Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri saya ingin bertanya, seandainya suami tidak menunaikan nafkah yang dipersetujui bersama sebelum berkahwin, adakah wajib dituntut baki yang tidak mencukupi tersebut ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 )
Firman Allah SWT:
لِيُنفِقۡ ذُو سَعَة مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡر يُسۡرا
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
(Surah al-Talaq:7)
Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT telah menetapkan nafkah ke atas isteri sesuai dengan keadaan suami iaitu orang yang kaya hendaklah menunaikan nafkah sesuai dengan kekayaannnya jangan lah dia menunaikan nafkah dengan nafkah orang miskin. Sesiapa yang berada dalam kesempitan maka berilah nafkah dengan apa yang telah direzkikan oleh Allah kepadanya. Allah SWT tidak membebani seseorang kecuali dengan kemampuan yang diberikan Allah kepadanya dalam bab nafkah atau sebagainya .Yang demikian merupakan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap hambanya dengan meringankan beban terhadap orang yang susah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.871)
Diriwaytakan daripada Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَبَنِيكِ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik.
Riwayat al-Bukhari (3825), Muslim (1714), Abu Dawud (3532), al-Nasaie (5420), Ibn Majah (2293) dan Ahmad (24163)
Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa nafkah yang diwajibkan ke atas suami adalah mengikut status kemampuan dan para isteri boleh menuntut nafkah mengikut keperluan dan kemampuan suami.
Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini kami katakan suami wajib menunaikan nafkah ke atas isteri mengikut apa yang telah dipersetujui bersama sebelum perkahwinan sekiranya suami adalah seorang yang kaya dan berkemampuan . Ini kerana Allah SWT telah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.
(Surah al-Maidah:1)
Diriwayatkan juga daripada: Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”
Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).
Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 10/26)
Selain itu kaedah fiqh juga ada menyebutkan:
مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ
Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Lihat Al-Fatawa al-Kubra, 3/90
Namun sekiranya suami telah jatuh miskin dan tidak mampu untuk memberi nafkah seperti mana yang telah dipersetujui bersama maka ke atas suami wajib mengeluarkan nafkah mengikut kemampuannya. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam nas-nas yang telah dinyatakan di atas akan tetapi apa yang telah dijanjikan itu tetap menjadi hutang ke atas suami.
Justeru dalam isu ini, kami syorkan supaya suami dan isteri hendaklah berbincang balik mengenai nafkah yang telah disyaratkan sebelum akad perkawinan tersebut supaya suami tidak terbeban dengan janji-janji tersebut dan kami nasihat juga kepada para isteri supaya tidak menuntut nafkah melainkan dengan kemampuan suami agar kehidupan rumahtangga akan lebih harmoni.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Wallahua`lam.
Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H