#2575: Siapakah Ayyub al-Sakhtiyani?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada orang bagitahu saya, Ayyub al-Sakhtiyani juga adalah guru kepada Imam Malik. Adakah sahih dan boleh terangkan kepada kami tentang manaqibnya? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Biografi Ringkas Ayyub al-Sakhtiyani

Ayyub al-Sakhtiyani lahir pada 66 H dan meninggal dunia pada 131 H. Beliau berasal dari Basrah dan pernah melihat (bertemu dengan ) Anas bin Malik R.A, sahabat Nabi SAW.

Beliau merupakan seorang ahli fiqh yang kaya hujjah, ahli ibadah haji, pemilik akhlak yang selalu dengan kebenaran. Dialah salah seorang tokoh tabi’in yang telah meriwayatkan hadith daripada Imam Nafi’ pada banyak kesempatan dan periwayatannya terdapat dalam semua enam kitab hadith utama.

Antara guru-gurunya ialah: Beliau mendengar ilmu daripada Sa’id bin Jubair, Abu Uthman al-Nahdi, Abu al-’Aliyah al-Riyahi, Abu Qilabah al-Jarmi, Abdullah bin Syaqiq, al-Hasan al-Basri, Nafi’ Maula Ibn ‘Umar, Muhammad bin Sirin, ‘Ata’ bin Abi Rabah, Jabir bin Zaid dan lain-lain. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/16)

Manakala para ulama’ yang meriwayatkan daripada beliau ialah Muhammad bin Sirin, Qatadah, al-Zuhri, ‘Amr bin Dinar, Yahya bin Abi Kathir, Syu’bah, Sufyan al-Thauri, Malik, Ma’mar, Hammad bin Zaid, Hammad bin Salamah dan selain mereka.

Ayyub al-Sakhtiyani apabila mendapat ibrah (pelajaran hikmah) dalam majlisnya maka beliau tak mampu menahan air matanya lalu beliau mengusap wajah dan hidungnya seraya berkata, ”Betapa beratnya penyakit selesema ini” (demi menyembunyikan tangisannya kerana Allah). (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’ 6/20). 

Daripada Hammad bin Zaid, dia berkata, Ayyub menyampaikan kepada kami, “Sungguh engkau tidak dapat melihat kesalahan gurumu sehingga engkau duduk di majlis selainnya dan engkau bergaul dengan manusia.” (Lihat Hilyah al-Auliya‘, 3/9)

Al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya, al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa menukilkan kata Imam Malik mengenai Ayyub al-Sakhtiyani:  “Apabila disebutkan nama Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya.”

Beliau termasuk tokoh ulama Salaf dari kalangan Tabi’in (berjumpa dengan Anas bin Malik), imam ahli hadith, Ulama yang kukuh hafalannya, ahli zuhud dan wara’, pembela sunnah dan ahli bid’ah takut kepadanya. Beliau adalah al-Imam al-Hafiz Ayyub bin Abi Tamimah al-Sakhtiyani al-Bashri yang meninggal dunia pada tahun 130 H (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/24)

Biografi Ringkas Imam Malik

Imam Malik adalah imam yang kedua dari imam-imam empat serangkai dalam Islam dari segi umur. Beliau dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah. Imam Malik ialah seorang imam dari kota Madinah dan imam bagi penduduk Hijaz. Beliau salah seorang dari Tabi’ al-Tabiin. Beliau juga merupakan seorang alim fiqh yang terakhir bagi bandar Madinah dan yang terakhir bagi fuqaha Madinah. Beliau berumur hampir 90 tahun.

Imam Malik pada riwayat hidupnya adalah sebagai pejuang agama dan umat Islam seluruhnya. Imam Malik dilahirkan pada zaman pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik al-Umawi dan meninggal dunia pada zaman Harun al-Rasyid, semasa pemerintahan Abbasiyah. Imam Malik hidup sezaman dengan Imam Abu Hanifah.

Imam Malik dilahirkan di Zulmarwah, di Utara Madinah al-Munawarah. Beliau kemudian tinggal di al-Akik untuk sementara waktu dan akhirnya terus menetap di Madinah.

Pelbagai pendapat ahli sejarah mengenai tarikh kelahiran Imam Malik. Ada sesetengah pendapat mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 93 Hijrah dan ada pula yang mengatakan pada tahun 90, 94, 95 dan 97 Hijrah. Kebanyakan pakar sejarah berpendapat dan lebih cenderung menyatakan beliau lahir tahun 93 H. (Lihat Malik ibn Anas: Imam Dar al-Hijrah oleh Muhammad ‘Awadah, hlm. 5)

Imam Malik meninggal dunia di Madinah, iaitu pada 14 Rabiul Awal 179 Hijrah. Ada juga pendapat yang mengatakan, beliau meninggal dunia pada 11, 13, dan 14 Rejab. Sementara Imam al-Nawawi pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada bulan Safar. Imam Malik dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’ dan kuburnya terletak di pintu masuk al-Baqi’.

Berdasarkan pengamatan kami, bahawa Imam Malik adalah murid kepada Ayyub al-Sakhtiyani yang digelar sebagai Abu Tamimah. Semoga Allah SWT merahmati mereka semua. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *