Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca tentang Saidina Umar yang memuji tentera Islam yang bersifat amanah ketika membawa barang rampasan yang banyak selepas kerajaan Parsi dikalahkan. Boleh jelaskan kisah ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab Tarikh al-Rusul wa al-Muluk oleh Imam al-Tabari yang menyebut:

Ketika Sa’ad bin Abi Waqqas R.A sebagai panglima tentera Islam memasuki istana Parsi, beliau segera mengarahkan kepada Amru bin Amru bin Muqarrin untuk mengumpulkan semua harta rampasan perang yang mereka telah peroleh, sekaligus harta benda yang terdapat di istana dan kamar-kamarnya. Amru diperintahkan untuk menghitung seluruh harta tersebut. 

Sementara itu, ketika penduduk Mada’in menyedari bahawa mereka telah dikalahkan oleh kaum Muslimin, dengan cepat sebahagian mereka melarikan diri dengan membawa harta Kaisar. Namun, tentera Islam dengan cepat mengejar mereka, sehingga sampai di Nahrawan. Akhirnya tidak seorang pun daripada mereka yang terlepas. 

Tentera Islam meminta mereka untuk menyerahkan apa yang telah mereka bawa, dan penduduk Mada’in pun segera menyerahkannya dan mengembalikan semua harta yang mereka ambil sebelumnya. Harta-harta itu kemudian digabungkan bersama harta rampasan perang yang lain. Harta yang dimaksudkan adalah harta yang pertama, yang telah berjaya mereka kumpulkan iaitu dari istana putih, dari kamar-kamar kerajaan dan dari tempat-tempat yang lain.

Tatkala bungkusan harta rampasan perang yang dikirimkan kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab sampai kepada beliau, termasuk di antaranya pedang kaisar, pengikat pinggang dan batu permatanya, Umar R.A berkata:

 وَاللَّهِ إِنَّ أَقْوَامًا أَدَّوْا هَذَا لَذَوُو أَمَانَةٍ.

Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya orang-orang yang mengirimkan semua harta ini adalah orang-orang yang memiliki sifat amanah yang tinggi.”

‘Ali bin Abi Talib lalu berkata:

 إِنَّكَ عَفَفْتَ، فَعَفَّتِ الرَّعِيَّةُ.

Maksudnya: “Engkau telah bersifat ‘iffah (menjaga diri daripada perbuatan dosa), maka rakyat engkau pun turut bersifat ‘iffah (dengan  meniru perbuatan engkau).”

(Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 4/23; Futuh al-Buldan oleh al-Balazuri, hlm. 262; Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 44/343; al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 4/209)

Sesungguhnya golongan salafus soleh menjunjung titah perintah Allah dalam melaksanakan amanah kepada puncaknya sebagaimana firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”

(Surah al-Nisa’: 58)

Imam al-Tabari menyebut dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini: “Ayat ini ditujukan kepada para waliyyul amri (pemerintah atau pengurus tadbir). Iaitu ayat ini adalah kenyataan Allah yang ditujukan kepada para pemerintah urusan umat Islam untuk menjalankan amanah kepada golongan yang berada di bawah tanggungjawab mereka dari sudut cukai-cukai serta hak-hak mereka.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 8/491) Ibn Kathir berkata: “Allah khabarkan kepada kamu agar kamu laksanakan amanah kepada yang berhaknya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/298)

Saidina Umar R.A pernah menyatakan:

النَّاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Maksudnya: “Rakyat akan hidup mengikut agama dan cara hidup pemimpin-pemimpin mereka.”

Ibn Kathir ada menukilkan ungkapan di atas ketika menyebut biografi al-Walid bin ‘Abd al-Malik, katanya: Khalifah al-Walid seorang yang cenderung kepada pembangunan dan pembinaan. Maka rakyatnya juga demikian. Apabila seorang lelaki berjumpa lelaki yang lain, dia akan bertanya: “Apakah yang telah kamu bina? Apakah yang kamu telah bangunkan?” Adapun Khalifah Umar bin ‘Abd al-’Aziz cenderung dalam membaca al-Quran, melakukan solat dan beribadah. Maka demikian juga rakyatnya. Apabila seorang lelaki berjumpa dengan lelaki yang lain, mereka akan bertanya, “Berapa banyak kamu berwirid? Berapa banyak kamu baca al-Quran setiap hari? Kamu solat apa semalam?” Dan orang ramai berkata: “Rakyat akan hidup mengikut cara hidup pemimpin mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/165)

Tidak peliklah Saidina Umar ibn al-Khattab R.A telah mencapai tahap amanah yang tinggi kerana ingin mengikut titah perintah Allah dan Rasul-Nya. Semoga Allah SWT merahmati Saidina Umar. 

Akhir kalam, marilah kita berdoa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply