Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah membeli rumah di daerah A, manakala isteri saya telah membeli rumah di daerah B dan kampung mentua di daerah C. Jarak antara A – B adalah kurang daripada 2 marhalah, manakala A-C adalah lebih daripada 2 marhalah. Soalan saya, apabila kami pulang ke kampung mentua (A- C, lebih 2 marhalah), bolehkah kami singgah di rumah isteri (B) untuk solat jamak/qasar dalam perjalanan pergi atau balik? Terima kasih Dato’.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن يَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْۚ إِنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ كَانُواْ لَكُمۡ عَدُوّٗا مُّبِينٗا 

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.”

Surah al-Nisa (101)

Ungkapan فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ yang bermaksud “maka tidaklah berdosa” difahami oleh para ulama ia digunakan bagi menunjukkan keharusan. (Lihat al-Majmu’, 4/339)

Berkenaan solat jamak dan qasar ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2392: Kekeliruan Dalam Mempraktikkan Solat Jamak[1]

#1907: Musafir Setiap Minggu Dan Menginap Di Hotel; Boleh Jamak Dan Qasar?[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan ia bergantung kepada rumah mana yang dimukim. Sekiranya rumah A adalah rumah yang diduduki, maka tidak boleh untuk jamak dan qasar di rumah B disebabkan tidak mencapai 2 marhalah yakni 81 km. Akan tetapi, sekiranya saudara mahu ke rumah mertua (rumah C), maka dibolehkan untuk jamak dan qasar di rumah B atas dasar musafir.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

 

[1] https://maktabahalbakri.com/2392-kekeliruan-dalam-mempraktikkan-solat-jamak/

[2] https://maktabahalbakri.com/1907-musafir-setiap-minggu-dan-menginap-di-hotel-boleh-jamak-dan-qasar/

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H

Leave a Reply