Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya tahu bahawa wanita dibenarkan untuk menindik telinganya bagi memakai perhiasan seperti anting-anting, tetapi bagaimana pula dengan menindik hidungnya? Adakah ia turut dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” 

(Surah al-Nur: 31)

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Ini berdasarkan beberapa dalil umum yang menunjukkan kesemuanya merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang dijadikan untuk mereka nikmati dan mengambil manfaat dalam kehidupan mereka sama ada daripada pakaian, perhiasan, kegunaan dan keseronokan hidup mereka di dunia. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”    

(Surah al-Baqarah: 29)

Termasuk dalam perhiasan tersebut adalah menindik di telinga. Namun, keharusan tersebut hanyalah bagi kaum perempuan, manakala bagi lelaki perbuatan menindik adalah haram.

Mengenai hal ini, Imam al-Bukhari ada meriwayatkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلَّى يَوْمَ الْعِيدِ رَكْعَتَيْنِ، لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلاَلٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ، فَجَعَلَتِ الْمَرْأَةُ تُلْقِي قُرْطَهَا‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW selepas melakukan solat sunat hari raya sebanyak dua rakaat, Baginda tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepasnya, kemudian Baginda pergi menemui golongan wanita bersama Bilal, lalu Baginda memerintahkan mereka (wanita-wanita tersebut) untuk bersedekah, sehingga terdapat dalam kalangan mereka yang memberi anting-anting mereka.” 

Riwayat al-Bukhari (5883)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam syarahannya terhadap hadith di atas menunjukkan bahawa adalah diharuskan untuk memakai perhiasan telinga atau anting-anting bagi perempuan. (Lihat Fathul al-Bari, 10/408). 

Begitu juga dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, jumhur ulama berpendapat harus hukum menindik bayi perempuan dengan tujuan perhiasan. Ini kerana kebanyakan para wanita di zaman Nabi SAW menindik telinga mereka dan Baginda SAW tidak melarangnya. Ini seperti yang digambarkan di dalam hadith Ibn Abbas di atas. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/272).

Menindik hidung

Dalam menjawab soalan di atas, hukum asal dalam perkara-perkara berkaitan perhiasan adalah diharuskan dan tidak ada yang dilarang daripadanya melainkan apa yang telah sabit pengharamannya melalui dalil syarak. Allah SWT telah berfirman sebagai suatu jawapan balas ke atas mereka yang mengharamkan perkara tersebut atas dasar kehendaknya sendiri atau dengan mengikut (taqlid) pendapat orang lain tanpa berpandukan syariat daripada-Nya:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.” 

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Selain itu, al-Syaukani juga ada menyebutkan, al-Zinah (perhiasan) ialah apa yang digunakan oleh manusia sebagai perhiasan, termasuklah pakaian dan selainnya daripada sesuatu yang diharuskan seperti logam-logam galian yang tidak ada larangan daripada berhias dengannya, batu-batu permata dan seumpamanya. Jadi, tidak ada masalah bagi seseorang yang memakai pakaian yang baik lagi mahal harganya jika ia bukan termasuk dalam perhiasan yang diharamkan oleh Allah SWT. Begitu juga tidak ada masalah bagi seseorang untuk berhias dengan sesuatu yang menjadi perhiasan dan tidak ada larangan dalam syarak untuk berhias dengannya. (Lihat Fath al-Qadir, 2/292).

Begitu juga dinyatakan di dalam tafsir al-Razi bahawa setiap perhiasan itu hukumnya adalah diharuskan melainkan apabila terdapatnya dalil dalil (yang melarangnya). (Lihat Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 3/311).

Selain itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya berkenaan hukum menindik telinga dan hidung anak perempuan bagi memakaikan perhiasan padanya? Beliau menjawab, pendapat yang sahih, menindik telinga adalah tidak mengapa kerana ia termasuk dalam tujuan yang dapat membawa kepada perhiasan yang diharuskan. Sesungguhnya telah sabit, bahawasanya para wanita dalam kalangan sahabat telah memakai anting-anting pada telinga mereka. Adapun luka yang dibuat (ketika menindik) hanyalah luka sedikit. Apatah lagi, apabila ia dilakukan ketika masih lagi kecil, luka itu lebih cepat sembuh. 

Manakala berkenaan menindik hidung pula, beliau menyatakan bahawa beliau tidak ingat jika ada para ulama yang menyebutkan berkenaannya. Akan tetapi menurutnya ia menyebabkan perubahan dan merosakkan penampilan seperti mana yang dilihat. Namun, boleh jadi di tempat lain ia tidak dilihat sebagaimana begitu. Justeru, jika terdapat dalam budaya atau negara tertentu menganggap perbuatan wanita menindik hidung sebagai suatu keindahan dan perhiasan, maka tidak ada masalah dalam menindik hidung untuk menggantungkan perhiasan padanya. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Rasa’il al-‘Uthaimin, 11/137).

Begitu juga Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad juga pernah ditanya berkenaan kaum wanita yang menindik hidung mereka bagi meletakkan perhiasan padanya, adakah ia dibolehkan? Beliau menjawab, jika menjadi kebiasaan wanita untuk menghiasi diri mereka dengan cara tersebut, maka tidak ada masalah dengan hal itu, dan ia adalah sebagaimana perbuatan menindik telinga. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud oleh al-‘Abbad, 468/24).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa bagi kaum wanita untuk menindik hidung mereka bagi memakai perhiasan kerana ia termasuk dalam perhiasan yang khusus buat mereka sebagaimana menindik telinga bagi memakai anting-anting. Ini bertepatan dengan hukum asalnya iaitu diharuskan selagi mana tiada dalil syarak yang menyatakan sebaliknya. Apatah lagi, sememangnya menindik hidung atau memakai perhiasan di hidung termasuk dalam perhiasan wanita sebagaimana yang dapat dilihat pada sesetengah bangsa dan negara.

Sekalipun begitu, sebagai seorang Muslim tidak seharusnya melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam hal perhiasan kerana Allah S.W.T tidak menyukainya seperti firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:

وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: “Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A‘raf: 31)

Perkara yang harus diingat dan diberi perhatian bagi seorang wanita itu juga, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Al-Syaukani menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan — yakni perhiasan dan kecantikkannya — bagi mata-mata — untuk melihat dan menikmatinya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/61). Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya:Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.

(Surah al-Ahzab: 33)

Al-Maraghi menyebutkan, larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6). Begitu juga, al-Syaukani ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian laki-laki — yakni syahwat mereka. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320).

Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam hal ini, mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Lalu disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka para ulama telah menyatakan ijma’ bahawa ia adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62).

Justeru, perbuatan bertabarruj itu merupakan kebiasaan wanita Jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai perhiasan secara berlebih-lebihan yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Inilah yang dilarang dan ditegah di dalam agama. 

Begitu juga perhiasannya yang terlindung seperti pada telinga yang termasuk dalam batas aurat hanya boleh dilihat oleh suami dan mahramnya sahaja ini kerana telinga itu termasuk dalam aurat yang wajib ditutupi. Manakala perhiasan yang kelihatan pada hidung pula tidak mengapa, dengan syarat ia tidak berlebih-lebihan sehingga termasuk dalam perbuatan tabarruj.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply