Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum berbalas surat dengan seseorang yang kita sukai (crush)? Saya tahu bercinta sebelum nikah itu haram, namun apakah hukumnya jika sekadar berbalas surat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Imam Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya dari perbuatan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. “Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji”, yakni dosa yang besar dan suatu jalan yang buruk. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/67)
Antara perkara-perkara yang boleh mendekat diri seseorang kepada zina termasuklah dengan pandangan, ucapan, dan bayangan serta keinginan dalam hati. Ini thabit berdasarkan hadith yang daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)
Berdasarkan dalil di atas, jelas menunjukkan bahawa perintah Allah SWT supaya “jangan mendekati zina” melalui apa cara atau jalan sekalipun yang boleh membawa kepadanya seperti pandangan mata, sentuhan, pertuturan yang memikat, dan berkhalwat. Semua perkara ini jika bertujuan untuk memenuhi syahwat hati maka hukumnya adalah haram dan wajib dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.
Ini juga bertepatan dengan kaedah usul fiqh yang menyebut:
مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Suatu kewajiban yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”
Perkaitan antara hujjah yang kami bawakan ini dengan persoalan yang diajukan adalah, apabila seseorang melakukan interaksi dengan seseorang yang disukai atau crush, pasti akan timbulnya suatu perasaan ingin mendekatinya sedikit demi sedikit. Ketahuilah bahawa apa-apa maksiat yang melibatkan antara lelaki dengan perempuan pasti bermula dengan pelbagai cara interaksi yang tidak berlandaskan dengan cara yang dibenarkan oleh syara‘. Maka perbuatan ini sendiri dengan jelas merupakan salah satu pintu yang melorongkan kita ke arah kancah penzinaan.
Hal ini kerana berbalas surat merupakan salah satu cara berinteraksi dengan percakapan, tetapi diinterpretasikan dalam bentuk penulisan. Dan perbuatan ini juga akan merupakan punca utama untuk timbulnya pelbagai perasaan dalam diri seseorang, seperti menjadi bermudah-mudah dalam perbualan antara bukan mahram dan kelunakan dalam ucapan, yang seringkali mengundang kekaguman dan keterpesonaan.
Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ
Maksudnya: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki bukan mahram) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).”
(Surah al-Ahzab: 32)
Imam Fakhr al-Din al-Razi ketika menafsir ayat di atas berkata, janganlah kamu bercakap perkataan yang tidak sopan dan berunsur kelucahan satu pun, kerana yang demikian menyebabkan orang yang hati berpenyakit berniat jahat. (Lihat Mafatih Al-Ghaib, 6/461)
Kelunakan dalam kata-kata ini juga akan menjadi kunci bagi syaitan dan iblis untuk membuka pintu maksiat, menghasut anak-anak adam melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Pada permulaannya mungkin hanya sekadar kelunakan berkata-kata dan bermanis mulut yang mana hukum asalnya adalah harus kerana ia merupakan suatu bentuk kesopanan. Akan tetapi, ia kemudiannya akan berpindah kepada keghairahan dan kerinduan, dan kemudian berakhir dengan pertemuan dan bersua muka.
Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan jelas melarang kita untuk mengikuti jejak langkah syaitan ini kerana ia akan membawa kita kepada kebinasaan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
۞ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.”
(Surah al-Nur: 21)
Mungkin sebahagian kita akan mempersoalkan, mana mungkin dengan sekadar berbalas surat antara lelaki dan wanita boleh berakhir dengan sesuatu yang sangat dahsyat seperti zina. Renungilah sebuah kisah yang menceritakan bahawa syaitan itu tidak akan pernah meninggalkan lelaki dan perempuan berduaan aman daripada sebarang fitnah.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW pernah memalingkan wajah al-Fadhl bin ‘Abbas apabila dia melihat seorang wanita, seraya Baginda SAW bersabda:
رَأَيْتُ شَابًّا وَشَابَّةً فَلَمْ آمَنِ الشَّيْطَانَ عَلَيْهِمَا
Maksudnya: “Aku melihat seorang pemuda dan seorang pemudi, dan syaitan tidak akan meninggalkan keduanya aman.”
Riwayat al-Tirmizi (885) dan Ahmad (1348)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, prinsip asasnya adalah apa-apa yang menjadi punca kepada fitnah adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, pintu kepada keburukan perlu ditutup, kecuali jika terdapat manfaat yang kuat yang tidak bertentangan dengan syara‘. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 15/419)
Kesimpulan
Perbuatan saling berbalas surat antara bukan mahram berlainan jantina adalah haram kerana ia merupakan salah satu jalan yang boleh membawa kepada sesuatu yang lebih teruk.
Kami menasihatkan agar masyarakat muslim berpegang teguh dengan perintah Allah SWT, dan alangkah baiknya kalau kita dapat mencontohi keteguhan iman Nabi Allah Yusuf A.S apabila diuji dengan fitnah wanita sehinggakan beliau lebih rela memilih dipenjarakan berbanding terjerumus ke dalam kancah zina. Firman Allah SWT:
قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ
Maksudnya: “Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: ‘Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang wanita-wanita itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya’.”
(Surah Yusuf: 33)
Kami akhiri dengan sebuah hadith yang boleh menjadi pedoman kepada kita agar sentiasa menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita. Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid dan Sa‘id bin Zaid R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِي النَّاسِ فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Selepas aku meninggal, tidak ada fitnah yang lebih memudharatkan pada manusia melainkan fitnah perempuan ke atas lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5096) dan Muslim (2741)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H