Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang, terdapat ular yang amat besar seperti ular sawa atau ular-ular yang nadir dan jarang ditemui. Boleh atau tidak, ditangkap dan diserahkan kepada zoo untuk dipelihara.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu takrif ular.

Ular merupakan reptilia karnivor yang panjang dan berkaki dalam suborder Serpentes. Seperti semua spesies Squamata, ular merupakan vertebrat amniot ektoterma yang berkulitkan sisik yang bertindan-tindih. Kebanyakan spesies ular mempunyai tengkorak yang lebih banyak sendinya berbanding leluhur cicaknya supaya mudah untuk menelan mangsa yang lebih besar daripada kepalanya dengan rahang yang amat mudah gerak. Untuk menampung badan ular yang sempit, organ-organ yang berpasangan (seperti ginjal) tersusun secara berikut-ikut, bukan bersebelahan, apalagi kebanyakan ular hanya mempunyai sebatang paru-paru. Sesetengah spesies mempunyai girdel pelvis dengan sepasang cakar vestij di sebelah kloaka. Juga terdapat jenis reptilia yang tidak berkaki tetapi bukan ular, iaitu cicak tanpa kaki; bezanya adalah, ular tiada kelopak mata dan telinga luaran.

Ular ditemui hidup di setiap benua (kecuali Antartika), Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, serta kebanyakan daratan yang lebih kecil — antara yang terkecuali ialah beberapa pulau besar seperti Ireland dan New Zealand, serta kebanyakan pulau kecil di Lautan Atlantik dan tengah Lautan Pasifik. Lebih daripada 20 famili ular kini dikenal pasti, terdiri daripada sekitar 500 genus dan sekitar 3,400 spesies. Ular terdapat dalam pelbagai saiz, daripada ular benang yang hanya berukuran 10 cm, hingga ular sawa rendam yang boleh mencapai 8.7 meter (29 ka). Ular dipercayai berevolusi daripada cicak yang mengorek lubang atau hidup dalam air sekitar pertengahan Usia Kapur; fosil ular terawal yang diketahui bertarikh sekitar 112 juta tahun dahulu. Kepelbagaian ular moden muncul sewaktu zaman Paleosen (sekitar 66–56 juta tahun dahulu).

Kebanyakan spesies tidak berbisa; yang berbisa menggunakan bisanya terutamanya untuk membunuh dan melumpuhkan mangsa berbanding mempertahankan diri. Terdapat ular yang memiliki bisa yang cukup kuat untuk menyebabkan kesakitan yang teruk atau kematian terhadap manusia. Ular yang tidak berbisa pula menelan mangsa hidup-hidup atau menjerut mangsa hingga mati.

Jenis-Jenis Ular

Di Malaysia, terdapat 141 jenis ular. 105 daripada jumlah ini adalah terdiri daripada ular darat, 22 ular laut dan 14 lagi adalah ular air tawar. Daripada jumlah ini sekurang-kurangnya 38 jenis adalah berbisa — 16 jenis ular di darat iaitu 9 daripada ke luarga Elapidae dan 7 daripada keluarga Viperidae, manakala kesemua 22 jenis ular dari keluarga Hydrophiidae adalah berbisa. Namun begitu, harus diingat bahawa bukan semua ular yang dijumpai di kawasan perairan Malaysia adalah ular laut.

Ular yang berbisa mempunyai gigi panjang (taring) yang terletak di bahagian hadapan rahang sebelah atas yang bersambung kepada kelenjar yang menyimpan bisa yang terletak di kiri dan kanan pipi melalui duktus. Taring ini berfungsi seperti jarum hipodermik untuk menyuntikkan bisa ke tubuh mangsa. Bentuk taring ular adalah bergantung kepada jenis ular. Taring bagi keluarga Elapidae adalah berkedudukan tetap dan mempunyai alur yang akan membenarkan bisa mengalir masuk ke tubuh mangsa. Bagi kelu arga Viperidae, taringnya boleh digerak-gerakkan dan berongga.

 Antara jenis-jenis ular ialah:

  • Ular Sawa (Phyton reticulatus)

Warna kepala dan badan adalah kekuningan. Kelihatan garis hitam yang bersambung di bahagian atas dan bawah sisi badan di mana jalur ini lebar dan mempuyai bintik bulat putih. Garis hitam memanjang dari muncung  atas hingga ke leher. Garis hitam ini juga memanjang dari mata hingga ke hujung rahang. Ular ini kelihatan bewarna-warni di bawah cahaya matahari. Habitat utama ular sawa ini adalah hutan yang berair dengan ketinggian sehingga 1500 m, tetapi ianya masih boleh di jumpai di taman-taman, tanah pertanian dan kawasan kediaman manusia.  

  • Ular Senduk Asia (Naja naja)

Ular senduk mempunyai tubuh berwarna hitam dan berwarna biru kelabu di bahagian perut. Kepala ular ini akan tegak dan sangat agresif bila diganggu. Patukannya amat bahaya dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat segera. Ular ini membiak dengan cara bertelur dan taburannya di seluruh Semenanjung Malaysia. Makanan terdiri daripada cicak, tikus dan mangsa yang lebih kecil. 

  • Ular Tedung Selar (Ophiophagus hannah )

Warna badan ular ini ialah coklat kehitaman. Sisik pada bahagian bawah dan ekor lebih cerah berbanding bahagian tengah badan. Bahagian bawah leher berwarna kuning. Makanan spesies ini merupakan ular lain dan kadang-kala biawak air. Individu betina membuat sarang dengan mengutip daun dengan menggunakan badan dan ekor sebelum bertelur. Bilangan telur boleh mencecah sehingga 24 biji dan tempoh pengeraman mengambil masa selama 63 hari. Mempunyai bisa yang boleh membawa maut dan sangat aktif di waktu siang. Ular ini tidak agresif akan tetapi kepalanya akan naik bila diganggu. 

  • Ular Katam Tebu 

Berwarna lebih kurang 30 belang-belang hitam dan putih pada bahagian badan dan ekornya. Belang kehitaman hanya sampai pada bahagian tepi badan dan belang putih kadang-kadang mempunyai tompok-tompok berwarna merah. Panjangnya boleh mencecah 1.6 meter dan ular ini membiak secara bertelur. Pada umumnya ianya dijumpai di kawasan rendah dan kawasan perairan sepanjang sungai serta sawah padi dan persisir pantai. Makanannya terdiri daripada spesies ular lain dan cicak. Pergerakan agak perlahan tetapi patukannya sangat bahaya dan boleh membawa maut.

Antara jenis ular juga ialah:

  • Ular Senduk (monocled cobra) dan Ular Senduk Sembur (spitting cobra)
  • Ular Tedung Selar (king cobra)
  • Keluarga ular tikus (rat snake)
  • Keluarga ular selinsing (racer snake) 
  • Keluarga ular lidi/daun/pucuk (Bronzebacks/Whip snakes)
  • Keluarga ular pokok (flying)
  • Keluarga Ular Sampah (wolf snake) dan Ular Siput (slug snake)

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda :

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya: “ Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang

Riwayat Muslim 1198, Riwayat Bukhari 3314

Perkataan fawasiq yang dinyatakan di dalam hadis memberi makna binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berpandukan hadis ini juga, majoriti ulama bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram (Mekah dan Madinah) dan juga di luar tanah haram. ( Lihat : Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/ 113-114).

Berdasarkan dalil yang dibentangkan, ular termasuk dalam lima kelompok haiwan pengganggu (fawasiq) yang dianjurkan untuk dibunuh. Hal ini kerana haiwan tersebut memudaratkan dan berbahaya kepada manusia.

Fuqaha telah membahaskan hukum memelihara dan berjual beli kelompok haiwan pengganggu (fawasiq) seperti berikut:

Hukum Memelihara Ular

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan haram mengurung lima binatang pengganggu dan perosak di dalam kandang untuk tujuan pemeliharaan.”  (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh Minhaj 9/337)

Menurut Imam al-Zarkasyi, seseorang yang mukallaf diharamkan memelihara beberapa jenis binatang, antaranya anjing yang tidak dibenarkan oleh syarak dan juga binatang perosak yang lain seperti helang, tikus, burung gagak dan ular. (Lihat : al-Mantsur fi al-Qawaid, 3/80).

Kami berpendapat, jika sekiranya dipelihara di zoo dengan tujuan untuk pengetahuan pengunjung dan rakyat sesebuah negeri, di samping pembelajaran murid-murid sekolah atau penuntut universiti, maka hukumnya adalah harus bagi masyarakat mengetahui dan mengenalinya dengan lebih jelas.

Walaupun berlaku keharusan, tetapi perlulah mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggarakan ular-ular tersebut adalah mereka yang berkeahlian. Ini kerana, binatang tersebut sebagaimana nas hadith, dianggap sebagai fawasiq dan berbahaya sama ada dengan racunnya, gigitannya, atau belitannya. Inilah yang sepatutnya diberi peringatan.  

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply