#2591: Kisah Umair bin Wahab al-Jumahi Yang Ingin Bunuh Nabi SAW Selepas Perang Badar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Boleh Dato’ Seri ceritakan tentang kisah Umair bin Wahab al-Jumahi yang ingin membunuh Rasulullah SAW selepas peperangan Badar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kekalahan orang musyrikin dalam Perang Badar telah menyemarakkan lagi api kemarahan mereka. Kota Makkah bagaikan kawah yang menggelegak, menyimpan dendam untuk menentang Rasulullah SAW. Dua orang jaguh mereka telah berkomplot mahu menghapuskan punca timbulnya perselisahan dan perbalahan serta kehinaan ini yang menurut dakwaan mereka ialah Rasulullah SAW.

Umair bin Wahab al-Jumahi bersama-sama Safwan bin Umayyah sedang duduk-duduk dalam Hijir Kaabah, iaitu tidak lama selepas Perang Badar Umair ialah salah seorang Quraisy yang jahat dan kuat menyakiti Rasulullah SAW serta para sahabat Baginda SAW semasa di Makkah). Ketika itu, anaknya, Wahab bin Umair, telah menjadi tawanan Perang Badar. Dalam perbualan mereka, Umair menyebut-nyebut mengenai mayat-mayat yang dicampak ke dalam telaga serta mereka yang cedera. Lantas, Safwan berkata, “Demi Allah, ada baiknya kita masih hidup lagi selepas mereka.”

Umair pun berkata kepadanya, “Kamu benar. Demi Allah, kalaulah tidak kerana aku ini ada hutang yang perlu dilunaskan dan ada tanggungan tanggungan yang dibimbangi hilang tempat bergantung selepas ketiadaanku, nescaya akan aku pacu kenderaanku pergi membunuh Muhammad. Aku ada sebab untuk berbuat demikian kerana anakku sedang menjadi tawanan mereka.”

Mendengarkan kata-katanya, Safwan pun mengambil kesempatan dengan berkata, “Aku sanggup menanggung hutangmu dan aku melunaskannya bagi pihakmu; tanggunganmu akan bersama-sama dengan tanggunganku atau aku akan menjaga mereka selagi mereka masih hidup. Lalu Umair berkata kepadanya, “Tolong rahsiakan rancangan kita Safwan menjawab, “Baiklah.”

Umair kemudian menyediakan pedangnya lalu diasah dan diletakkan racun. Kemudian, dia pun bertolak ke Madinah. Semasa dia berada di pintu masjid, sedang menderumkan untanya, tiba-tiba Umar bin al-Khattab RA terpandang ke arahnya (ketika itu, Umar bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berbual-bual mengenai kemuliaan yang Allah kurniakan kepada mereka dalam Perang Badar). Umar berkata, “Anjing ini adalah musuh Allah! Umair tentu ada niat buruk dengan kedatangannya ke mari.” Kemudian, Umar pergi kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Nabi Allah, ini dia seteru Allah! Umair yang datang sambil membawa pedangnya.”

Rasulullah SAW bersabda, “Bawakan dia masuk kepadaku.” Umair pun tampil dan disambut oleh Umar bin al-Khattab RA sambil menggalas tali pedangnya. Umar berkata kepada beberapa orang lelaki Ansar, “Masuk kepada Rasulullah SAW dan duduk di sisinya serta awasilah Rasulullah SAW daripada si kotor ini kerana dia ini tidak boleh dipercayai!” Kemudian Umar pun membawa Umair masuk. Apabila Rasulullah SAW melihatnya (ketika itu Umar sudah memegang tali pedangnya yang disangkut di lehernya), Baginda SAW berkata, “Hai, Umar. Lepaskan pedangmu, dan kamu Umair, mari dekatku.”

Umair pun menghampiri Rasulullah SAW sambil berkata “Selamat pagi.” Rasulullah SAW menjawab, “Kami telah dimuliakan oleh Allah dengan ucapan yang lebih baik daripada ucapan kamu itu, hai Umair, iaitu dengan ucapan salam; ia adalah ucapan ahli syurga.” Rasulullah SAW pun bertanya, “Apa tujuan kamu ke mari, hai Umair?” Jawab Umair, “Aku datang kerana tawanan ini yang berada dalam tanganmu, maka tolonglah layani dia dengan baik,”

Rasulullah SAW bertanya lagi. “Mengapa engkau sangkutkan pedang di lehermu?” Umair menjawab, “Adakah kita semua tidak perlu sedikit pun pada pedang?”

Rasulullah SAW bertanya lagi, “Bercakap benarlah kepadaku, mengapa engkau ke mari?” Umair menjawab, “Aku tidak ada tujuan lain kecuali itu sahaja.”

Rasulullah SAW berkata, “Bahkan, engkau pernah duduk bersama-sama Safwan bin Umayyah dalam Hijir Kaabah, lalu kamu berdua menyebut tentang mayat-mayat orang Quraisy di telaga buruk itu. Kemudian, engkau berkata, “Kalaulah tidak kerana aku ada hutang dan tanggungan yang perlu aku sara, nescaya aku akan keluar untuk membunuh Muhammad.” Kemudian, Safwan sanggup menanggung hutangmu dan tanggunganmu dengan syarat kamu membunuh aku, dan Allah menjadi penghalang antaraku dengan rancanganmu itu.”

Mendengarkan itu, Umair terus berkata, “Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasulullah. Wahai Rasulullah, dulu kami mendustakan kamu tentang berita-berita diturunkan kepadamu. Sekarang urusan ini tidak disertai oleh sesiapa pun yang engkau bawa kepada kami dari langit serta wahyu yang kecuali aku dan Safwan, maka, demi Allah, aku benar-benar yakin bahawa tidak ada yang memberitahumu tentang hal ini kecuali Allah. Alhamdulillah yang telah memberi hidayah untukku memeluk Islam dan membawaku dengan cara ini.” Kemudian, dia mengucapkan kalimah syahadah. Lalu, Rasulullah SAW berkata, “Ajarilah saudara kamu ini tentang agamanya; bacakan al-Quran kepadanya dan bebaskan untuknya tawanannya.”

Sementara itu Safwan yang berada di Makkah berkata, “Terimalah berita gembira dengan satu kejutan yang akan sampai kepada kamu dalam beberapa hari lagi. Berita yang akan melupakan kamu kepada kenangan pahit di Badar.” Dia sering bertanya rombongan yang datang mengenai Umair, sehingga ada yang datang memberitahunya mengenai keislaman Umair. Lalu, Safwan bersumpah tidak akan bertegur sapa selama-lamanya dengan Umair dan tidak akan memberi sebarang bantuan kepadanya.

Kemudian, Umair pun pulang ke Makkah. Di Makkah, dia memainkan peranannya mengajak orang ramai memeluk Islam. Maka, ramailah orang yang memeluk Islam melalui dakwahnya (Lihat Ibn Hisham, 1/661-663). (Lihat Sirah al-Nabawiyyah Rahiq Maktum, hlm. 393-396)

Daripada sini fahamlah kita, hidayah tidak mengenal sesiapa pun dan ia boleh singgah dalam kehidupan seseorang awalupun orang itu pada asalnya seteru Allah SWT dan rasul-Nya. Semoga Allah SWT sentiasa taufik dan hidayahkan kita.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *