Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terdengar bahawa Ishaq bin Rahawaih guru kepada Imam al-Bukhari. Boleh terangkan kepada kami siapa beliau dan apa manaqibnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Biodata Ishaq bin Rahawaih

Beliau ialah Abu Ya’qub Ishaq bin Ibrahim bin Rahawaih al-Marruzi al-Hanzali. Nasabnya secara lengkap ialah Ishaq bin Ibrahim bin Makhlad bin Ibrahim bin Abdillah bin Mathar bin Ubaidillah bin Ghalib bin Warith bin Ubaidillah bin Athiyyah bin Murrah bin Ka’ab bin Hammam bin Asad bin Asad bin Murrah bin Amr bin Hanzalah bin Malik Zaid Manah bin Tamim al-Tamimi Rahimahullah.

Rahawaih adalah sebutan untuk bapanya yang bernama Ibrahim. Namun gelaran tersebut melekat kepada Ishaq. Gelaran tersebut diberikan kepada bapanya kerana lahir di jalan kota Makkah. Bapanya sebenarnya tidak suka mendapat gelaran seperti itu kerana dalam bahasa Parsi, Raah bermaksud jalan, dan Waih adalah menemui. Adapun Ishaq merasa tidak mengapa dengan gelaran itu.

Dilahirkan di Khurasan pada tahun 161 H. Beliau dikenali sebagai ulama’ yang pakar dalam bidang hadith. Kedudukannya dalam bidang hadith digambarkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai Amirul Mukminin fi al-Hadith iaitu pemimpin para ulama’ hadith. 

Antara muridnya yang paling terkenal ialah Muhammad bin Isma’il bin Mughirah yang lebih dikenali dengan Imam al-Bukhari. Antara lain juga ialah Imam Muslim bin Hajjaj, Imam al-Nasa’i, Imam al-Darimi, Imam al-Tirmizi, Yahya bin Sa’id al-Qattan dan ramai lagi.

Antara pujian ulama kepada Ishaq bin Rahawaih ialah:

  • Imam al-Zahabi berkata dalam kitabnya Siyar A’lam al-Nubala’, Ishaq bin Rahawaih adalah seorang imam besar, Syaikh dari timur, dan penghulu para hafiz. Selain hafalan yang kuat, Ishaq adalah imam dalam ilmu tafsir, tokoh dalam ilmu fiqh, dan termasuk imam mujtahid.”
  • Yahya bin Yahya pernah ditanya tentang Ishaq, maka dia berkata, “Satu hari bersama Ishaq lebih aku sukai daripada umurku.”
  • Muhammad bin Abd al-Wahhab al-Farra’ menyebut: “Semoga Allah SWT merahmati Ishaq, betapa faqih dan berilmunya dia.”
  • Al-Hakim menyatakan, “Ishaq bin Rahawaih adalah Imam pada masanya dalam menghafaz dan berfatwa.”
  • Nu’aim bin Hammad berkata, “Jika engkau melihat ada yang membicarakan keburukan tentang Ishaq, maka curigailah agama orang tersebut.”
  • Muhammad bin Aslam al-Tusi berkata, “Aku tidak mengetahui ada seorang pun di zaman ini yang lebih takut (kepada Allah) daripada Ishaq bin Rahawaih. Ishaq adlah orang yang paling berilmu di zamannya. Kalau seandainya Sufyan al-Thauri masih hidup, sudah tentu dia akan memerlukan Ishaq.”
  • Abu Muhammad al-Darimi berkata, “Ishaq memimpin penduduk Timur dan Barat dengan kejujurannya.”
  • Al-Khatib al-Baghdadi berkata, “Ishaq adalah salah seorang imam dan ulama kaum muslimin dalam ilmu agama. Terhimpun padanya ilmu hadith, fiqh, hafalan, kejujuran, sifat wara’ dan zuhud.”
  • Abu Nu’aim al-Hafiz berkata, “Ishaq adalah ulama yang menyebarkan hadith serta menghancurkan hujjah para ahli bid’ah.”
  • Imam Ahmad pernah ditanya tentang Ishaq bin Rahawaih, lalu beliau terkejut seraya berkata, “Ulama’ seperti Ishaq ditanya?! Ishaq adalah imam bagi kami.”
  • Ibn Khuzaimah berkata, “Demi Allah, jika seandainya Ishaq hidup pada zaman tabi’in, nescaya mereka akan mengakui hafalan, keilmuan dan kefakihannya.”
  • Muhammad bin Yahya al-Zuhli menceritakan, “Aku datang menemui Ishaq bin Rahawaih, sahabat kami pada tahun 199 H di Baghdad. Ketika itu, para pakar hadith berkumpul di Rashafah, dan di antara mereka adalah Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in dan lain-lain. Pada awal majlis, mereka berikan kepada Ishaq dan beliau menjadi khatib.”

Imam Ishaq bin Rahawaih meninggal dunia pada tahun 238 H, pada usia 77 tahun dan dikebumikan di Kota Naisabur, Iran.

Biodata Ringkas Imam al-Bukhari

Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari. Al-Bukhari adalah nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara yang terletak di Khurasan. Tambahan pula, Bukhara merupakan sebuah bandar lama, luas dan cantik. Kuniyah beliau adalah Abu Abdillah dan beliau terkenal dengan gelaran imam ahli hadith atau amir al-Mu’minin dalam hadith. Beliau lahir pada 194 Hijrah di bandar Bukhara.

Antara guru-gurunya ialah Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in, Ishaq bin Rahawaih, Qutaibah bin Sa’id dan ramai lagi. 

Berkenaan Imam al-Bukhari, kami pernah menulis berkenaannya dalam artikel berikut:

  • #2054: Kefaqihan Imam al-Bukhari Dari Sudut Fiqh

Ishaq bin Rahawaih pernah memujinya dengan berkata: “Wahai sekalian ashab hadith, lihatlah pada pemuda ini dan tulislah (hadith) daripadanya. Sesungguhnya jika dia pada zaman Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri, sudah tentu manusia berhajat kepada ilmu hadith dan fiqhnya.”

Imam al-Bukhari meninggal dunia pada tahun 256 H, pada usia sekitar 62 tahun. 

Benarkah Ishaq bin Rahawaih Guru Imam al-Bukhari

Ishaq bin Rahawaih adalah guru kepada Imam al-Bukhari seperti yang telah disebutkan di atas. Bahkan, kitab Sahih al-Bukhari tersebut adalah ditulis hasil daripada cadangan dan dorongan oleh guru Imam Al-Bukhari yang bernama Ishaq Bin Rahawaih itu. 

Imam al-Bukhari berkata: Kami duduk bersama-sama dengan Ishaq bin Rahawaih, lalu beliau berkata: “Alangkah bagus sekiranya kamu dapat kumpulkan sebuah kitab mukhtasar berkenaan dengan sunnah Nabi SAW yang sahih.” Lalu ia melekat di hatiku, maka aku pun mula mengumpulkan al-Jami’ Al-Sahih. (Lihat Masa’il al-Imam Ahmad Wa Ishaq Bin Rahawaih, 1/145).

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa mendoakan para ulama dan salafus soleh yang telah memberi pelbagai jasa dan khidmat yang cemerlang, dan hadith agar mereka menjadi ulama’ rabbani yang ditempatkan bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply