahawa hukum mencukur janggut atau jambang itu haram, dan sebahagian mereka mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Kami juga telah menyimpulkan bahawa pandangan yang paling sahih menurut Mazhab al-Syafi‘i adalah makruh dan tidaklah haram, akan tetapi memeliharanya adalah lebih baik dan menepati sunnah Rasulullah SAW. Untuk penerangan lebih lanjut, boleh semak perbahasan kami berkenaan “Menyimpan Janggut”. Adapun isu berkenaan mencukur sideburn, kami tidak menjumpai mana-mana dalil yang khusus melarang lelaki dari mencukurnya.

Berbalik kepada persoalan yang diutarakan, kami sedia maklum bahawa kebanyakan sekolah-sekolah mempunyai undang-undang yang tidak membenarkan para pelajar untuk menyimpan jambang dan mempunyai sideburn yang panjang. Bahkan, undang-undang ini juga diguna pakai pada hampir keseluruhan badan beruniform yang ada di Malaysia.

Undang-undang ini ditetapkan bagi memastikan kekemasan, kebersihan diri, dan memupuk disiplin dalam diri para pelajar atau anggota beruniform. Mereka yang duduk di bawah mana-mana institusi yang menetapkan undang-undang tersebut, tidaklah dihukumkan ke atas mereka apa-apa kerana mereka tidak dapat mengelakkan dari undang-undang tersebut melainkan dengan cara keluar daripada institusi berkenaan. Adapun keluar daripada sekolah adalah suatu langkah yang kurang bijak kerana ia menatijahkan kesan yang lebih buruk, iaitu kurangnya tarbiah dan didikan daripada mereka yang berkeahlian. 

Sekiranya ibu bapa mampu untuk mencari mencari mana-mana sekolah yang tidak menetapkan undang-undang begitu, maka itu lebih utama. Akan tetapi, sekiranya tiada pilihan yang dapat dibuat melainkan kekal di sekolah atau kolej tersebut, maka tidaklah dilarang untuk mengikut undang-undang tersebut. 

Kami cadangkan kepada ibu bapa yang beragama Islam, untuk cuba mengusulkan kepada pihak sekolah agar memberikan keringanan kepada pelajar muslim menyimpan jambang atau sideburn yang juga bersambung dengan jambang. Hal ini bagi membolehkan mereka memelihara sunnah Rasulullah SAW. Akan tetapi, usul tersebut mestilah disulami dengan adab dan bukan dalam bentuk desakan, bahkan perlu disertai beberapa syarat agar tujuan asal undang-undang tersebut dibuat boleh tercapai, iaitu menjaga kekemasan dan kebersihan diri.

Oleh yang demikian, kami cadangkan beberapa garis panduan yang menjadi asas agar tujuan asal undang-undang tersebut tercapai:

  • Mereka yang berhasrat untuk tidak mencukur janggut atau jambang perlu sentiasa menipiskannya agar keterampilan lebih terjaga.
  • Janggut atau jambang hendaklah diurus supaya kelihatan kemas dan bersih.
  • Dilarang mewarnakannya dengan apa-apa warna sekalipun.
  • Dilarang mengandam janggut dengan bentuk yang menjadi trend.

Semoga dengan pencerahan dan cadangan ini, masyarakat muslim akan mendapat kefahaman dan membuat pertimbangan dalam mencari solusi penyelesaian yang terbaik. Seterusnya dengan usaha yang sedikit ini kita semua dikurniakan oleh Allah SWT kefahaman dan balasan pada hari akhirat kelak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا اتِّبَاعَ سُنَّةِ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ ﷺ وَشَفَاعَتَهُ وَأَوْرِدْنَا حَوْضَهُ وَارْزُقْنَا مُرَافَقَتَهُ فِي الْفِرْدَوْسِ الْأَعْلَى

Maksudnya: “Ya Allah, rezekikanlah kami untuk mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW, dan rezekikanlah kami mendapat syafaatnya, dan berilah kami minum dari telaganya, dan rezekikan kami mendampinginya di syurga Firdaus yang tertinggi.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply