Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah waktu yang sesuai untuk menziarahi pesakit?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara hak sesama muslim terhadap muslim ialah menziarahinya ketika sakit. Hal ini sebagaimana riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
حَقُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ خَمْسٌ: رَدُّ السَّلاَمِ، وَعِيَادَةُ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الجَنَائِزِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَتَشْمِيتُ العَاطِسِ»
Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).”
Riwayat Al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778)
Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A, Nabi SAW bersabda:
أَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ وَفُكُّوا الْعَانِيَ
Maksudnya: “Berilah makan kepada orang yang kelaparan, ziarahilah orang yang sakit, dan bebaskanlah tawanan perang.”
Riwayat al-Bukhari (5373)
Begitu juga riwayat daripada Thauban R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِى خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia berada dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang.”
Riwayat Muslim (6717)
Demikianlah juga, riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ عَادَ مَرِيضًا، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ: طِبْتَ، وَطَابَ مَمْشَاكَ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru yang menyeru dari langit: ‘Kamu ialah orang baik, langkahmu juga baik dan engkau berhak mendapat tempat di syurga.’”
Riwayat al-Tirmizi (2008) dan Ibn Majah (1443)
Secara asasnya, nas-nas yang menyebutkan berkenaan menziarahi orang sakit adalah bersifat umum. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan bahawa menziarahi orang sakit termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Namun ini tidak bermakna pesakit dalam kalangan non-Muslim tidak perlu diziarahi. Aktiviti ziarah-menziarahi tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama merupakan amalan yang berteraskan kepada asas kemanusiaan. Malah Islam menganggapnya sebagai ibadah dan amal soleh yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT. Meskipun asas akidah antara orang Islam dan orang bukan Islam adalah berbeza, namun hak dan tanggungjawab antara satu sama lain tidak seharusnya diabaikan khususnya apabila melibatkan hubungan kejiranan, persahabatan dan sebagainya. Oleh itu, dapat difahami bahawa seorang Muslim dibolehkan untuk menziarahi orang bukan Islam yang sakit. Tambahan pula, moga-moga dengan asbab ziarah itu, hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagaimana peristiwa Baginda SAW dan kanak-kanak Yahudi yang memeluk Islam pada akhir hayatnya. (Lihat Fatawa Mu‘asirah, 2/545)
Waktu yang Sesuai untuk Menziarahi Pesakit
Syeikh Abdullah bin Hamid menyatakan bahawa waktu ziarah orang sakit yang sesuai bergantung kepada uruf setempat. Beliau berkata dalam kitabnya al-Raudh al-Murabba’: “Hendaklah waktu ziarah orang sakit itu pada waktu pagi atau petang, bukannya pada waktu tengah hari atau waktu malam. Boleh jadi pada waktu tengah hari itu, pesakit dalam keadaan yang tidak sesuai untuk diziarahi, dan begitu juga pada waktu malam. Maka waktu ziarah yang sesuai ialah pada awal siang ataupun pada waktu petang, namun hal ini bergantung kepada uruf setempat dan tidak ada halangan padanya.” (Lihat Ikhtiyarat Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’ahu al-Fiqhiyah, 2/67)
Ulama’ dalam mazhab al-Syafi’i dan Hanbali berpendapat bahawa waktu menziarahi pesakit yang sesuai ialah diselangkan dengan beberapa hari dan bukannya setiap hari, dan ziarah itu mesti berlaku pada awal pagi atau pada waktu petang. Imam al-Nawawi berkata: “Hendaklah diziarahi pesakit itu dengan selang beberapa hari dan bukannya berterusan setiap hari kecuali jika dia merupakan orang yang biasa dengannya. Dan hal ini sesuai bagi sesetengah orang seperti keluarganya, rakan-rakannya dan seumpamanya yang pesakit itu selesa dengannya atau menjadi penemannya, atau mereka yang pesakit itu rindui jika mereka tidak dapat dilihat pada setiap hari, ataupun orang yang tidak ditegah oleh pesakit untuk menziarahinya. (Lihat al-Majmu’, 5/103)
Manakala pendapat kedua pula menyebut bahawa tidak ada waktu khusus yang ditetapkan untuk menziarahi orang sakit. Ibn Muflih berkata: “Sebahagian daripada mereka berkata: “Hendaklah ziarah selang beberapa hari” dan pada zahirnya pendapat mereka terdapat perbezaan. Pandangan mereka ini berbeza-beza bergantung kepada perbezaan di kalangan orang ramai, dan amalannya bergantung kepada bukti-bukti, dan keadaan yang zahir.” (Lihat al-Furu’, 2/176)
Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا عَادَ الرَّجُلُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ مَشَى فِي خِرَافَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَجْلِسَ، فَإِذَا جَلَسَ غَمَرَتْهُ الرَّحْمَةُ، فَإِنْ كَانَ غُدْوَةً صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُمْسِيَ، وَإِنْ كَانَ مَسَاءً صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُصْبِحَ
Maksudnya: Sesiapa yang menjenguk saudaranya yang muslim sesungguhnya dia berjalan di musim petik buah surga hingga duduk, apabila dia duduk rahmat Allah tercurah untuknya. Bila ia menjenguknya di waktu pagi maka tujuh puluh ribu para malaikat selalu berdoa untuknya hingga waktu sore. Dan Bila ia menjenguknya di waktu sore maka tujuh puluh ribu para malaikat berdoa untuknya hingga waktu pagi.
Riwayat al-Nasaie (7494) dan Ahmad (612). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam Nail al-Awtar (4/46)
Ibn al-Qayyim berkata: “Hadith ini menunjukkan bahawa menziarahi pesakit boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang hari. Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengkhususkan satu hari atau waktu untuk menziarahi pesakit. Sebaliknya, baginda telah menetapkan agar umatnya menziarahi pesakit pada waktu siang dan malam, serta pada setiap waktu yang lain.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/497)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pendapat yang lebih tepat dalam hal ini ialah waktu menziarahi pesakit adalah berdasarkan adat, uruf dan keadaan masyarakat setempat. Hal ini disebabkan tujuan utama menziarahi pesakit adalah sebagai tanda kita mengambil berat berkenaan dirinya dan juga keluarganya. Oleh sebab itu, waktunya itu bergantung pada waktu yang sesuai untuk diziarahi kerana ia boleh jadi sesuai pada satu masa dan tidak sesuai pada waktu yang lain. Begitu juga, sesuatu waktunya itu sesuai untuk satu masyarakat dan mungkin tidak sesuai untuk masyarakat yang lain. Dalam hal ini, adat dan uruf sesuatu tempat itu diraikan dalam hal ini sebagaimana kaedah menyebut:
العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ
Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, adat setempat mestilah suatu amalan kebiasaan yang berterusan (dalam masyarakat). Jika bukan adat kebiasaan, maka tidak dijadikan adat sebagai hukum. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/323)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H